| SERAMAI 120 penduduk kampung Kebor Besar, Tok Bilal dan Telari, mengambil bahagian dalam Larian Kampungku anjuran Gerakan Belia 4B cawangan ketiga- tiga kampung berkenaan dengan kerjasama akhbar Harian Metro di sini, hari ini. Program berkenaan adalah acara tahunan dan pada tahun ini, penganjur menetapkan empat acara utama untuk memeriahkan lagi aktiviti berkenaan. Empat acara berkenaan ialah Larian Kampungku, Sukaneka Rakyat dan Cabutan Bertuah yang berlangsung pada hari ini manakala Perlawanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Tertutup pula akan diadakan pada 12 Oktober ini. Pengerusi Gerakan Belia 4B kawasan berkenaan, Ali Ibrahim berkata, program Larian Kampungku sejauh lima kilometer itu disertai seramai 120 peserta yang mendaftar melalui kaunter penyertaan yang dibuka sejak beberapa hari lalu. "Walaupun pertandingan ini adalah tertutup dan hanya disertai oleh penduduk setempat tetapi sambutan yang diberikan adalah menggalakkan," katanya. Katanya, larian yang dimulakan di padang Sekolah Kebangsaan Kebor Besar pada jam 8.30 pagi itu mensyaratkan bayaran penyertaan sebanyak RM2 dan 100 peserta pertama yang mendaftar akan memperoleh kemeja T. "Memandangkan cetakan terhad, hanya 100 penyertaan pertama akan diberikan kemeja T tetapi senaskah akhbar Harian Metro akan diberikan kepada peserta larian," katanya. Selain itu, acara cabutan nombor bertuah dijalankan pada sebelah malam manakala program sukaneka dijalankan pada petangnya. "Peserta yang menyertai acara larian dan sukaneka akan diberikan satu kupon untuk menyertai cabutan bertuah dan antara hadiah dalam cabutan berkenaan ialah pakej penginapan yang disumbangkan oleh Batu Burok Beach Resort dan Hotel Yentin Midtown. "Selain itu, pada 12 Oktober ini akan diadakan perlawanan bola sepak tujuh sebelah tertutup yang membabitkan pasukan dari Kampung Kebor Besar, Telari dan Tok Bilal," katanya. Beliau berkata, program seperti ini harus diperbanyakkan memandangkan ianya dapat mengeratkan ukhwah selain mewujudkan kesepakatan sesama penduduk setempat. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home