Thursday, November 06, 2008

minda - bunuh punca dari cinta

Publication : HM

Edition :

Date : 07/12/2004

Page Number : 10

Headline : JENAYAH DENDAM CINTA

Words : 938

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :


SIAPA sangka hanya dengan menolak cinta, seseorang itu akan dibunuh
tetapi itulah yang dipercayai terjadi kepada Mazny Abdullah, 24, yang
ditemui mati dalam ladang kelapa sawit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang,
pada 23 November lalu.
Kisah sama berlaku kepada Norzi Ayu Md Noor, 27, apabila menjadi
'korban cinta' di Bangi pada 26 Julai lalu selepas pembunuhnya dipercayai
tidak dapat menerima kenyataan yang gadis itu mencintai lelaki lain.
Dua kejadian itu amat menakutkan tetapi ia sebahagian daripada pelbagai
kisah tragis akibat cinta bukan saja di merata-rata tempat malah
sepanjang zaman.
Timbul persoalan sama ada begitu hebatkah kuasa dan pengaruh cinta
dalam kehidupan seseorang, sehingga ada manusia sanggup melakukan jenayah
dan menggadaikan masa depan dan harapan keluarga demi perasaan berkenaan.
Jelas bahawa pendidikan tinggi juga tidak mampu menjadi benteng bagi
menghalang segelintir manusia daripada terus mengikut telunjuk cinta
dengan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan tatasusila
masyarakat.
Manusia sanggup melakukan perkara yang pelik natijah daripada perasaan
cinta yang tidak kesampaian seolah-olah cinta adalah segalanya bagi
mereka.
Mereka nekad membunuh diri, menjadi gila dan mengabaikan kehidupan,
termasuk enggan berkahwin kononnya cinta yang menemui kegagalan itu
cintanya yang sejati.
Jika pembunuhan akibat cinta dilihat sebagai impak yang menakutkan,
masyarakat kini sudah lali membaca kisah gadis yang akhirnya menyesal
selepas sanggup menyerahkan keperawanan mereka kononnya demi membuktikan
cinta mereka kepada teman lelaki masing-masing.
Kisah cinta yang tidak kesampaian juga menjadi cerita popular dalam
pelbagai bangsa di seluruh dunia, contohnya kisah Uda yang sanggup
bersanding dengan Dara di pusara dalam bangsa Melayu selain Cleopatra
yang sanggup membunuh diri kerana Mark Anthony bagi bangsa Rom.
Kisah legenda cinta bangsa Arab pula adalah Qais yang menjadi gila
(majnun) kerana Laila manakala bangsa Inggeris pula mewariskan kisah
Romeo yang sanggup mati kerana Juliet kepada anak cucu mereka.
Semua perkara negatif itu berlaku disebabkan manusia kini lupa hakikat
sebenar cinta diutuskan, iaitu sebagai nikmat dan ujian untuk menentukan
tingkat keimanan dan ketakwaan manusia itu sendiri.
Allah S.W.T mengurniakan nikmat cinta untuk menyelamat, mententeram
serta membahagiakan manusia. Untuk mencapai tujuan itu, maka Allah turut
menetapkan hukum cinta supaya kurnian-Nya itu tidak disalahgunakan.
Selagi hukum cinta ini dipatuhi, ia pasti akan kekal terpelihara dalam
fitrahnya yang suci tetapi sekiranya peraturan ini dilanggar, cinta akan
berubah menjadi sesuatu yang jijik, kotor dan menyeksakan.
Peraturan pertama cinta ialah perasaan cinta perlu dibina atas dasar
cinta kepada Allah. Kita dibenarkan mencintai sesiapa saja tetapi
mestilah mencintainya kerana Allah.
Seorang ibu boleh mencintai anaknya, rakyat mencintai pemimpinnya,
isteri mencintai suaminya tetapi perlulah mendahului cinta itu kerana
mengharapkan keredaan Allah.
Allah berfirman dalam surah At-Taubah, ayat ke ke 24: "Katakanlah: jika
bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu,
harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri
kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu
cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalanNya, maka
tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak
memberi petunjuk kepada orang yang fasik."
Antara tanda kita mencintai seseorang itu kerana Allah ialah kita
sentiasa mendahulukan kehendak Allah sebelum memenuhi kehendak individu
yang kita cintai.
Dalam kenikmatan mencintai individu terbabit, kita turut merindui untuk
bermunajat kepada Allah, sentiasa solat di awal waktu dan bersedia
menghadapi kematian untuk bertemu dengan-Nya.
Lidah pasti sentiasa dipenuhi dengan kalimah Allah, sanggup berjuang
mempertahankan hak dan sentiasa berasa nikmat dalam mentaati segala
suruhan-Nya.
Al-Quran banyak menerangkan contoh individu yang dicintai Allah
antaranya dalam surah Al-Baqarah ayat ke 195, Allah berfirman:
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan."
Selain itu, antara sikap manusia yang dicintai Allah seperti yang
tercatat dalam Al-Quran ialah bertaqwa (Ali Imran: 76), sabar (Ali Imran:
146), sentiasa bertawakal (Ali Imran: 159) dan adil (Al-Maidah: 45).
Syarat kedua ialah cinta itu harus berlandaskan kepada syariat dan
ajaran Islam. Jangan kerana leka dalam cinta terlarang, kita sanggup
mengabaikan hak Allah sehingga mengundang kemurkaan-Nya.
Dalam konteks percintaan, seharusnya keimanan terhadap Allah mendahului
segala keinginan duniawi.
Cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak dan keperibadian Islam
tanpa sebarang kepentingan dan keinginan nafsu.
Apabila wujudnya perasaan cinta antara dua manusia, syaitan akan turut
memasang perangkap untuk memastikan cinta itu sebahagian pintu kehancuran
dan kesesatan umat manusia.
Perasaan cinta yang tidak mematuhi syariat Islam lazimnya terdedah
kepada risiko dan bahaya zina, sama ada zina secara lisan atau perbuatan,
disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan nafsu dan syaitan.
Sepasang kekasih memerlukan masa untuk bersama tanpa menyedari tindakan
mereka itu sudah dalam perancangan syaitan sepertimana sabda Rasulullah
S.A.W: "Sekiranya seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram itu
berdua-duaan, nescaya yang ketiga adalah syaitan."
Jika tidak dapat menggoda lelaki dan wanita itu melakukan kemaksiatan
ketika bersama, syaitan akan berusaha supaya mereka tidak akan khusyuk
dalam beribadat kerana terlalu mengingati pasangan mereka.
Lebih membimbangkan individu terbabit akan lebih mengasihi dan
mendambakan kasih temannya melebihi Allah sehingga menjadikannya syirik,
kufur dan murtad.
Apabila dua syarat ini dilanggar, cinta tidak lagi murni dan berkekalan
dan kesannya peristiwa yang tidak diingini masyarakat seperti yang banyak
dilaporkan dalam akhbar kebelakangan ini.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home