| KUALA LUMPUR: Penjualan cakera padat video (VCD) yang memaparkan kisah kehidupan dan ajaran Nabi Isa, yang lebih dikenali sebagai Jesus dalam ajaran Kristian dijual secara terbuka dan berleluasa di pusat beli-belah di seluruh negara. VCD berkenaan yang merangkumi pelbagai tajuk seperti "Betrayal of Jesus", "The Life and Time of Jesus" dan The Greatest Story Ever Told" diletakkan bersama-sama koleksi VCD umum lain, sekali gus boleh mengelirukan pembeli. Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat beli-belah sekitar ibu kota semalam, mendapati VCD berkenaan dijual antara RM9.90 dan RM29.90, bergantung kepada tajuk, jalan cerita, tempoh siaran dan waktu penerbitannya. Kulit depan VCD berkenaan kebanyakannya memaparkan gambar Jesus sedang disalib, dikerumuni orang ramai ketika sedang berdakwah, selain dalam bentuk penjelmaan yang lengkap berjubah dan bertongkat. Dengan tajuknya yang menggunakan bahasa Inggeris, ia pasti mengelirukan pembeli yang kurang mahir bahasa itu. Jalan ceritanya lebih memihak kepada ajaran Kristian, merangkumi kehidupan dan ajaran Jesus serta paparan ketika disalib, pastinya boleh menggugat akidah seorang Islam yang tipis ajaran agama. Seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, sambutan orang ramai terhadap VCD itu, khususnya bertajuk The Greatest Story Ever Told sangat menggalakkan. Kebanyakan pembeli adalah penganut Kristian, selain terdapat sebilangannya kalangan orang Islam. "Buat masa sekarang VCD bertajuk The Greatest Story Ever Told sudah habis dijual. Ia mendapat sambutan hangat. Kebanyakannya dibeli oleh warga Indonesia dan Filipina yang menganut Kristian. Mereka datang membeli VCD ini biasanya pada Sabtu dan Ahad. "Cuma yang tinggal kini VCD keluaran lama seperti Betrayal of Jesus. Koleksi VCD itu juga sudah tidak banyak dalam simpanan kami. Kami menjualnya kerana ia mendapat sambutan di kalangan orang ramai," katanya. Sementara itu di Kuala Terengganu, seorang pelajar terkejut apabila mendapati VCD yang dibelinya ketika berkunjung ke ibu kota baru-baru ini memaparkan kononnya wajah Nabi Isa. Pelajar berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, filem berkenaan yang berjudul `The Greatest Story Ever Told' dibelinya di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, di sini. Katanya, filem berkenaan mengisahkan sejarah kehidupan Nabi Isa yang dilakonkan Max Von Sydow ketika mula menyebarkan dakwah sehinggalah baginda disalib dan diangkat ke langit. "Ketika berkunjung ke ibu kota baru-baru ini, saya sangsi melihat VCD berkenaan dan kerana ingin mengetahui dengan lebih lanjut, saya membelinya dengan harga RM29.90. "Selepas menonton VCD itu, saya terkejut dan tidak menyangka filem itu memaparkan wajah Nabi Isa," katanya. Beliau berkata, walaupun VCD berkenaan dihasilkan untuk penganut Kristian, tetapi tidak sepatutnya dijual secara terbuka. "Saya bimbang seandainya terdapat pengguna Islam, terutama remaja dan kanak-kanak terbeli VCD ini dan beranggapan wajah Nabi Isa adalah seperti yang ditonton," katanya. Katanya, filem berkenaan yang mula dikeluarkan pada 1965 mengandungi tiga VCD dengan masa tayangan hampir enam jam dan diedarkan sebuah syarikat yang beralamat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Timbalan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Alwi Abdul Hamid, berkata sekiranya VCD berkenaan asli, pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan. "Kementerian tidak ada sebarang akta untuk menyekat kemasukkan VCD seperti ini dan tindakan terhadap mana-mana pihak tidak boleh diambil terhadap mana-mana pihak," katanya. am@hmetro.com.my
| Publication : | HM |
| Edition : | TE |
| Date : | 13/02/2002 |
| Page Number : | 02 |
| Headline : | Haram gambar wajah nabi |
| Words : | 371 |
| Byline : | By Idris Musa; Murni Wan Omar; Nasron Sira Rahim |
| Text : |
|
| KUALA LUMPUR: Islam mengharam sebarang usaha untuk melukis atau menggambarkan wajah nabi kerana golongan pesuruh Allah itu adalah makhluk istimewa yang tidak boleh disamakan dengan sesiapa. Mufti Terengganu, Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, berkata sebelum ini sudah dikeluarkan fatwa iaitu Fatwa Azhar mengharamkan membuat atau melakonkan watak yang membabitkan nabi yang begitu tinggi kedudukannya di sisi Allah S.W.T. Katanya, perbuatan berkenaan seolah-olah cuba menjatuhkan kedudukan nabi kerana dapat memberi gambaran negatif berdasarkan watak berkenaan terhadap golongan nabi yang terpilih. "Sehubungan itu, ijmak ulama memutuskan perbuatan itu adalah haram dan jika ada pihak yang masih melakukan perbuatan itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas," katanya. Beliau diminta mengulas mengenai penjualan VCD yang memaparkan kisah kehidupan dan ajaran Nabi Isa yang lebih dikenali sebagai Jesus dalam ajaran Kristian secara terbuka di pusat beli belah seluruh negara. VCD berkenaan yang merangkumi pelbagai tajuk seperti "Betrayal of Jesus", "The Life and Time of Jesus" dan "The Greatest Story Ever Told" dijual bersama VCD lain. Beliau berkata, sekiranya dengan kuasa pun masih gagal bertindak menghalang perbuatan itu, ia perlu dengan tindakan melalui lidah atau melarang sehingga timbul benci di hati kerana perbuatan itu. Katanya, hadis sahih itu adalah jalan terbaik yang harus dilakukan dalam usaha membanteras kegiatan menjatuhkan maruah dan kedudukan nabi yang seharusnya dipandang tinggi dan dihormati. Abdul Halim berkata, bukan sahaja VCD tetapi bahan bercetak lain juga perlu dikenakan tindakan dengan kuasa yang diberi terhadap pihak berkuasa terbabit supaya gejala dan masalah ini dapat disekat masuk ke negara ini. Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi semalam, berkata adalah haram untuk menayangkan gambar nabi dalam bentuk wajah seperti VCD yang menggambarkan kehidupan Nabi Isa (dipanggil Jesus dalam ajaran Kristian). Menurutnya pengeluaran VCD seperti itu memang tidak harus dibenarkan di Malaysia kerana ia adalah haram untuk menggambarkan rupa nabi yang tidak diketahui rupanya. Katanya lagi, menggambarkan rupa nabi dalam sebarang bentuk boleh memesongkan akidah umat Islam. "Menggambarkan rupa nabi dalam apa jua bentuk akan memesongkan akidah kerana ia akan memberi kesan kepada manusia seperti mereka akan membayangkan rupa serta fizikal dan akan terbawa dalam mimpi. "Mereka golongan manusia terpilih bukan daripada golongan kebanyakan dan tiada orang lain yang boleh menyerupai mereka," katanya. am@hmetro.com.my (END) |
(END)
|
0 Comments:
Post a Comment
<< Home