| ANTARA peristiwa besar yang berlaku sepanjang Ramadan adalah turunnya al-Quran, mukjizat terbesar kurniaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W pada 17 Ramadan yang turut dikenali sebagai Nuzul Quran. Ada ulama berpendapat bahawa al-Quran ataupun 'Kalamullah' (Firman Allah) diturunkan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia menerusi tiga peringkat. Peringkat pertama, al-Quran diturunkan Allah secara keseluruhannya ke suatu tempat yang dinamakan Lauhil Mahfudz. Peringkat kedua, al-Quran dibawa secara keseluruhannya dari Lauhil Mahfudz ke suatu tempat yang dinamakan Baitul Izzah yang terletak di langit dunia. Peristiwa itu berlaku pada Ramadan menerusi ayat pertama daripada surah al-Qadr iaitu: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar." Seterusnya, al-Quran diturunkan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan Jibrail A.S secara berperingkat dan turunnya ayat pertama itu adalah pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610. Peristiwa penurunan ayat pertama sehingga kelima dari surah al-Alaq itu juga menjadi petanda kerasulan Nabi Muhammad ketika baginda berada di Gua Hira, di bukit Jabal Nur terletak berhampiran Makkah. Ayat itu adalah: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian makhluk). Ia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan penulisan. Ia mengajarkan manusia akan apa yang tidak diketahuinya." Ayat al-Quran mengandungi 114 surah diturunkan selama 23 tahun dengan 13 tahun di Makkah (1,456 ayat) dan sepuluh tahun di Madinah (4,780 ayat). Selepas disampaikan oleh Rasulullah, nas al-Quran dipelihara melalui tiga cara, iaitu hafalan para sahabat, naskhah yang ditulis untuk nabi serta naskhah yang ditulis untuk simpanan sahabat. Selain itu, Rasulullah turut mengulang ayat al-Quran di hadapan Jibrail setahun sekali dan pada akhir hayat baginda, Rasulullah khatam al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibrail. Bagaimanapun, kebanyakan golongan sahabat yang menghafaz al-Quran syahid dalam peperangan ketika menegakkan agama Allah menyebabkan al-Quran perlu dikumpul dan dijilidkan. Sejarah penjilidan al-Quran bermula pada pemerintahan Uthman ibnu Affan dan setiap nas disusun mengikut tertib yang ditunjukkan oleh Rasulullah sebelum baginda wafat. Uthman menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menjalankan proses pembukuan al-Quran yang diketuai Zaid bin Tsabit selain Abdullah bin Zubair, Sa'id 'Ash dan Abdur Rahman bin Harits bin Hisyam. Jawatankuasa itu mengumpul serta menyalin nas al-Quran sehingga dibukukan selain memperoleh lembaran nas yang disalin Abu Bakar as-Siddiq daripada puterinya Hafsah. Antara lain, jawatankuasa itu menjejak penghafaz al-Quran untuk mendengar hafalan mereka dan semua hafalan itu ditulis kembali dalam dialek Quraish untuk mengelakkan perbalahan sesama kaum. Akhirnya, jawatankuasa itu berjaya menyalin serta menjilidkan lima al-Quran yang dinamakan al-Mushhaf dan empat daripadanya dikirimkan ke Makkah, Syria, Basrah dan Kufah untuk disalin oleh pihak di sana. Sebuah lagi al-Quran disimpan untuk kegunaan Uthman r.a dinamakan Mushhaf al-Imam dan selepas itu, semua lembaran salinan al-Quran yang ditulis sebelum pembukuan dibakar. Turunnya al-Quran kepada umat manusia memberi rahmat kepada manusia dan seluruh alam. Ini kerana al-Quran menjadi panduan untuk manusia menjalani kehidupan di dunia ini mengikut fitrah yang ditetapkan. Selain itu, ayat al-Quran memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan yang disampaikan kepada manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam. Hal ini diakui Allah menerusi firmanNya: "Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama). Pada zaman Rasulullah ketika itu, Allah menerangkan secara jelas di dalam al-Quran kepada manusia mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui pemikiran manusia ketika itu. Antara fakta sains yang ditemui dalam al-Quran iaitu semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), pokok menghasilkan bahan bakar (Yaasiin: 80), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61) dan semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125). Fakta lain iaitu semua makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32). Selain itu, kajian lain yang dijalankan mendapati bahawa jumlah sesetengah perkataan berbahasa Arab di dalam kitab itu adalah saling berlawanan. Antara perkataan berkenaan iaitu dunia yang disebut sebanyak 115 kali manakala akhirat yang turut disebut sebanyak 115 kali, malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali) serta lelaki dan perempuan (24 kali). Perkataan lain adalah ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali). Golongan muslimin dan jihad (41 kali), orang yang sesat dan meninggal dunia (17 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali). Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib ditemui adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali). Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang terdapat di dunia ketika ini iaitu 71.111 peratus dan 28.889 peratus. Misteri yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran ini membuktikan bahawa kitab berkenaan bukanlah rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home