Monday, November 20, 2006

tok janggut

nasron21

Jejak - Tok Janggut

PROFIL
HAJI MAT HASSAN PANGLIMA MUNAS
Gelaran lain: Tok Janggut
Tahun lahir: 1850
Tempat lahir: Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan.
Tahun kematian: 1915 (berusia 65 tahun).
Sumbangan: pejuang kebebasan Kelantan.

Oleh Nasron Sira Rahim

BRITISH cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Kononnya lelaki itu dan kumpulannya adalah penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya sendiri iaitu Kelantan; begitulah cerita yang mereka canang-canangkan.
Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya ialah Mat Hassan Panglima Munas itu dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.
Benar-benar British cuba memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu lantaran kesan dan pengaruh dibawa Tok Janggut bukan kecil; dan jika usahanya dibiarkan, aktiviti kolonialisme rakyat asing di Tanah Melayu ketika itu mampu tergugat.
Ya, jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah mereka kononnya sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ sehingga beranggapan masyarakat kaum lain memerlukan bantuan mereka untuk mengurus dan memerintah jajahan, akan terjejas.
Lalu mereka mengambil keputusan untuk membunuh Tok Janggut dan apabila tokoh yang juga ulama itu syahid, mereka mula menyedari bahawa ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkannya peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf bagi memburukkan pula nama Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan masyarakat generasi mendatang akan menganggap lelaki itu dan kumpulannya adalah ‘penderhaka’ dan ‘pengkhianat’ bangsa dan negara.
Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, nyata usaha British itu tidak berhasil apabila melewati masa, masyarakat masih menyedari sumbangan dan bakti Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.
Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.
Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipercayai dipupuk sedari kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850 dan berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.
Beliau dikatakan pernah belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan ketika masih di Mekah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu.
Ketika itu, British mula melebarkan penjajahan mereka ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.
Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara British dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa British manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Kehadiran British di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.
Mat Hassan akhirnya pulang ke Kelantan dan menyedari penjajahan rakyat asing terhadap tanah airnya. Tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan British, beliau menawar diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Mat Hassan juga memiliki hubungan rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Melihat sendiri penindasan British terhadap masyarakat dan tanah airnya, timbul semangat perjuangan dalam jiwa Mat Hassan terhadap penjajah yang disifatkannya sebagai ‘kafir harbi’.
Dalam masa sama, sentimen anti-British semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.
Keputusan Kerajaan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Mat Hassan kerana ia bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.
Selain itu, faktor penindasan British menerusi kutipan cukai yang mahal menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Diceritakan bahawa ketika British mula melaksanakan kutipan, Mat Hassan dan pengikut pada mulanya turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.
Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengabaikan kesudian rakyat yang sudah pergi membayar cukai apabila hanya menugaskan seorang pekerja untuk memungut cukai menyebabkan orang kampung terpaksa menunggu selama tiga hari untuk membuat pembayaran.
Jemu dengan keadaan itu, Mat Hassan memutuskan untuk tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangannya. Selepas puluhan tahun menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.
Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang British dan keputusan dibuat untuk mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika mereka tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.
Bagaimanapun, Mat Hassan bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Walaupun sudah menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan, layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbulnya persengketaan.
Dalam kejadian itu, Mat Hassan tidak bersetuju apabila pihak polis berjalan di belakangnya kerana ia kelihatan seolah-olah mereka sedang mengawal tindakannya daripada melarikan diri. Sebaliknya, beliau menegaskan polis perlu berjalan seiringan atau di hadapannya.
Bagaimanapun polis tetap berkeras dengan tindakan mereka menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati.
Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan British. Pihak Mat Hasan yang ketika itu turut digelar Tok Janggut kemudian mengambil tindakan awal sebelum British menyerang mereka.
Mereka bergerak ke Pasir Puteh dan menyedari kemaraan Tok Janggut dan pengikutnya yang ramai, pegawai British di jajahan itu segera melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran mereka sendiri dengan Tuk Janggut diisytihar sebagai Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.
Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada British bahawa baginda akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri (Mohd Hassan Ismail) dan Datuk Bentara Setia (Nik Mahmud Ismail) bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir untuk berunding.
Ungku Besar dan Tok Janggut kemudian menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka kepada kerajaan.
Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran antara RM500 hingga RM250.
Langham-Carter bagaimanapun tidak yakin dengan kemampuan Sultan untuk menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki beliau dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Mat Hassan.
Lalu beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar British dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915.
Bagaimanapun pengikut Tok Janggut cukup bijak apabila mengambil keputusan untuk tidak berdepan dengan pasukan British yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka keluar dari jajahan itu dan bersembunyi. Selepas seminggu, tentera British kembali ke Singapura apabila mereka tidak menjumpai kumpulan penentang.
Selepas mendapat tahu bahawa kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, British kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan British mencetuskan kemarahan Tok Janggut yang bertindak menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.
Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai British pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyaki lelaki itu bersembunyi di rumah berkenaan.
Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati di tempat kejadian.
Pasukan Tok Janggut dan tentera British kemudian bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, dalam pertempuran itu, Tok Janggut akhirnya syahid bersama ramai pengikutnya.
Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu. Pejuang itu kemudian digantung dengan kaki ke atas dan kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan. 41


HEADING:

PERJUANGAN Tok Janggut bagi membebaskan Kelantan daripada belenggu penjajahan British disokong beberapa sahabatnya yang juga tokoh pejuang terbilang yang tidak boleh dinafikan sumbangan besar mereka.
Antara mereka adalah Ungku Besar Jeram, Khatib Abu Bakar, Tok Nik Bas, Pa’ia, Cik Sohak, Penghulu Adam, Berahim Teleng, Tok Hussin, Tok Abas, Penghulu Deraman Akil, Haji Said, Tok Deris, Samad, Awang Ngah Mamat Laboh, Haji Chik Tok Nibeng Dotang, Pak Man Saman dan Pak Leh.
Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi; Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia; Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, bagaimanapun berkata ramai pihak lebih mengenali Tok Janggut berbanding teman seperjuangannya.
Beliau berkata, ini disebabkan Tok Janggut ketika itu adalah pemimpin perjuangan malah tokoh itu juga adalah imam di kampungnya.
“Ramai tidak mengetahui bahawa orang Melayu pertama yang terbunuh dalam peristiwa itu adalah Khatib Abu Bakar iaitu khatib yang bertugas bersama imam Tok Janggut sebelum penentangan berlaku,” katanya.
Dalam peristiwa itu, Khatib Abu Bakar yang juga moyang Dr Nik Anuar, terbunuh kerana mempertahankan maruah agama dan bangsanya lantaran sikap kurang ajar tentera Sikh yang menceroboh masuk ke rumahnya tanpa adab.
“Ketika tentera Sikh sampai di Kampung Merbol, mereka melihat ramai orang berkumpul di rumah Khatib Abu Bakar dan menyangka Tok Janggut bersembunyi di situ; mereka kemudian menceroboh dan naik ke rumah itu dengan memakai kasut dan tindakan itu dianggap biadab dan tidak menghormati tuan rumah dalam budaya Melayu.
“Lantaran itu, berlaku pertengkaran antara Khatib Abu Bakar dan tentera Sikh disebabkan sikap kurang ajar itu menyebabkan tokoh itu menetak parang pada topi tentera. Tentera kemudian menikam moyang saya itu dengan benet,” katanya.
Dr Nik Anuar berkata, dalam zaman penentangan itu juga, terdapat penduduk Melayu yang menjadi tali barut British semata-mata ingin mendapatkan tawaran lumayan yang disediakan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan pengikutnya.
Hasil tawaran itu, terdapat penduduk Melayu yang belot sehingga menyebabkan beberapa pengikut Tok Janggut seperti Berahim Teleng ditangkap dan dikenakan hukuman tembak sampai mati dan Pa’ia ditembak oleh penembak upahan.
“Ungku Besar berjaya mengundurkan diri ke Reman dan British meminta bantuan Siam di Narathiwat untuk menangkap baginda. Deraman Akil dan Pak Man Seman dihukum penjara seumur hidup manakala Penghulu Adam didenda RM10,000 dan dihukum penjara 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata, tidak berpuas hati dengan ‘kejayaan’ itu, British membakar rumah Tok Janggut dan pengikutnya manakala harta mereka dirampas.
“Penduduk Jajahan Pasir Puteh pula dihukum dengan memaksa mereka membayar denda antara RM10 hingga RM3 kerana bersubahat dengan Haji Mat Hassan. Nilai RM3 ketika itu amatlah mahal seperti RM3,000 pada hari ini,” katanya.

KETERANGAN GAMBAR
1. GAMBAR milik Bodleian Library, Oxford, United Kingdom menunjukkan gambar dipercayai jenazah Tok Janggut selepas terbunuh.

2. GAMBAR milik Bodleian Library, Oxford, United Kingdom menunjukkan sekumpulan askar British berehat selepas bertempur dengan pasukan Tok Janggut

3. GAMBAR milik Bodleian Library, Oxford, United Kingdom menunjukkan askar British yang terbabit dalam pertempuran dengan Tok Janggut.

4. GAMBAR milik Bodleian Library, Oxford, United Kingdom menunjukkan gambar dipercayai jenazah Tok Janggut yang digantung di Kota Bharu selepas dibunuh.

5. Prof Dr Nik Anuar Mahmud.

6. Pusara Tok Janggut yang terbiar di Pasir Pekan Hilir, Tumpat, Kelantan.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home