Thursday, November 06, 2008

beban tugas guru

Publication : BM

Edition :

Date : 08/01/2006

Page Number : 01

Headline : Beban kerja guru 74 jam seminggu

Words : 610

Byline : Oleh Ziauddin Sharuddin; Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala
Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu
berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa
(ILO).
Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani
lima tugas lain - pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan;
kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat;
kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.
Butir-butir ini terkandung dalam laporan kaji selidik Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP bertajuk `Pandangan dan Syor NUTP:
Beban Guru' meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknik dan
politeknik yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.
Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005 itu, kaji selidik
itu adalah antara usaha NUTP memberi gambaran jelas kepada kementerian
supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru.
Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu
membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari,
jurujual, jurutaip dan juruhias.
Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila
mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja
pentadbiran.
Katanya, pertambahan beban tugas guru dikhuatiri akan menyebabkan hala
tuju sistem persekolahan negara lebih mementingkan keputusan berasaskan
peperiksaan, berbanding memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar.
"Sistem persekolahan sepatutnya dapat memupuk budaya mencintai ilmu di
kalangan pelajar, tetapi ini dihalang oleh suasana guru yang semakin
kurang berinteraksi dengan pelajar.
"Guru kini selain mengejar waktu untuk menghabiskan silibus mata
pelajaran, memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran pelajar menjawab
soalan peperiksaan," katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Lok berkata, bilangan mata pelajaran semakin banyak dan melalui Sistem
Pensijilan Terbuka di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lebih 100
mata pelajaran ditawarkan kepada pelajar.
"Adakah kita hanya mahu menggalakkan pelajar mendapat sebanyak mungkin
A dalam peperiksaan. Jangan lupa bahawa aspek bukan akademik juga
penting. Ada pelajar tidak berminat aspek akademik, tetapi mempunyai
potensi dalam bidang lain," katanya.
Lok menegaskan bahawa guru ingin memberi tumpuan kepada core business
mereka, iaitu mengajar.
Bagaimanapun, katanya guru lebih menghabiskan masa menguruskan data,
fail, rekod dan laporan, menguruskan pelbagai pertandingan kurikulum dan
kokurikulum serta program akademik dan bukan akademik di luar sekolah.
Katanya, guru kelas dibebankan dengan pelbagai kerja perkeranian dan
hanya sedikit masa digunakan untuk tujuan persediaan alat bantu mengajar
dan rancangan mengajar serta menyemak buku latihan pelajar.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelajaran melantik guru
khas untuk mengendalikan kegiatan kurikulum dan kokurikulum serta
mewujudkan jawatan pembantu guru yang dapat menjalankan kerja perkeranian.
Katanya, kaji selidik itu dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran dan
menjadi pelengkap kepada kajian serupa iaitu Kajian Jawatankuasa
Menangani Beban Tugas Guru yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian
Pelajaran, Tan Sri Ambrin Buang.
INFO
Kaji selidik NUTP mengenai beban tugas guru
A: Urusan data, fail, buku rekod dan laporan
* Pemprosesan maklumat guru, pelajar dan sekolah
* Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), stok mata pelajaran dan bengkel
* Penilaian kerja kursus mata pelajaran untuk peperiksaan
* Penilaian lisan berasaskan sekolah (PLBS)
* Buku Nilam Sekolah
* Laporan Adab Belajar
* Baitulmal dan biasiswa
* Laporan guru bertugas
* Urusan disiplin pelajar
* Urusan pusat sumber
* Program khas dari Jemaah Nazir
* Buku rekod kerja sekolah
B: Pentadbiran
* Pegawai pinjaman di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan
Daerah
* Pengurusan pentadbiran
* Kutipan yuran dan pelbagai
* Guru kelas
C: Kurikulum
* Jenis peperiksaan
* Program sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran
* Kertas kerja kajian tindakan
* Panitia
* Mata pelajaran
* Pentaksiran Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS)
* Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)
D: Kokurikulum
* Aspek keselamatan & perlindungan guru dan pelajar
E: Hal Ehwal Murid (HEM)
* Urusan HEM Sekolah Menengah Berasrama
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home