Thursday, November 06, 2008

olimpik

Publication : HM

Edition : TE

Date : 26/06/2004

Page Number : 10

Headline : Olimpik simbol kekuatan politik, kuasa

Words : 729

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


SUKAN Olimpik ke-28 di Athens, Greece akan menggegarkan dunia tidak sampai
dua bulan lagi. Pelbagai persiapan giat dijalankan jawatankuasa penganjur
mahupun atlit yang akan mengambil bahagian.
Ketika Pierre de Courbertin mula menimbulkan gagasan bagi merencana
semula Sukan Olimpik pada 1894, beliau tidak mengharapkan sukan itu hanya
menjadi suatu temasya yang menghiburkan semata-mata.
Sebaliknya, aristokrat Perancis itu berharap sukan purba yang lenyap
selama 1,367 tahun itu dapat membentuk satu kesedaran atau fahaman baru
kepada setiap individu.
Kekalahan Perancis dalam Perang Franco-Prussian pada 1871 menyedarkan
beliau bahawa seseorang individu perlu memiliki kekuatan fizikal dan
mental yang mantap pada setiap masa.
Beliau juga percaya konsep pendidikan di Britain yang mementingkan
aktiviti berbentuk fizikal turut menyumbang kepada kekuatan politik dan
ketenteraan negara itu.
Sehubungan itu, beliau merasakan perlunya satu pendekatan atau fahaman
yang menekankan kepentingan fizikal dan mental individu yang mantap setiap
masa diperkenalkan.
Gagasan de Coubertin itu akhirnya diterima kerajaan Prancis ketika itu
dan satu jawatankuasa bagi mengendalikan sukan berkenaan, iaitu
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ditubuhkan.
Dua tahun kemudian, sukan olimpik moden pertama diadakan dan bagi
menghormati sejarah kewujudan sukan purba itu pada 776 Sebelum Masihi, ia
diadakan di negara kelahirannya, Greece.
Sukan Olimpik moden pertama yang membabitkan 245 atlit dari 13 negara
melahirkan satu falsafah baru yang dikenali sebagai Olimpisme.
Olimpisme menggalakkan pembangunan dan peningkatan kendiri individu,
lelaki atau wanita menerusi penekanan terhadap disiplin, keberanian, usaha
berterusan, hala tuju, maruah dan kesihatan diri.
Falsafah itu secara umumnya mengajak manusia memperbaiki diri supaya
sentiasa berada di tahap ke hadapan.
Konsep olimpisme ini bertepatan dengan salah satu simbol olimpik yang
ditetapkan IOC iaitu perkataan Latin yang berbunyi `Citius, Altius,
Fortius' yang bermaksud lebih pantas, lebih tinggi dan lebih kuat.
Dilihat dari aspek kesukanan, tiga perkataan Latin itu menjadi
perangsang kepada setiap atlit untuk terus mengungguli setiap acara yang
mereka sertai.
Berbekalkan konsep itulah setiap empat tahun sekali, ketika Sukan
Olimpik musim sejuk atau panas berlangsung, atlit berusaha menunjukkan
kemampuan mereka.
Setiap rekod yang dicipta pemenang acara terdahulu akan cuba dipecahkan.
Sebagai contoh, atlit Amerika Syarikat, Thomas Burke, memenangi acara
pecut 100 meter lelaki pada Sukan Olimpik 1896 dengan mencatat 12 saat.
Pada Sukan Olimpik ke-27 di Sydney, Australia empat tahun lalu, rekod
catatan masa itu seolah-olah tidak releven lagi bagi pertandingan sukan
prestasi tinggi.
Ini kerana atlit dari Amerika, Maurice Greene, memenangi acara berkenaan
dengan catatan 9.87 saat.
Tidak mustahil rekod baru dapat dicipta pada Sukan Olimpik di Athens
tahun ini.
Dorongan semangat yang dimaksudkan ini mungkin hanya dilihat dari ukuran
luaran saja tetapi konsep tiga perkataan Latin ini sebenarnya melatih
peribadi setiap atlit.
Atlit dilatih berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal perkataan jemu,
meletakkan matlamat serta keyakinan mereka pada tahap yang tinggi serta
bertindak pantas bagi mencapai matlamat mereka itu.
Semangat ini terserlah di kalangan pasukan atlit dari Republik Jamaica
yang menyertai acara Bobsleigh, iaitu antara acara bagi Sukan Olimpik
musim sejuk walaupun Jamaica negara beriklim tropika.
Walaupun pasukan itu tidak pernah mengetahui mengenai acara membabitkan
luncur salji, matlamat mereka untuk mencuba serta berusaha bersungguh-
sungguh untuk menyertai acara berkenaan yang akhirnya dikagumi seluruh
dunia.
Kita akan menyaksikan ketika majlis pembukaan Sukan Olimpik, burung
merpati putih akan dilepaskan. Burung merpati satu lagi simbol keamanan,
iaitu satu lagi gagasan yang dibawa oleh sukan olimpik.
Malah, boleh dikatakan faktor inilah antara penyebab Sukan Olimpik purba
diadakan kerana jika peperangan antara kuasa besar berlaku ketika itu,
peperangan itu akan dihentikan dan semua batalion tentera bergerak ke
Olimpia untuk menyertai Sukan Olimpik. Acara itu dikenali Olympic Truce.
Selain dua simbol itu, dua lagi simbol Olimpik adalah obor dan lingkaran
olimpik. Obor olimpik mewakili acara yang terdapat dalam sukan berkenaan
dan setiap acara memiliki obornya tersendiri.
Lingkaran olimpik yang juga lambang Pergerakan Olimpik terdiri daripada
lima lingkaran berwarna biru, kuning, hitam, hijau, merah dan
berlatarbelakangkan putih mewakili lima benua manakala enam warna mewakili
semua warna yang terdapat di bendera setiap negara.
Simbol lingkaran dan obor olimpik itu melambangkan hubungan baik dan
perpaduan antara negara yang menyertai sukan olimpik dan hubungan ini
dapat menggelakkan ketegangan antara negara hingga mencetuskan
kontroversi.
Sebagai penonton, sememangnya kita berasakan semangat olimpik itu turut
berakhir selepas tamatnya Sukan Olimpik, sedangkan kesan yang ditinggalkan
temasya sukan itu kekal sepanjang masa.
Ini kerana selagi wujudnya pelbagai jenis sukan membabitkan penyertaan
fizikal dan mental, selagi itulah wujudnya olimpisme.
Inilah yang menyebabkan Sukan Olimpik yang disambut setiap empat tahun
sekali ini tidak hanya menjadi satu temasya sukan semata-mata.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home