Thursday, November 06, 2008

makhluk halus tunjuk garang

Publication : MA

Edition :

Date : 17/10/2004

Page Number : 42

Headline : Makhluk halus tunjuk garang

Words : 571

Byline : Oleh NASRULLAH RAHIM

Text :


BANTAL dan selimut bergerak sendiri menjadi bentuk mayat manusia dan
lukisan wajah menyeramkan berwarna merah terbentuk sendiri di telekung.
Pinggan mangkuk dan gelas pula berterbangan sebelum jatuh terhempas,
manakala barangan di dalam rumah terbakar secara tiba-tiba.
Semua itu sesuatu yang di luar pemikiran manusia normal dan selama ini
mungkin hanya dapat dilihat dalam filem seram.
Bagaimanapun, itulah peristiwa aneh yang terpaksa dilalui sebuah
keluarga di rumah mereka di Taman Sri Belimbing, Tanjung Bendahara, Alor
Star, Kedah sejak Ogos lalu.
Kejadian itu bukan hanya disaksikan keluarga berkenaan, tetapi juga
orang ramai yang berkunjung ke rumah mereka untuk melihat peristiwa
menyeramkan yang dipercayai angkara makhluk halus itu.
Rumah teres itu dikunjungi beratus-ratus orang setiap hari, terutama
pada waktu malam, untuk melihat kejadian menyeramkan yang dialami
keluarga berkenaan.
Antara kejadian aneh di rumah itu adalah pakaian dan kain terbakar
dengan sendiri, barangan kaca pecah secara tiba-tiba serta tulisan yang
muncul tanpa diduga pada pakaian.
Segala misteri dan kejadian aneh itu dikatakan berpunca daripada
tindakan makhluk halus mengganggu seorang ahli keluarga di rumah
berkenaan sejak 10 bulan lalu.
Hafizi Arshad, 19, berkata kakaknya, Hafiza, 23, sentiasa diganggu
makhluk halus sejak Januari lalu dan ia semakin agresif sejak
kebelakangan ini.
Ini kerana makhluk itu mula menimbulkan perkara aneh di kawasan rumah
mereka seperti membakar kain dan pakaian, memecahkan barangan kaca serta
menconteng muka kakaknya dengan perkataan 'mati'.
"Pernah kami menjemput sekumpulan pelajar dari Insaniah (Institut Agama
Islam Negeri Kedah) untuk membaca Yasin dan selepas itu didapati air
Yasin itu mengandungi ikan talapia.
"Malah, air minuman yang dijampi bomoh dan ingin diberi minum kepada
kakak saya tiba-tiba berubah menjadi tuak (arak)," katanya ketika ditemui
di rumah berkenaan, baru-baru ini.
Menerima bungkusan
Sementara itu, Hafiza berkata, dia mula diganggu Januari lalu, ketika
menerima sebuah bungkusan daripada seseorang ketika di kampung neneknya
di Kampung Titi Haji Idris, dekat Pendang.
Bagaimanapun, katanya, bungkusan mengandungi tiga kain kuning yang
diikat itu kini hilang dan tidak dapat dikesan selepas dia meletaknya di
biliknya.
Menurutnya, kurang seminggu selepas menerima bungkusan itu, dia sering
mengalami mimpi ngeri dan terbayang 'lembaga hitam' dan apabila tersedar,
banyak kesan calar dapat dilihat di tubuhnya.
"Saya kemudian ke rumah saudara di Kampung Kelompong, Alor Star dan
gangguan itu berterusan sebelum berpindah ke rumah ini (di Taman Sri
Belimbing) Mei lalu.
"Gangguan itu terhenti dan hanya berulang kira-kira dua bulan lalu dan
kali ini semakin ganas," katanya.
Menurutnya, tiga adiknya berusia 13, 11 dan lapan tahun kini
dipindahkan bagi mengelak tekanan lebih teruk.
Katanya, makhluk berkenaan seolah-olah mengikuti ke mana dia pergi dan
bukan hanya mengganggu di sesuatu lokasi.
Ini kerana dia sudah tiga kali berpindah tempat tinggal dan setiap kali
berpindah, gangguan itu masih berlaku.
Akibat gangguan itu juga, barangan dan peralatan di dalam rumah mereka
kini rosak teruk dan terpaksa dibuang, menyebabkan rumah itu kini hampir
kosong.
Difahamkan, ibu bapa mereka menghabiskan RM15,000 untuk mengupah 40
bomoh bagi melakukan perubatan tradisional, tetapi tidak berjaya
memulihkan anak mereka.
Beberapa bomoh yang mengubati Salmah mendakwa, dia diganggu makhluk
halus yang didatangkan dari Thailand dan dua lembaga 'diarahkan' untuk
tujuan itu.
Bagaimanapun, berkat pertolongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor
Mengkudu, Fadzil Hanafi, yang juga tokoh agama, keluarga itu kini bebas
daripada gangguan makhluk berkenaan.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home