Thursday, November 06, 2008

qarin

Publication : HM

Edition : TE

Date : 08/03/2002

Page Number : 10

Headline : Jin, Malaikat sentiasa di sisi kita

Words : 480

Byline : By Nasron Sira Rahim

Text :


SELEPAS manusia meninggalkan alam rahim dan memasuki alam dunia, Allah SWT
akan memperuntukkan bersamanya satu jin kafir yang akan sentiasa
menemaninya sehinggalah ia memasuki alam barzakh.
Jin itu akan sentiasa bersamanya tidak kira siang atau malam untuk
menyeru individu berkenaan ke arah kemungkaran dan menjauhi ketaatan
kepada perintah Allah.
Untuk mengimbangi kekuasaan jin ke atas individu berkenaan, satu
malaikat yang sentiasa menyeru individu terbabit kepada perbuatan makruf
dan meninggalkan yang mungkar turut diutuskan.
Kedua-dua malaikat dan jin terbabit sentiasa bersama-sama individu
berkenaan sepanjang kehidupannya di dunia dan saling bersaing untuk
mempengaruhi iman serta amal individu berkenaan.
Oleh kerana terlalu hampir dengan manusia, jin dan malaikat ini digelar
qarin sebagaimana sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Ma'sud ra:
"Setiap kamu ada qarin daripada bangsa jin dan juga qarin daripada bangsa
malaikat."
Mereka berkata, "Engkau juga ya Rasulullah?" Sabdanya, "Ya aku juga ada,
tetapi Allah membantu aku sehingga qarin itu dapat kuIslamkan dan hanya
menyuruh aku dalam hal kebajikan saja."
Mengikut hadis berkenaan, setiap manusia termasuk Nabi Allah dan Rasul
tidak terkecuali dalam hal ini tetapi bezanya jin yang diutuskan kepada
Rasulullah SAW akhirnya menganuti agama Islam.
Daripada Ibnu Umar ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Aku
dilebihkan daripada Nabi Adam as dengan dua perkara iaitu pertama,
syaitanku kafir, Allah menolong aku sehingga dia Islam, isteriku membantu
akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia
membuat kesalahan." (Riwayat al-Baihaqi).
Terdapat sebuah kisah mengenai qarin daripada bangsa jin atau syaitan
yang ditugaskan untuk mempengaruhi dua manusia iaitu seorang manusia yang
kafir manakala seorang lagi manusia yang beriman.
Bertemulah kedua-dua jin berkenaan dalam dua keadaan yang berbeza iaitu
seorangnya kurus dan tidak terurus manakala seorang lagi gemuk dan
sentiasa bersemangat.
Lalu bertanyalah jin gemuk kepada sahabatnya: "Mengapa engkau kelihatan
kurus dan tidak terurus?" Maka jin kurus menjawab: "Sungguh malang nasibku
kerana aku diutuskan untuk menjaga manusia yang sentiasa menyebut nama
Allah."
"Ketika menghadapi makanan dan minuman, manusia itu menyebut nama Allah
maka kau tidak dapat turut serta dalam makanan dan minumannya.
"Ketika manusia itu sedang memperhiaskan dirinya pula, lalu dia menyebut
nama Allah sehinggakan aku tidak dapat bersama-samanya dalam memperhiaskan
diriku," kata jin kurus itu.
Melihat perwatakan sahabatnya yang berbeza, lantas jin yang kurus itu
pula bertanya: "Mengapa engkau tidak kelihatan seperti aku?"
Jin gemuk dengan bangganya menjawab: "Sungguh beruntung aku kerana tuan
aku sentiasa lalai dalam mengingati Allah.
"Oleh demikian, aku dapat turut serta dalam setiap perkara yang
dilakukan olehnya, aku dapat makan dan minum bersamanya serta dapat
menghiaskan diriku bersamanya," kata jin gemuk.
Menerusi cerita berkenaan, diterangkan salah satu cara untuk menjauhkan
diri kita daripada dikuasai jin atau syaitan adalah dengan sentiasa
mengingati Allah selain memelihara diri daripada lalai dalam melakukan
suruhanNya.
Terpulanglah kepada manusia sama ada untuk mengikuti bisikan syaitan
atau bisikan daripada malaikat tetapi sebagai seorang yang beriman,
pastinya kita ingin mengecapi keredaan dan keberkatan daripada Allah.
am@hmetro.com.my
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home