Thursday, November 06, 2008

lagi news

Publication : HM

Edition : TE

Date : 17/05/2004

Page Number : 01

Headline : MyKad RM6,000 (HL)

Words : 349

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Kad pengenalan pintar atau Mykad yang baru diperkenalkan
kerajaan, kini dikesan dipalsukan sindiket tertentu dan dijual pada harga
RM6,000 seunit kepada pendatang asing tanpa izin.
Harga itu jauh lebih tinggi berbanding kad pengenalan bermutu tinggi
(KPT) palsu yang dijual dengan harga antara RM300 dan RM400 seunit.
Menurut sumber, walaupun dijual dengan harga mahal, Mykad palsu tetap
mendapat permintaan tinggi daripada pendatang.
Bagaimanapun, sumber itu berkata Mykad palsu tidak mudah diperolehi
berikutan proses memalsukannya sukar disebabkan ia tidak boleh diklonkan
sebaliknya memerlukan Mykad asli.
"Untuk menghasilkan Mykad palsu, sindiket terbabit memerlukan Mykad asli
yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Berdasarkan pemeriksaan, didapati Mykad palsu yang digunakan beberapa
pendatang bukan diklonkan. Sebaliknya, ia Mykad yang dikeluarkan JPN
tetapi pemilik asalnya kehilangannya atau ia dicuri.
"Oleh itu, jika sindiket terbabit memperoleh banyak Mykad yang hilang
atau dicuri, barulah lebih banyak Mykad palsu mampu dihasilkan mereka,"
kata sumber itu.
Sumber itu berkata, ia terbukti apabila Mykad palsu yang ditemui pada
pendatang dimasukkan ke dalam peranti pembaca, ia akan memaparkan maklumat
orang lain, dipercayai pemilik asal Mykad berkenaan.
Menurutnya, prosedur untuk mendapatkan kad pengenalan pintar palsu itu
juga ringkas iaitu pendatang terbabit hanya perlu menyediakan wang dan
beberapa keping gambar.
"Mykad dihasilkan dengan beberapa lapisan ciri keselamatan. Lapisan di
bahagian atas sekali mengandungi maklumat seperti cetakan nombor kad
pengenalan, nama, alamat dan gambar.
"Lapisan itulah yang dipercayai ditukar sindiket terbabit dengan
memasukkan gambar pendatang berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa,"
katanya.
Katanya, selain terhad, Mykad palsu lebih mahal daripada KPT kerana
sindiket itu menganggap pihak berkuasa sukar membezakan kesahihan
kerakyatan pemilik Mykad berkenaan jika tidak diperiksa dengan teliti.
Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah, Zainol
Salleh, mengesahkan ramai antara rakyat asing yang ditahan didapati
memiliki kad pengenalan palsu termasuk Mykad.
Menurutnya, sepanjang operasi yang dijalankan Unit Penguatkuasa
Imigresen sejak dua bulan lalu, pihaknya menahan dua lelaki masing-masing
warga India dan Indonesia kerana memiliki Mykad palsu.
"Terbaru, kami menahan lima warga Indonesia iaitu empat lelaki kerana
memiliki KPT palsu dan seorang memiliki Mykad palsu, dalam satu serbuan di
tiga rumah di Taman Tong Kang Yard, minggu lalu," katanya.


(END)
Publication :
BH

Edition :

Date : 08/04/2005

Page Number : 03

Headline : KL guna kaedah Perancis dapatkan semula artifak

Words : 330

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Malaysia akan mendapatkan pandangan kerajaan Perancis
mengenai kaedah mendapatkan semula artifak milik negara yang dibawa
keluar sebelum merdeka dan kini disimpan sebagai pameran oleh muzium di
negara asing.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim,
berkata kaedah memperoleh kembali khazanah negara akan dikaji berdasarkan
pengalaman Perancis mendapat kembali artifak negara mereka yang sebelum
ini berada di negara lain.
"Kita akan mengadakan lawatan ke Perancis tidak lama lagi dan akan
berbincang dengan pihak negara itu mengenai bagaimana mereka mendapat
semula artifak negara mereka yang berada di negara lain," katanya pada
sidang media selepas melancarkan 'Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai
Murni Peringkat Pemandu Teksi dan Bas', di Stesen Sentral Kuala Lumpur,
di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha mendapatkan kembali khazanah negara bukanlah
mudah kerana sudah berada terlalu lama di luar negara dan status
pemilikannya juga tidak dapat dipastikan malah ia perlu dilakukan
berdasarkan peruntukan undang-undang.
Katanya, Jabatan Muzium dan Antikuiti akan menyenaraikan artifak negara
yang kini disimpan di luar negara serta mengkaji status pemilikannya.
"Pihak muzium akan memikirkan cara untuk mengiktiraf artifak kita yang
berada di luar negara tetapi persoalan penting adalah mengenai status
artifak berkenaan dan ia tidak mudah untuk disahkan. Mungkin manuskrip
itu dibeli British berpuluh atau beratus tahun dulu tetapi kita tidak
mengetahui," katanya.
Beliau berkata, kes seperti itu berlaku kerana banyak artifak milik
Malaysia yang dibawa ke negara lain sebelum merdeka tetapi kegiatan itu
berkurangan selepas tempoh itu.
Sementara itu, Rais berkata, pihaknya kini mengkaji peranan Akademi
Filem Malaysia (AFM) dan mungkin akan melakukan perubahan bagi memastikan
institusi itu mampu menjadi pusat latihan pengeluaran filem yang berkesan.
Katanya, pihaknya akan membincangkan mengenai kesan perubahan yang akan
dilakukan terhadap AFM dan diharapkan institusi itu mampu membantu
melahirkan individu berkualiti dalam bidang berkenaan bagi menghasilkan
filem bermutu.
(END)

Publication : HM

Edition :

Date : 30/12/2004

Page Number : 17

Headline : IBU BAKAR SEMANGAT

Words : 233

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Tidak seperti rakan lain, keputusan cemerlang iaitu 8A dalam
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) disambut dengan perasaan pilu
oleh Nur Amirah Zakaria, 15, dari Sekolah Menengah Sultanah Asma, di
sini, semalam.
Ini kerana dia tidak dapat berkongsi detik manis dengan insan yang
menjadi pendorong semangatnya berjaya berikutan ibunya, Faudziah Ishak,
45, koma sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Nur Amirah bertekad meneruskan perjuangannya meraih
kejayaan dalam akademik bagi mencapai cita-citanya menjadi doktor demi
mengubati penyakit ibunya.
"Insya-Allah saya akan terus berusaha untuk menjadi doktor suatu hari
nanti supaya dapat mengubati ibu dan pesakit yang mengalami penyakit sama
seperti ibu saya.
"Kalau boleh saya hendak emak saya turut merasai detik kejayaan saya
ini tetapi dia kini koma akibat penyakit asma dua tahun lalu," kata anak
kedua dari tiga beradik ini kepada Harian Metro.
Nur Amirah berkata, dia ditemani bapanya yang bertugas sebagai guru di
Kulim iaitu Zakaria Embi, 47, ketika mengambil keputusan peperiksaannya.
Bagi Siti Sarah Mohd Akhir, 15, kejayaannya memperoleh 8A dalam PMR
didorong perasaan serba salah terhadap pengorbanan ibunya yang terpaksa
menggadaikan cincin perkahwinannya bagi membayar yuran peperiksaannya.
Katanya, ibunya, Azizah Taib, 52, hanya mengambil upah membasuh pinggan
di kedai makan berhampiran rumah mereka di Taman Setia, di sini, dengan
pendapatan RM5 sehari manakala bapanya, Mohd Akhir Mustafa, 51, hanya
seorang pekerja am di Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS).
(END)
Publication : HM

Edition :

Date : 29/12/2004

Page Number : 02

Headline : SIAPA NAK JAGA ABANG

Words : 452

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :


GUAR CHEMPEDAK: "Selepas ini siapa yang nak jaga abang?" demikian
pertanyaan Nizari Mahmod, 40, kepada suaminya, Muhammad Hassan Harun, 47,
sebelum dia terkorban bersama empat anaknya dalam bencana tsunami di
Pulau Pinang, Ahad lalu.
Muhammad Hassan berkata, pertanyaan itu kerap diulangi arwah isterinya
sejak sebulan lalu sehingga menimbulkan tanda tanya kepada dirinya dan
dia tidak menyangka ia benar-benar berlaku.
Beliau berkata, arwah isterinya kerap menunjukkan perlakuan pelik
kebelakangan ini dan tidak menyangka ia petanda dia akan pergi
selama-lamanya.
Katanya, selain itu tiga anak perempuannya yang turut terkorban dalam
tragedi itu sering mengajukan soalan pelik kepadanya dalam perbualan
mereka kira-kira seminggu sebelum itu.
"Ketika itu kami sedang berbual biasa saja dan tiba-tiba mereka mengadu
bahawa tiada orang akan menjaga mereka sekeluarga sekiranya saya
meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol
Lalang di sini, semalam.
Muhammad Hassan berkata, kedua-dua soalan yang dikemukakan arwah isteri
dan anak-anaknya itu berhubung tahap kesihatannya selepas dia disahkan
mengalami penyakit kencing manis sejak 1990.
"Arwah isteri menunjukkan dia risau mengenai tahap kesihatan saya
sekiranya dia tiada manakala anak-anak pula risau tiada orang akan
menjaga mereka sekiranya saya tiada.
"Mereka menanyakan soalan itu bagi menggambarkan mereka benar-benar
sayangkan saya seperti mana saya sayangkan mereka tetapi saya akur
terhadap takdir Allah," katanya.
Beliau berkata, arwah Nizari yang dinikahinya 24 tahun lalu turut
menempah baju baru-baru ini walaupun isterinya itu biasanya menjahit baju
sendiri.
"Kami merancang untuk berkelah di Baling pada Sabtu lalu tetapi tidak
jadi kerana saya demam menyebabkan saya membenarkan mereka berkelah di
Pulau Pinang pada Ahad.
"Sebelum ini, anak-anak saya tidak akan pergi ke mana-mana jika saya
tidak dapat pergi bersama tetapi pada hari itu, mereka beriya-iya untuk
ke Pulau Pinang walaupun saya tidak dapat pergi," katanya.
Beliau menyifatkan isterinya yang menjual kain di pasar sehari Guar
Chempedak sebagai isteri mithali.
Sementara itu, anak Hassan yang terselamat Mohd Saufi, 19, berkata dia
sempat menyuap nasi tomato bersama sambal ayam yang dimasak ibunya itu
dua kali sebelum mereka ditenggelami ombak.
"Saya rasa sambal ayam berkenaan sangat masin dan hairan kerana masakan
ibu saya sebelum ini tidak sebegitu," katanya yang membantu ibunya
berniaga.
Kelmarin, jenazah Nizari bersama empat anaknya iaitu Nurul Naimah, 15,
Nurul Hasinah, 17, Nurul Nazirah dan Mohd Ferdaus, 4, dikebumikan di
tanah perkuburan Islam Guar Chempedak.
Tiga ahli keluarga itu yang terselamat ialah Mohd Shamsul, 21, Mohd
Saufi dan Ibrahim Idzham, 7, manakala seorang lagi ahli keluarga itu
iaitu Mohd Badrul Syazwan, 23, bekerja di Kajang, Selangor.
(END)

Publication : BH

Edition : NA

Date : 17/12/2004

Page Number : 01

Headline : Dua terbunuh nahas Pilatus TUDM

Words : 498

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Seorang juruterbang pelatih dan jurulatihnya terbunuh apabila
pesawat Pilatus PC-7 Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, dekat sini,
terhempas ketika latihan penerbangan, petang semalam.
Mereka ialah Leftenan Amnart a/l Summok, 23, (gambar) berasal dari
Kampung Baru Naka, Padang Terap, dan jurulatihnya, Mejar Alias Bakar, 36,
dari Pekan, Pahang.
Pesawat latihan dua tempat duduk itu terhempas di sawah padi di Kampung
Titi Besi, Kepala Batas, pada jam 2.11 petang, tiga minit selepas berlepas
dari KTU.
Nahas itu yang kelima di negeri ini dan kedua di kampung itu sejak kes
pertama pada 22 Oktober 1991.
Kejadian semalam berlaku hanya kira-kira 200 meter dari lokasi pesawat
jenis yang sama terhempas pada 1991, menyebabkan seorang juruterbang
terbunuh.
Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Panglima Tentera Udara
Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Nik Ismail Nik Mohamed, berkata
sebelum nahas, menara kawalan menerima isyarat radio daripada juruterbang
meminta kebenaran berpatah balik dan dibenarkan berbuat demikian.
"Berikutan nahas itu, TUDM menubuhkan lembaga penyiasatan bagi mengenal
pasti punca kejadian," katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Alor Star (HAS) untuk bedah
siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing bagi urusan
pengebumian.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu TUDM menggantung sementara
penerbangan pesawat jenis itu bagi membolehkan penilaian terhadap keadaan
teknikal ditentukan.
Katanya, setakat ini pihaknya mendapati pesawat ringan itu selamat untuk
digunakan dalam latihan.
"Buat masa ini TUDM belum bercadang menukar pesawat Pilatus PC-7 kepada
pesawat lain, tetapi untuk jangka masa panjang kemungkinan kita
mempertimbangkan gantian pesawat untuk latihan," katanya.
Nik Ismail berkata, laluan latihan penerbangan sedia ada dikekalkan
kerana kawasan udara Alor Star paling selamat.
Beliau berkata, jarak laluan latihan penerbangan adalah sekitar 160
kilometer, iaitu hampir ke sempadan Malaysia-Thailand.
Sementara itu, Komandan KTU, Kol Ahmad Anuar Ahmad, berkata pesawat itu
berlepas menjalani latihan penerbangan kira-kira jam 2 petang sebelum
terhempas.
"Mengikut rekod, Amnart sudah menjalani latihan penerbangan lebih 100
jam dan mencapai tahap melakukan penerbangan solo. Dia dijangka menamatkan
latihan, Februari depan," katanya.
Beliau berkata, KTU membenarkan seseorang pelatih melakukan latihan
penerbangan sekali sehari sama ada secara solo atau penerbangan bersama
jurulatih.
"Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar
kejadian," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain,
yang melawat kawasan kejadian jam 4.15 petang sedih dengan nahas itu.
Katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan TUDM kerana ini bukan
kali pertama kejadian sedemikian berlaku di kawasan berhampiran penempatan
awam.
"Kita akui kes sebegini agak menakutkan kerana membabitkan kawasan
penempatan awam dan akan berbincang mengenainya dengan TUDM. Perbincangan
akan menjurus kepada aspek latihan TUDM," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak bercadang memindahkan
lokasi KTU yang dibina sejak 50 tahun lalu tetapi berharap TUDM mengkaji
semula prosedur dan lokasi latihan penerbangan yang selamat kerana khuatir
nyawa penduduk terancam.
"Kita percaya TUDM akan memastikan pesawat dan juruterbang dalam keadaan
baik sebelum penerbangan. Apa yang berlaku adalah takdir," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pungutan derma kilat
bagi membantu keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar menghadapi
dugaan itu.
(END)


Publication : BH

Edition : NA

Date : 17/12/2004

Page Number : 08

Headline : Berpusing sebelum jatuh

Words : 260

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Pesawat malang Pilatus PC-7 yang dipandu juruterbang pelatih Lt
Amnart Summok dan jurulatihnya, Mejar Alias Bakar dikatakan berpusing-
pusing di udara sebelum terhempas di dalam sawah, di Kampung Titi Besi,
semalam.
Seorang saksi, Azmir Abdullah, 21, berkata dia melihat dengan jelas
pesawat itu yang terbang dari arah utara berpusing-pusing di udara sebelum
jatuh kira-kira 100 meter dari tempat dia berada.
"Ketika itu saya sedang duduk berbual bersama seorang rakan, Mohd Asri
Abdul Khadip, 19, dan kami nampak pesawat itu berpusing-pusing di udara.
"Sejurus kemudian, pesawat itu terhempas dengan bunyi dentuman yang kuat
di hadapan kami.
"Kami berdua terus berlari ke tempat kejadian tetapi mendapati kedua-dua
mangsa sudah terkulai dan tidak bernyawa," katanya ketika ditemui semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.11 petang itu, Amnart, 23, dan Alias, 36,
yang menjalani latihan penerbangan biasa mati di tempat kejadian.
Azmir berkata, dia mendapati seorang daripada mangsa berada di bahagian
belakang pesawat dalam keadaan terlentang, manakala tubuh seorang lagi
mangsa terperosok di bahagian kokpit.
"Keadaan pesawat remuk teruk dan kami dapati banyak darah mengalir,"
katanya.
Mereka berada di sisi pesawat itu sehingga diarahkan beredar oleh
pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tiba di lokasi kejadian
kira-kira 10 minit kemudian.
Seorang lagi saksi, Naimuddin Ahmad, 23, berkata dia terdengar bunyi
bising di udara sewaktu lalu di kawasan itu ketika pulang dari pekan
Kepala Batas.
"Ketika itu saya menaiki motosikal bersama adik, Waizuddin, 18, pulang
ke rumah berhampiran kawasan kejadian apabila mendengar bunyi dentuman dan
kemudian mendapati ada pesawat di tengah sawah." katanya.
(END)
Publication : HM

Edition :

Date : 17/12/2004

Page Number : 01

Headline : `KITA KAHWIN' (HL)

Words : 471

Byline : Oleh Nasrullah Rahim;

Text :


POKOK SENA: "Sebaik saya tamat latihan dan menjadi juruterbang
bertauliah, kita kahwin," itulah kata-kata mendiang Leftenan Amnart
Summok kepada tunangnya ketika mereka bertemu kali terakhir di Pulau
Pinang Ahad lalu.
"Malam semalam, dia menelefon saya dan kami berbual mesra tetapi saya
tidak sangka dia akan pergi buat selamanya," kata Ampa Keah, 23, yang
terkejut dengan kematian Amnart 23, juruterbang pelatih pesawat Pilatus
PC-7, dalam nahas di Kampung Titi Besi, Kepala Batas, dekat sini, semalam.
Beliau yang ditemui di bilik mayat Hospital Alor Star (HAS), berkata
mendiang menelefonnya setiap malam bagi melepaskan rindu.
"Kami berbual seperti kebanyakan pasangan lain yang bercinta, tetapi
sikap Amnart lebih ceria berbanding malam sebelumnya," katanya. Amnart
yang dijangka menamatkan latihan di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia
(KTUDM), dekat sini, Februari depan, terkorban bersama jurulatihnya Mejar
Alias Bakar, 36, dalam kejadian pada jam 2.11 petang.
Ampa yang bertugas sebagai guru tadika dan menetap di Kampung Titi
Akar, Pendang, berkata mereka jatuh cinta pandang pertama ketika berjumpa
dalam satu program kira-kira enam tahun lalu sebelum bertunang pada Ogos
2003.
Sementara itu, kakak Ampa, Sam Lee, 26, berkata adiknya seolah-olah
hilang ingatan dan meraung sebaik menerima berita kematian Amnart
kira-kira jam 5 petang kelmarin.
"Adik saya berjumpa dengan Amnart Ahad lalu dan dia kelihatan gembira
kerana Amnart memaklumkan akan menamatkan latihannya tidak lama lagi dan
berkahwin dengannya.
"Amnart sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kami walaupun mereka
hanya bertunang. Setiap kali cuti, dia akan datang ke rumah kami untuk
tidur semalaman sebelum pulang ke rumah ibunya di Jitra.
"Kali terakhir dia tidur di sini dua minggu lalu. Bagaimanapun, tidak
ada perubahan ketara ke atasnya," katanya ketika ditemui.
Bapa Amnart, Summok a/l Dindeng, 52, berkata Amnart adalah anak kedua
daripada lima beradik hasil perkahwinan pertamanya dengan ibu mangsa.
Bagaimanapun, Summok sudah bercerai dengan ibu Amnart dan kini tinggal
di Kampung Baru Naka manakala ibu kandungnya di Jitra.
Summok dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 malam tadi
oleh seorang saudaranya, Boon Som Inom yang juga Pegawai Khas Masyarakat
Siam kepada Menteri Besar Kedah.
Dia yang juga seorang bekas tentera bagaimanapun menerima kematian
anaknya itu dengan hati yang tenang.
"Yang saya sedih cuma impiannya untuk menjadi juruterbang jet pejuang
tidak kesampaian," katanya.
Ibu Amnart, Eyat A/P Enden Tim, 53, pula berkata mendiang seorang yang
pandai mengambil hati, terutama dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.
"Saya kini sakit jantung dan walaupun dia di KTUDM, dalam sehari dia
akan menelefon atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) sehingga tiga
kali menanyakan kesihatan saya sama ada sudah memakan ubat atau tidak,"
katanya.
(END)

Publication : BH

Edition : NA

Date : 15/12/2004

Page Number : 08

Headline : Badan gadis putus digilis lori

Words : 274

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Seorang gadis yang menunggang skuter terbunuh selepas badannya
terputus dua akibat digilis trailer di persimpangan lampu isyarat Jalan
Kuala Kedah-Jalan Lencong Barat, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, Noor Natasha Rosli, 19,
dikatakan dalam perjalanan dari rumah rakannya di Simpang Kuala, di sini
ke rumahnya di Taman Setia.
Pegawai Pentadbiran Trafik Kota Star, Cif Inspektor Noh Idris, berkata
mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas digilis lori terbabit.
"Pemandu trailer membuat laporan selepas kejadian. Beliau tidak ditahan
kerana kemalangan di kawasan lampu isyarat berhadapan Masjid Aman itu
tidak disengajakan," katanya.
Noh berkata, siasatan polis juga mendapati mangsa bertembung dengan lori
berkenaan yang datang dari arah Kangar menghala ke Tandop.
"Mangsa terpelosok di bawah trailer sebelum digilis dan mati di tempat
kejadian," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Rosli Abdul Halim, 51, berkata beliau akan
mengambil tindakan mahkamah terhadap pemandu lori itu kerana ada saksi
mendakwa pemandu itu melanggar isyarat lampu merah sehingga menyebabkan
anaknya digilis.
Beliau berkata, sebelum kejadian, anak kedua dari tiga beradik itu
menunjukkan pelbagai pelakuan pelik antaranya menggunting gambar semua
ahli keluarga dan meletakkannya dalam dua bingkai gambar.
"Satu daripada gambarnya yang dirakam bersama skuter yang dinaiki ketika
kejadian tertulis perkataan missing sehingga menimbulkan tanda tanya
kepada kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Beliau berkata, anaknya yang bekerja sebagai pembantu jualan kedai buku
dekat sini juga tidak tidur malam bagi menyiapkan kerja menggunting gambar
sejak empat hari lalu serta mengecat semula dinding bilik air pada malam
sebelum kejadian.
"Selain itu, dia menghimpun dan memberi baju lamanya kepada seorang
makciknya selain membeli sarapan untuk kami sekeluarga pada hari
kejadian," katanya.
(END)
Publication : HM

Edition :

Date : 15/12/2004

Page Number : 17

Headline : HANTAR MEREKA PULANG

Words : 393

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: "Tangkap dan hantar mereka pulang ke negara asal!" demikian
cadangan Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Yusoff Ismail,
berhubung penganjuran konsert liar oleh ratusan belia Indonesia di
Balakong, Selangor, Ahad lalu.
Cake juga meminta supaya pihak berkuasa tidak `memberi muka' kepada
kumpulan rakyat Indonesia itu, terutama penganjur program berkenaan yang
berani menipu pihak berkuasa dan Kedutaan Indonesia sendiri.
Yusoff berkata, lebih membimbangkan ialah rakyat Indonesia itu berasa
kumpulan mereka di negara ini sudah terlalu ramai sehingga bersikap
`besar kepala' dan menunjuk berani dengan menganjurkan konsert berkenaan.
Katanya, ini jelas apabila sepanjang konsert itu berlangsung, mereka
bertindak liar dan berani menghalau penduduk tempatan seolah-olah tidak
sedar yang mereka berada di negara orang.
"Gejala konsert dan pengaruh Black Metal seperti ini sudah dibanteras
kerajaan secara besar-besaran tiga tahun lalu dan tidak seharusnya ia
dihidupkan kembali.
"Sehubungan itu, pihak berkuasa harus mengadakan operasi besar-besaran
menangkap mereka, termasuk ketika konsert itu diadakan dan bukannya hanya
meminta mereka bersurai," katanya.
Ini kerana kumpulan berkenaan dikhuatiri melakukan lagi kegiatan itu
sehingga menggugat keselamatan penduduk tempatan pada masa depan jika
mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Harian Metro semalam melaporkan penganjur konsert liar itu menipu
kedutaan mereka kononnya majlis berkenaan diadakan sebagai sambutan
Syawal bagi mengeratkan hubungan ukhwah sesama pekerja Indonesia di
negara ini.
Sebaliknya, mereka dikesan menganjurkan konsert liar apabila berpakaian
bagaikan `hantu', mengadakan tarian liar malah menghina Islam apabila
memulakan konsert dengan bacaan ayat al-Quran dan selawat.
Yusoff berkata, kemungkinan ada antara rakyat Indonesia itu adalah
pendatang tanpa izin dan seharusnya pihak berkuasa menjalankan siasatan
lanjut terhadap mereka.
Katanya, konsert itu juga jelas menakutkan penduduk negara ini yang
khuatir berlakunya rusuhan kerana rakyat Indonesia yang berkumpul adalah
terlalu ramai.
"Sekarang kerajaan mengadakan program menghantar pulang rakyat asing
tetapi kumpulan terbabit masih ada di negara ini dan membuat kacau dengan
menganjurkan konsert sehingga menakutkan penduduk setempat.
"Kerajaan seharusnya menangkap dan menghantar warga asing ini pulang
kerana khuatir keselamatan negara akan terancam selain akidah umat Islam
diseleweng kerana Black Metal jelas menghina Islam," katanya.
(END)

Publication : BH

Edition : NA

Date : 13/12/2004

Page Number : 09

Headline : Kastam rampas 238kg ganja

Words : 367

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 238 kilogram
ganja selepas menahan sebuah lori tangki di pintu masuk sempadan di Bukit
Kayu Hitam, Rabu lalu.
Ketua Pengarah KDRM, Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib, berkata dadah
bernilai hampir RM750,000 itu, jumlah terbesar rampasan di negeri ini,
disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu lori tangki itu
yang yang baru saja memasuki Malaysia dari negara jiran.
Beliau berkata, kira-kira jam 8.45 malam, penguat kuasa KDRM Bukit Kayu
Hitam yang mengesyaki lori berkenaan bertindak menahan kenderaan itu
sebaik ia keluar dari Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Pemeriksaan menyeluruh pada lori berkenaan membawa kepada penemuan 252
ketulan tumbuhan kering dipercayai ganja yang disembunyikan di bahagian
belakang tempat duduk pemandu," katanya kepada pemberita, di sini,
semalam.
Beliau berkata, berikutan itu, seorang lelaki tempatan yang memandu lori
berkenaan berusia 46 tahun ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah
Berbahaya 1962, sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan boleh dihukum
mati mandatori.
"Lori tangki itu memiliki nombor pendaftaran Selangor dan digunakan bagi
menjalankan perniagaan membawa cecair getah ke negara jiran," katanya.
Beliau berkata, pemandu itu mengisytiharkan kononnya dia tidak membawa
sebarang muatan ketika melalui pos pemeriksaan LKIM berkenaan tetapi
penguat kuasa KDRM yang mengesyaki sesuatu terus menahan lori terbabit.
"Kami mendapat maklumat awal bahawa ada lori yang cuba menyeludup masuk
dadah pada hari berkenaan tetapi masih tidak mengetahui jenis lori dan
pemeriksaan menyeluruh menyebabkan kami menemui ganja pada lori
berkenaan," katanya.
Abdul Halil berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut
berhubung lokasi pengedaran dadah itu dan tidak menolak kemungkinan ia
untuk edaran seluruh negara ini.
"Pemandu itu memberi alasan dia tidak mengetahui mengenai kegiatan
berkenaan tetapi dia kini direman selama sembilan hari sehingga 16
Disember ini untuk membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Pengarah KDRM (Bahagian Narkotik), Md Adnan Ariffin,
berkata pihaknya merampas kira-kira RM6 juta dadah pelbagai jenis
sepanjang tahun ini.
Katanya, antara dadah yang dirampas ialah esctacy, syabu, heroin,
kitamine, ubat batuk dan elumin yang cuba diseludup masuk ke negara ini
menerusi pelbagai pintu masuk negara, antaranya Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Seramai 11 individu, termasuk sembilan rakyat asing sudah didakwa di
mahkamah berhubung penyeludupan masuk semua jenis dadah berkenaan. Tiga
daripada rakyat asing itu perempuan," katanya.
(END)
Publication : BH

Edition : NA

Date : 30/11/2004

Page Number : 04

Headline : Dua maut kereta bertembung

Words : 354

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Dua lelaki terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung
dengan sebuah lagi kereta dan terhumban ke dalam sungai di simpang empat
Kampung Sungai Ibus, dekat sini, semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah Lee Ah Yuu, 21, dan Yu Wei Teong, 25, yang
menaiki kereta Honda manakala pemandu kereta Proton Wira, Rohaizan Md
Zain, 30, cedera di kepala.
Lee yang dipercayai memandu kereta berkenaan berasal dari Yan Kecil
manakala Yu pula dari Kangar, Perlis.
Kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari pekan Simpang Empat,
dekat sini, menuju ke Yan sebelum bertembung dengan kereta dipandu
Rohaizan di simpang berkenaan kira-kira jam 10 pagi.
Rohaizan yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Tanjung Malim, Perak pula dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Kuala
Kedah menuju ke universiti berkenaan.
Dalam kejadian itu, kedua-dua kenderaan dikatakan terhumban ke dalam
sungai selepas Proton Wira berkenaan merempuh Honda Accord yang dipercayai
muncul secara tiba-tiba.
Kereta Honda berkenaan tenggelam di dalam sungai dengan keadaan tayar ke
atas dan dua lelaki terbabit yang berada di dalam kereta itu terbunuh
manakala Rohaizan pula berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaannya
tenggelam.
Difahamkan, kereta Honda berkenaan yang datang dari arah Pekan Simpang
Empat cuba membelok ke kiri untuk memasuki jambatan di simpang empat
berkenaan, menghala ke arah Yan.
Keadaan itu menyebabkan kereta Proton Wira yang datang dari arah Kuala
Kedah yang juga ingin menghala ke Yan dipercayai tidak sempat mengelak dan
merempuh kereta berkenaan sebelum kedua-duanya terhumban ke sungai.
Abang pelajar itu, Rodzuan, ketika ditemui di tempat kejadian berkata,
adiknya dalam perjalanan pulang ke UPSI bagi meneruskan pengajiannya
kerana berikutan semester baru, dibuka semalam.
Katanya, adiknya yang akan menghabiskan pengajian dalam jurusan
Teknologi Maklumat tahun depan pulang bercuti di rumah keluarga mereka di
Kuala Kedah.
Pegawai Trafik Kota Star, Cif Inspektor Noh Idris, ketika dihubungi
semalam mengesahkan kemalangan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Permatang Ibus, Mansur Ali, 75, berkata tahun ini saja, lapan
mangsa maut dalam puluhan kemalangan berlaku di simpang berkenaan.
"Sejak empat tahun lalu kami meminta pihak berkuasa tempatan membesarkan
laluan di sini serta meletakkan lampu isyarat tetapi tiada tindakan
diambil," katanya.
(END)



Publication : BH

Edition : NA

Date : 22/11/2004

Page Number : 08

Headline : Syor mansuh baharui lesen lima tahun

Words : 345

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Polis mencadangkan supaya sistem pembaharuan lesen memandu lima
tahun sekali dimansuhkan bagi memudahkan pihak berkuasa memantau dan
mengambil tindakan terhadap pemandu yang sering melanggar undang-undang
lalu lintas.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA), Datuk
Seri Salleh Mat Som, berkata pada masa ini pemandu dibenarkan membaharui
lesen memandu sama ada untuk tempoh setahun atau lima tahun.
Bagaimanapun, katanya, kaedah menyenaraihitamkan pemandu yang melakukan
kesalahan lalu lintas berulang kali tidak berkesan jika pemandu memegang
lesen yang tempoh sahnya selama lima tahun.
"Pemandu yang memegang lesen memandu bagi tempoh lima tahun akan terus
memandu walaupun nama mereka disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ)," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.
Beliau berkata pemantauan, termasuk tindakan undang-undang terhadap
pemandu yang sering melakukan kesalahan lalu lintas akan lebih berkesan
jika mereka terpaksa membaharui lesen setiap tahun di JPJ.
Ini kerana pemandu terbabit tidak akan dibenarkan membaharui lesen
memandu jika disenaraihitamkan selepas melakukan kesalahan lalu lintas
pada tahun sebelumnya.
"Sistem membaharui lesen memandu lima tahun sekali untuk memudahkan
pemandu supaya mereka tidak perlu berurusan di JPJ setiap tahun.
"Bagaimanapun, kita boleh mansuhkan kaedah itu berikutan kadar
kemalangan masih membimbangkan," katanya.
Salleh berkata, dengan hanya membenarkan lesen memandu dibaharui setahun
sekali menyebabkan pemandu lebih berhati-hati bagi mengelakkan lesen
mereka ditahan atau tidak boleh dibaharui sekali gus berupaya membendung
kes kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, ada pemandu yang tidak menghormati undang-undang apabila
tidak hadir ke balai polis apabila diminta menyelesaikan kes saman lalu
lintas dan hal itu menyukarkan tugas pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, katanya, purata kematian akibat kemalangan pada
masa ini seramai 16 orang sehari dan jumlah itu adalah tinggi berbanding
kematian akibat kes jenayah lain.
"Malangnya, kematian akibat kes jenayah lain lebih diberi perhatian oleh
orang ramai berbanding kematian di jalan raya. Seharusnya orang ramai
berasa bimbang mengenai perkara ini," katanya.
Terdahulu, Salleh menyampaikan sijil kecemerlangan tugas kepada lima
pegawai polis bahagian KDNKA Kedah iaitu Asisten Superintendan (ASP)
Shuhaimi Hashim, ASP Ismail Ayub, Cif Inspektor Mohd Halim Yatim, Sarjan
Mejar Yusof Yatim dan Sarjan Shamsudin Ali.
(END)
Publication : HM

Edition : TE

Date : 21/10/2003

Page Number : 18

Headline : Berjaga menjelang peperiksaan

Words : 177

Byline : By Nasrullah Rahim

Column Name : Larut malam

Text :


KUALA LUMPUR: Menjelang peperiksaan akhir, kebanyakan pelajar termasuk di
institusi pengajian tinggi (IPT) akan berjaga malam sehingga awal pagi
untuk mengulangkaji pelajaran.
Sharizal Fadlie Sabri, 21, berkata sudah menjadi tabiatnya untuk berjaga
malam bagi mentelaah pelajaran menjelang waktu peperiksaan setiap
semester.
Katanya, selain dirinya, beberapa lagi rakan yang menuntut di Fakulti
Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM), turut
mengalami `penyakit' yang sama.
Sharizal berkata, kebiasaannya, dia bersama beberapa rakan akan mula
mentelaah pelajaran kira-kira jam 9 malam dan berlarutan sehingga jam 3
pagi.
"Saya mengamalkan belajar secara bersendirian dan perbincangan dalam
kumpulan. Kebiasaannya, perbincangan dalam kumpulan dilakukan ketika
hampirnya tarikh ujian serta peperiksaan.
"Ketika itu, kami akan bantu-membantu bagi menjawab soalan mengenai
topik yang tidak difahami dan menjadikan Rumah Persatuan Mahasiswa
Istimewa UM (Permium) sebagai lokasi perbincangan," katanya.
Rakannya, Mohd Rashidi Sulong, 24, berkata belajar pada waktu malam
membolehkannya memahami sesuatu topik dengan lebih berkesan berbanding
belajar pada waktu siang.
Katanya, ini kerana pada waktu siang, dia sibuk dengan kuliah dan
pelbagai hal lain yang menghalangnya daripada belajar dalam jangkamasa
lama.
(END)


0 Comments:

Post a Comment

<< Home