| TURUN dari bas, Nasrul Hakimi Abdullah (bukan nama sebenar) berlari merentasi sawah bendang untuk sampai ke rumah. Baginya, berita gembira itu perlu segera dikhabarkan kepada kedua-dua orang tuanya. Setibanya di rumah, dengan tercungap-cungap dia mencari kelibat orang tuanya tetapi selepas mendapati pintu rumah tertutup rapat dan panggilannya tidak disahut, tahulah dia bahawa ibu bapanya masih di sawah. Dia bercadang untuk mencari ibu bapanya di sawah tetapi memandangkan jam sudah menunjukkan jam 12 tengah hari, dia yakin Lebai Dolah dan Mak Munah akan pulang sebentar lagi. Lebih sepuluh minit menunggu di beranda rumah, saujana mata memandang kelihatan dua susuk tubuh sedang menghala ke rumah berkenaan. Hakimi yakin dua susuk tubuh itu adalah ibu bapanya. Segera dia turun berlari anak mendapatkan mereka sambil tangan kanan Hakimi menggenggam erat kertas putih yang akan membuktikan kejayaan selain membanggakan ibu bapanya. "Emak, ayah, saya dah berjaya," katanya ketika menunjukkan slip keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diambilnya pagi tadi tercetak huruf A pada lima subjek. Ibunya mula mengalirkan air mata, bapanya pula sekadar tersenyum penuh makna dan akhirnya mereka bertiga berpelukan di hadapan sawah bendang yang menjadi sumber rezeki keluarga itu. Masa terus berlalu dan berdasarkan pencapaian cemerlang dalam STPM, Hakimi menerima tawaran kemasukan dari sebuah universiti di Selangor, dua bulan kemudian. Ibu bapa Hakimi gembira mendengar berita berkenaan kerana anak kedua mereka itu bakal memecahkan tradisi keluarga selain menjadi ikutan kepada lima lagi anak mereka yang masih bersekolah. Sehari sebelum keberangkatan Hakimi ke universiti, Lebai Dollah dan Mak Munah mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat atas kejayaan anak mereka itu. Keesokan, berangkatlah Hakimi bersama semangat serta iltizam untuk berjaya. Tekadnya, dia akan mengubah kehidupan mereka sekeluarga yang selama ini susah dan sering meminta pertolongan penduduk kampung. Mujurlah, segala kos pengajian Hakimi dibiayai sepenuhnya oleh yayasan negeri tetapi nilai biasiswa yang agak lumayan itu tidak sedikit pun meggelapkan mata Hakimi. Malah, sebahagian wang biasiswa diberikan kepada Lebai Dollah dan adik- adiknya untuk membeli barangan keperluan. Kehidupan seharian Hakimi di universiti hanya dipenuhi pelajaran kerana baginya, pelajaran adalah kunci mengubah nasib. Tidak hairanlah jika keputusan peperiksaan Hakimi sepanjang dua semester di menara gading mencecah Purata Nilaian Gred Kumpulan (PNGK) 3.8 sehingga melayakkannya menerima anugerah Kepujian Dekan. Walaupun sentiasa sibuk dengan pelajaran, sebagai remaja yang sedang meningkat usia, Hakimi tidak lepas daripada perasaan ingin disayangi dan menyayangi. Tanpa disedari, perasaan itu bakal mengubah pendirian serta iltizam yang disemat dalam sanubari Hakimi ketika mula melangkah kaki menjejak pusat pengajian itu dulu. Perkenalan Hakimi dengan Nurul Atiqah Muhammad (bukan nama sebenar) berlaku bukan secara kebetulan, tetapi lebih kepada perasaan Hakimi yang ingin merasai nikmat berada dalam alam percintaan. Gadis comel yang menuntut di universiti berlainan dikenali menerusi laman sembang internet. Daripada sembang di internet mereka beralih kepada telefon dan pertemuan. Untuk kemudahan diri dan Nurul Atiqah, Hakimi sanggup menggunakan wang biasiswa untuk membeli telefon bimbit kerana sebelum ini, Hakimi hanya menggunakan telefon awam untuk menghubungi kekasihnya. Selain itu, setiap kali keluar ke ibu kota untuk bertemu, segala perbelanjaan ditanggung oleh Hakimi, malah Nurul Atiqah yang berasal daripada keluarga berada mempunyai citarasa tinggi. Dia memilih makan di restoran terkemuka dan keluar dengan kereta atau motosikal berkuasa besar. Ini memaksa Hakimi menyewa kenderaan itu yang memerlukan kos tinggi. Kerana mabuk dalam dunia cinta, Hakimi menurut tanpa disedari implikasi hubungan itu menjejas statusnya sebagai pelajar. Biasiswa yang diperuntukkan untuk kemudahan Hakimi sebagai pelajar kini dihabiskan membayar bil telefon yang mencecah ratusan ringgit serta kos keluar bertemu Nurul Atiqah. Selain itu, Hakimi juga sudah pandai ponteng kuliah untuk bertemu kekasihnya, malahan tugasan yang diberi pensyarah tidak dibuat secara sempurna. Keputusan peperiksaan Hakimi pada semester ketiga yang di bawah PNGK 2.5 belum menyedarkan dirinya. "Semester depan aku cuba lagi," katanya. Bagaimanapun, pada semeter keempat, sekitar sebulan sebelum tibanya peperiksaan akhir semester, Hakimi mula menyedari perubahan sikap Nurul Atiqah yang kebelakangan ini semakin cuba menjauhi dirinya. "Mungkin kau tak percaya, tetapi bukan kau seorang saja teman lelaki Nurul Atiqah tu," nasihat seorang rakan sekuliah yang mendakwa mengenali Nurul Atiqah. Akhirnya kebenaran terbukti juga apabila suatu hari ketika berkunjung ke sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, Hakimi terserempak dengan Nurul Atiqah bersama seorang lelaki di sebuah restoran makanan segera. Mulanya, Hakimi tidak percaya tetapi selepas mengamati, ternyata gadis yang begitu mesra dengan lelaki berpakaian pejabat itu adalah Nurul Atiqah Muhammad, kekasihnya. Bagaikan enggan percaya dengan hakikat itu, pada malamnya Hakimi menghubungi Nurul Atiqah untuk mendapat penjelasan lanjut dan selepas mendesak beberapa kali, akhirnya Nurul Atiqah mengaku. "Sufian ada perniagaan sendiri dan lulusan universiti luar negara, sedangkan awak masih menuntut dan belum tentu mempunyai pekerjaan selepas tamat pengajian," penjelasan Nurul Atiqah amat mengguris hatinya. Sebaik menamatkan perbualan telefon dengan Nurul Atiqah, dalam kegelapan malam, akhirnya Nasrul Hakimi mengimbau kembali kesilapan dirinya yang jelas sudah banyak berubah selepas bertemu Nurul Atiqah. Wajah ibu bapa yang menanti penuh harapan membuatkan Hakimi menggeletar selepas menyedari statusnya selama tiga semester di universiti semakin meruncing. (END
| Date : | 16/02/2002 |
| Page Number : | 12 |
| Headline : | Musibah lumba haram |
| Words : | 781 |
| Byline : | By Nasron Sira Rahim |
| Column Name : | Saya sudah insaf |
| Text : |
|
| KEHIDUPAN Amran Izwan (bukan nama sebenar) masih terawang-awang tanpa sebarang pekerjaan walaupun zaman persekolahannya sudah pun berlalu hampir setahun yang lalu. Baginya, dia lebih selesa dengan kehidupannya kini yang kebanyakan dihabiskan dengan melepak dan merayau bersama beberapa rakan yang senasib dengannya. Selepas menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan pangkat tiga setahun yang lalu, dia tidak berusaha memohon melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi walaupun terdapat beberapa rakan yang lain diterima masuk ke Institut Kemahiran Mara. Segala perbelanjaan hariannya masih lagi diharapkan kepada kedua-dua orang tuanya yang hanya mengusahakan tanah sekangkang kera di belakang rumah selain menerima upah menoreh getah. Keadaannya kini benar-benar merunsingkan kedua-dua orang tuanya dan kerap kali mereka menasihatinya agar mengubah sikap dan menjadi lebih bertanggungjawab tetapi nasihat yang diberikan ibarat mencurah air ke daun keladi. Ibu bapanya amat berharap agar Amran dapat mengikut jejak langkah abang dan kakaknya yang kini menjawat jawatan tinggi di sektor swasta dan kerajaan selepas menamatkan pengajian di universiti selain menjadi contoh kepada dua orang adiknya. Detik hitam dalam hidup Amran bermula selepas kedatangan Wahid (bukan nama sebenar), sepupunya yang kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di selatan tanah air. Kedatangan Wahid ke rumahnya dengan motosikal berkuasa tinggi selain lengkap dengan pakaian berjenama membuatkan Amran memandang tinggi terhadap sepupunya dan jauh di hati kecilnya, dia turut ingin mengikuti jejak langkah Wahid. Disogok dengan pendapatan lumayan selain pelbagai bentuk hiburan yang tak pernah padam di bandar membuatkan hati muda Amran tergerak untuk mengikuti sepupunya itu bekerja di bandar. Amran menyuarakan hasratnya itu kepada kedua-dua orang tuanya dengan alasan untuk mencari pengalaman di negeri orang tetapi hasratnya itu mendapat tentangan daripada mereka. Bagaimanapun, selepas mendapati Amran masih berdegil dan tidak lagi mahu menerima sebarang nasihat selain mempercayai anak saudara mereka, ibu bapa Amran terpaksa mengikuti kehendak Amran. Berbekalkan beberapa nasihat sebagai panduan hidup oleh ibu bapanya, Amran yang bertemankan sepupunya mula meninggalkan kampung halamannya untuk mencuba nasib di tempat orang. Di bandar, Amran tinggal menyewa di rumah sepupunya bersama sembilan lagi rakan yang lain dan atas bantuan Wahid, dia turut memperoleh pekerjaan sebagai operator pengeluaran di kilang tempat sepupunya bekerja. Selepas beberapa bulan tinggal di bandar, Amran mula terikut-ikut dengan gaya kehidupan Wahid yang sememangnya seorang yang suka berfoya-foya selain terbabit dalam perlumbaan haram pada setiap malam minggu. Bermula dengan hanya menemani sepupunya itu ke tempat perlumbaan diadakan, kini Amran turut menyertai perlumbaan berkenaan yang turut menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang. Hasil kemenangannya dalam beberapa perlumbaan haram itu, dia kini mampu hidup mewah dan selain mampu untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa besar. Segala nasihat dan pesanan ibu bapanya kini ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri malah tanpa dapat mengawal dirinya, dia kini lalai dalam melakukan segala suruhan agama, malah melakukan pelbagai kemaksiatan seperti berzina, minum arak dan sebagainya. Perubahan sikap serta tindak tanduk Amran masih tidak dapat dikesan kedua-dua orang tuanya di kampung kerana dia dan sepupunya bijak menyimpan rahsia dan berlagak jujur di hadapan mereka. Seperti biasa, pada malam minggu berikutnya dia bersama beberapa lagi pelumba akan mengadakan satu perlumbaan haram di sebatang jalan raya yang jarang digunakan. Turut menyertai perlumbaan berkenaan ialah sepupunya, Wahid dan taruhan yang ingin direbut oleh 14 pelumba pada kali ini ialah wang tunai berjumlah RM7,000. Perlumbaan sejauh 10 kilometer dengan empat pusingan itu dimulakan dan Amran terus memecut laju dengan motosikal yang sudah diubahsuai untuk mengatasi pesaing-pesaingnya. Walau bagaimanapun, perlumbaan haram pada malam itu sudah berjaya dikesan oleh pihak berkuasa dan tanpa disedari oleh pelumba, pihak polis mengadakan sekatan jalan raya secara mengejut. Amran dan Wahid yang turut panik dengan situasi yang tidak disangka- sangka itu turut berusaha untuk meloloskan diri daripada pemerhatian pihak berkuasa. Dalam cubaan itu, Amran serta beberapa lagi pelumba gagal melarikan diri dan diberkas dalam sekatan yang diadakan manakala Wahid yang berada di belakangnya berjaya melepaskan diri dan bertindak drastik memacu motosikalnya merentasi pembahagi jalan menuju ke jalan yang berlawanan arah. Tindakan nekad Wahid itu nyata tidak membuahkan sebarang hasil malah mengundang musibah kerana dengan tergesa-gesa, Wahid terus memacu motosikalnya tanpa mengawasi keadaan lalu lintas di jalan sebelahnya. Tanpa disedari, sebuah kereta yang memecut laju di jalan berkenaan, tidak dapat dikawal terus merempuh motosikal Wahid yang muncul dengan tiba-tiba dan berikutan itu Wahid terpelanting sejauh 30 meter sebelum jatuh terhempap di cermin belakang sebuah kereta yang lain. Tetapi sudah ketentuan Ilahi, sepuluh minit kemudian, selepas pemeriksaan paramedik dijalankan, Wahid disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara Amran bersama beberapa lagi pelumba yang dapat diberkas dibawa ke lokap untuk siasatan lanjut. Sambil mengalirkan air mata mengenangkan nasib sepupu dan dirinya, terdetik dalam hati Amran, "Sesungguhnya aku insaf dan aku bertaubat untuk tidak mengulangi lagi segala dosa-dosaku,". am@hmetro.com.my
(END) |
|
0 Comments:
Post a Comment
<< Home