Thursday, November 06, 2008

delima OKU

Publication : BH

Edition :

Date : 06/04/2005

Page Number : 01

Headline : Dilema pelajar OKU

Words : 515

Byline : Oleh Nasrullah Rahim; Mohd Nasif Badruddin; Siti Fatimah Hassan

Text :


KUALA LUMPUR: Kekurangan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) di
sesetengah institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menimbulkan
masalah kepada mereka sehingga ada yang menyatakan IPT tertentu `tidak
suka' OKU belajar di tempat mereka.
Ia menyebabkan pelajar OKU dalam dilema untuk meneruskan pengajian
kerana IPT berkenaan tidak prihatin untuk menyediakan kemudahan bagi
mereka meneruskan rutin pembelajaran di kampus.
Malah, ada antara IPT yang menolak permohonan OKU dengan alasan paling
popularnya ialah tidak memiliki kemudahan asas untuk mereka meneruskan
kehidupan dan rutin di situ. Kehadiran pelajar terbabit kononnya
menyusahkan mereka sendiri.
Tindakan ini merunsingkan OKU kerana walaupun memiliki kelayakan
setanding pelajar normal, pilihan melanjutkan pengajian di IPT terhad.
Tambahan pula, program pengajian dan subjek yang mereka ambil turut
`ditentukan' pihak IPT dan bukan berdasarkan minat sendiri.
Presiden Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya (Permium),
Ahmad Shamsuri Muhamad, 22, me ngakui ada IPT yang tidak menyediakan
kemudahan bagi OKU meneruskan pengajian.
Berikutan itu, Universiti Malaya (UM) menjadi pilihan OKU lepasan SPM
dan STPM bagi melanjutkan pengajian kerana kemudahan sedia ada dianggap
memenuhi keperluan.
Beliau yang cacat penglihatan berkata, UM adalah antara universiti yang
memiliki pelajar OKU paling ramai kerana kemudahannya membolehkan
penuntut terbabit belajar selesa.
"Pelajar OKU yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di UM
seramai 33 orang tetapi jumlah sebenar lebih daripada itu kerana tidak
semuanya mendaftar dengan jabatan berkenaan," katanya.
Pelajar OKU juga sebenarnya tidak ada banyak pengetahuan mengenai IPT
yang menyediakan kemudahan untuk mereka kecuali menerusi persatuan dan
pelajar senior universiti terbabit.
"Tetapi, ada kes pelajar yang pernah permohonannya ditolak dengan
alasan tidak cukup prasarana. Ada juga pelajar terpaksa berpindah ke UM
kerana IPT sebelum itu memiliki masalah yang sama," katanya yang
mengikuti program Sarjana Muda Kaunseling.
Bagaimanapun, ia semakin berkurangan berikutan ada kesedaran di
kalangan masyarakat mengenai nasib OKU.
Bagi pelajar Sarjana Sains Komputer, Sharizal Fadlie Sabri, 23, beliau
tidak yakin dapat meneruskan rutin pengajiannya di IPT lain yang
kebanyakannya tidak menyediakan infrastruktur bagi pelajar OKU.
Ia menyebabkan Sharizal menyambung sarjana di UM selepas menamatkan
pengajian sarjana mudanya di situ.
"Saya menyedari kekangan bagi meneruskan pengajian. Masalah utama
mungkin untuk bergerak dan tidak dapat pergi ke tingkat tertentu dalam
bangunan kerana saya berkerusi roda," katanya yang lumpuh.
Kadangkala Sharizal terpaksa menggunakan laluan kenderaan kerana tidak
dapat menyusuri laluan pejalan kaki, tetapi masalah itu akan diselesaikan
kerana UM kini sedang memperbaikinya.
"Ada juga kawasan yang memerlukan saya bergerak sejauh kira-kira 150
meter seperti dari Kompleks Perdanasiswa ke Bank Bumiputra Commerce
berbanding pelajar lain yang hanya perlu menaiki tangga setinggi
kira-kira tujuh meter," katanya.
Mohd Aqasyah Abdullah, 22, pelajar Sarjana Muda Pengajian Melayu
berkata, ada kolej swasta berjanji membantunya meneruskan pengajian di
institusi mereka tetapi perlu membayar yuran lebih bagi tujuan itu.
"Jika melanjutkan pengajian ke universiti lain, saya risau kerana
mungkin tiada kemudahan bagi kami belajar dan meneruskan kehidupan,"
katanya yang cacat penglihatan.
Siti Saleha Adnan, 22, yang cacat penglihatan pula berkata selain
prasarana yang baik, pensyarah dan pelajar yang memahami dan boleh
membantu turut mempengaruhi pelajar OKU melanjutkan pengajian di IPT.
"Di UM, pensyarah dan pelajar banyak membantu dan memahami keperluan
kami untuk menjalani kehidupan seharian sebagai warga kampus," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home