| ALOR STAR: Mahkamah Rendah Syariah, semalam diberitahu, waran tangkap tidak diperlukan ketika penahanan seorang bomoh empat tahun lalu, kerana menghidupkan semula amalannya yang diharamkan Majlis Fatwa Kedah. Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Syeikh Abdul Ghani Othman, berkata dalam membanteras kegiatan ajaran sesat, tertuduh perlu ditahan ketika amalan sedang dilakukan. Sehubungan itu, katanya, tindakan pegawai penguat kuasa Jaik menahan bomoh itu dan dua pembantunya ketika kegiatan perbomohan mereka sedang berjalan, sudah menjadi bukti tanpa perlu waran tangkap. Beliau berkata demikian ketika penggulungan hujah bagi menyangkal kenyataan peguam bela, Ahmad Farid Zakaria bahawa penahanan itu tidak sah kerana tiada waran tangkap dan tidak mengikut prosedur undang-undang. Penggulungan hujah pendakwa raya dan peguam bela itu dilakukan semalam berhubung kes seorang bomoh wanita, Rodziah Ismail, 55, yang dituduh melakukan amalan perbomohan yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Kegiatan Rodziah diharamkan selepas didapati memesong daripada Islam apabila dia antara lain didakwa mengaku dirinya setaraf Nabi Muhammad dan menerima wahyu Tuhan pada Januari 2000. Rodziah dan dua pembantunya, Saidin Mat Isa, 60, dan Saodah Md Akhir, 51, ditangkap pada 31 Oktober 2000 kerana meneruskan kegiatan itu. Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah nombor B-448, Taman Wira, Mergong, jam 9.40 malam. Rodziah dituduh mengikut Seksyen 166, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah 1962 (Pindaan ke-5 1987) kerana melakukan kegiatan bersifat mengeji agama dan Seksyen 23, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 kerana menganjurkan maksiat. Saidin dan Saodah pula dituduh mengikut Seksyen 29, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 kerana didapati bersubahat membantu Rodziah menjalankan kegiatan berkenaan. Jika didapati bersalah, semua tertuduh boleh didenda maksimum RM1,500 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, Abdul Ghani berkata, keterangan 13 saksi pendakwa sebelum ini jelas tidak bercanggah dan menunjukkan amalan perbomohan Rodziah bertentangan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah. "Rodziah juga jelas melakukan maksiat apabila berlawanan hukum syarak serta mempertikai fatwa yang mengharamkan perbuatannya dengan alasan rawatan perbomohannya terapi Melayu," katanya di hadapan Hakim Syarie, Syeikh Bisyamuddin Azhar Baharom. Beliau berkata, Saidin yang juga suami Rodziah jelas bersubahat apabila hanya membiarkan kegiatan Rodziah dan tidak mencegah perbuatan berkenaan. "OKT (orang kena tuduh) 2 (Saodah) pula jelas bersubahat menerusi keadaan dan pakaiannya merestui kegiatan itu dan ketika ditahan tidak boleh berpisah dengan OKT 1 (Rodziah)," katanya. Sementara itu, Ahmad Farid dalam penggulungan hujahnya berkata, perkataan `subahat' mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan menghasut, membantu dan mengambil bahagian dan dua anak guamnya tidak termasuk dalam kategori itu berdasarkan keadaan ditahan. "Perkataan `maksiat' pula bermaksud melanggar perintah Allah tetapi Ketua Operasi (Syeikh Ahmad Syah Muzammil Ayob) pada malam itu sendiri mengakui perbomohan yang memulihkan orang lain adalah perbuatan baik," katanya. Keputusan kes akan diketahui pada 29 November ini. (END)
|
0 Comments:
Post a Comment
<< Home