| GOMBAK: Bagi sesetengah daripada kita, gangguan bekalan air mungkin biasa, tetapi tetapi jika berlarutan sehingga dua kali setiap bulan selama lebih tujuh tahun berturut-turut ia boleh diklasifikasikan sebagai luar biasa. Lebih menghairankan ia semakin menjadi-jadi, terutama ketika hujan lebat. Pelik, tapi itulah yang dihadapi kira-kira 50 premis perniagaan dan kediaman sekitar batu 11 Jalan Gombak. Penduduk semakin bingung kerana punca sebenar masalah yang melanda kampung mereka masih misteri. Pihak berkuasa pula didakwa merahsiakan masalah yang menyebabkan bekalan air di rumah dan kedai berkenaan terputus setiap bulan. Tambahan pula, tiada notis dikeluarkan berhubung tarikh dan masa gangguan, menyebabkan mereka tertanya-tanya bila masalah itu akan berulang. Kekerapan gangguan secara tiba-tiba menyebabkan penduduk mengambil sentiasa berjaga-jaga dengan menyediakan baldi dan tong besar untuk diisi air sebagai simpanan ketika keadaan kritikal. Peniaga kedai runcit, Anita Ghazali, 30, berkata premis yang mengalami gangguan berkenaan meliputi kira-kira 50 kediaman di Batu 10, Batu 11, Batu 12 serta Batu 9 1/2. Katanya, kawasan perkampungan itu penempatan berjajar dan dipisahkan sebatang jalan lurus berturap menghubungkan Gombak dan Genting Highlands. Bagaimanapun, beliau berkata, yang peliknya hanya sebelah kawasan saja mengalami gangguan bekalan air, manakala kawasan di seberang jalan langsung tidak terjejas. "Dalam sebulan, kira-kira dua kali masalah berulang dan setiap kejadian berlaku sehingga dua hari tetapi masa gangguan tidak dapat dijangka. "Tiada notis dikeluarkan pihak berkuasa dan kami terpaksa berjaga-jaga menyimpan air dalam tong bagi memastikan bekalan mencukupi," katanya kepada Sentral. Bagaimanapun, Anita berkata, gangguan paling lama terjadi pada Sabtu lalu apabila berlarutan sehingga lima hari dan menyebabkan aktiviti perniagaan di kampung itu sedikit terjejas. Peniaga kedai makan, Abdul Aziz Kulon, 55, berkata masalah bekalan air itu bermula kira-kira 15 tahun lalu, iaitu selepas dua tahun air paip dibekalkan di kampung mereka. "Sebelum ini, penduduk mendapatkan bekalan air dari sumber mata air di bukit berhampiran. Kini, selepas bekalan air kerap terputus, ada antara kami yang kembali menadah air bukit untuk kegunaan harian. "Pihak berkuasa hanya menyediakan perkhidmatan air paip pada lewat 1980-an dan selepas kira-kira dua tahun, masalah ini mula berlaku sehingga sekarang," katanya. Bagaimanapun, kira-kira tiga tahun lalu ada penduduk yang tinggal di seberang jalan membuat aduan menyebabkan, masalah saluran paip kawasan itu dibaiki dan tidak lagi mengalami gangguan. Kakitangan kerajaan, Shamsuddin Ripin, 45, mencadangkan supaya pihak berkuasa mengumumkan tarikh dan masa bekalan air terganggu bagi membolehkan penduduk bersedia lebih awal. "Kami sekeluarga hanya mandi ala kadar saja dan terpaksa berjimat air. Kami juga perlu berjaga malam untuk menadah air sehingga penuh tong kerana khuatir esok tiada air," katanya. Mustaffa Shamirul Shafiq Zainal Abidin, 13, berkata dia dan rakannya akan mandi di Sungai Salak di kampung berkenaan jika bekalan air terputus. "Bagaimanapun, keluarga saya ada menyimpan air untuk kegunaan kecemasan. Air itulah yang kami sekeluarga guna untuk mandi dan membasuh, manakala air untuk minuman dibeli," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home