Wednesday, October 18, 2006

misteri kepupusan dinosaur

nasron31

Misteri - dinosaur

Oleh Nasron Sira Rahim

APAKAH yang menyebabkan dinosaur pupus dari muka bumi ini? Persoalan itu terus dikaji penyelidik dan saintis seluruh dunia lantaran jawapan dan teori yang dikemukakan sehingga kini, semuanya didapati relevan kepada punca kepupusan hidupan itu.
Apapun puncanya, haiwan raksasa itu sudah lama pupus dan penaklukan mereka di seluruh muka bumi jutaan tahun lalu kini sudah diganti dan didominasi pula oleh manusia.
Pada zaman Jurasik sekitar 144 hingga 206 juta tahun lalu, seluruh permukaan muka bumi ini dipenuhi dinosaur, sama seperti ia dipenuhi manusia ketika ini. Justeru, apabila memikirkan bahawa terdapat suatu kuasa yang mampu melenyapkan semua haiwan itu untuk selama-lamanya, pastinya punca misteri itu amat menakutkan.
Mungkinkah kuasa itu juga akan berulang lalu melenyapkan semua manusia pula? Bayangkan jika kuasa itu tidak melenyapkan semua dinosour, pasti haiwan itu akan terus hidup sehingga kini.
Lalu dengan saiz gergasi, sikap ganas dan ngauman yang mampu menggegarkan jagat, bayangkan pula bagaimana haiwan itu akan menjalani kehidupan bersama manusia ketika ini?
Selepas pupus sekitar 65 juta tahun lalu, kewujudan dinosaur terus menjadi rahsia tanpa diketahui sesiapa. Tiada siapa yang menyangka bahawa sebelum manusia menjadi pintar dan mampu membina tamadun, sudah ada hidupan darat yang jauh lebih besar daripada gajah dan memiliki sifat ganas lagi menakutkan.
Selama puluhan juta tahun juga, fosil dinosaur yang terbenam dalam tanah terus tersembunyi rapi dan ramai manusia tidak mengetahui kewujudan mereka sehinggalah kajian mengenai hidupan itu mula dijalankan secara komersil sekitar abad ke-19.
Sebelum itu, fosil dinosaur pertama yang direkodkan dijumpai di England pada 1676. Ia dikenali sebagai kumpulan spesies ‘megalosaurus bucklandii’ dan nama saintifik itu diberikan William Buckland hampir 150 tahun selepas ditemui iaitu pada 1824.
Bagaimanapun, ada penyelidik percaya bahawa fosil dinosaur terawal sudah ditemui ribuan tahun lalu. Masyarakat Greek dan Roman misalnya, dipercayai sudah menjumpai fosil dinosaur pada zaman mereka berdasarkan ciri-ciri makhluk raksasa ‘orge’ dan ‘griffin’ dalam cerita mitos budaya mereka.
Naga yang begitu popular dalam budaya masyarakat Cina juga dipercayai dinosour dan tulang naga yang dikatakan dijumpai di Wucheng, Sichuan, China lebih 2,000 tahun lalu berkemungkinan adalah fosil dinosaur.
Perkataan dinosaur atau ‘dinosauria’ diperkenalkan ahli kaji purba Inggeris, Richard Owen pada 1842 dan ia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘reptilia ganas’ atau ‘cicak ganas’. Perkataan itu digunakan bagi mewakili semua jenis spesies haiwan yang hidup jutaan tahun lalu tetapi sudah pupus.
Sehingga kini, sebanyak 527 jenis spesies dinosaur sudah dikenal pasti dan saintis percaya terdapat 1,844 jenis dinosaur wujud suatu ketika dulu. Ada antara hidupan itu adalah herbivor dan karnivor, hidup di darat, lautan dan mampu terbang.
Sejak ditemui, pelbagai andaian dan fiksyen turut ‘mewarnai’ dunia misteri dinosaur antaranya filem Jurasic Park menyatakan bahawa spesies yang sudah pupus itu mampu dihidupkan kembali.
Suatu persoalan dan misteri lain yang dicetuskan beberapa pihak adalah ada antara dinosaur itu yang terselamat daripada pupus dan masih kekal hidup sehingga kini. Misteri itulah yang menyelubungi penduduk Tasik Loch di Scotland mengenai makhluk yang mereka gelar sebagai ‘Nessy’.
Mereka mendakwa sejenis spesies dinosour air iaitu ‘plesiosaurus’ masih wujud dan beberapa kali kelihatan di tasik itu. Sama ada dakwaan itu benar atau pembohongan masih menjadi misteri.
Mungkinkah masih ada spesies dinosaur air masih wujud tetapi tersembunyi di dasar lautan dalam yang masih belum mampu diterokai manusia ketika ini walaupun menggunakan peralatan sains dan teknologi?
Atau semua hidupan itu sudah pupus dan hanya meninggalkan fosil di bawah timbunan tanah di seluruh dunia. Mungkinkah di bawah tempat yang anda berada sekarang turut tertanam fosil dinosaur?
Berikut adalah teori bagaimana dinasour pupus:

- Hentaman Komet ke Bumi
Teori ini dikemukakan Walter Alvarez lewat 1970-an. Kajiannya menunjukkan peningkatan paras iridium secara mendadak di seluruh dunia berkemungkinan disebabkan hentaman komet ke Bumi kira-kira 65 juta tahun lalu.
Ini disebabkan komet atau asteroid sememangnya mengandungi kandungan mineral itu dalam kuantiti banyak dan iridium dibawa bersama komet dan disebarkan ketika ia menghentam planet ini.
Kesan hentaman itu dikatakan berlaku di Semenanjung Yucatán, Mexico dan kawah Chicxulub yang terdapat di kawasan itu dipercayai antara kesan hentaman komet yang masih wujud sehingga kini.
Bebola api yang menyebabkan kepupusan itu dianggarkan memiliki saiz yang besar iaitu antara lima hingga 15 kilometer dan ia menyebabkan kemusnahan pada kawasan seluas lebih 170 kilometer.
Kesan hentaman komet itu dipercayai berlaku beberapa kali dan mula memberi kesan ketidakseimbangan terhadap suhu dan keadaan di Bumi. Ia dikatakan mula meningkatkan kadar aktiviti gunung berapi, suhu di Bumi mula berubah dan tidak sesuai untuk dinosaur.
"Kejadian seumpama ini berlaku sekali setiap satu bilion atau dua bilion tahun. Mungkin juga kehidupan yang lebih kompleks tidak pernah mengalami kejadian seperti itu lagi," kata pakar fizik dari The Lunar and Planetary Institute di Houston, Virgil Sharpton.
Satu pendapat lain adalah komet yang menghentam Bumi bukanlah komet tunggal tetapi ia berasal daripada ‘Oort cloud’ dan memasuki atmosfera planet ini sebagai ‘hujan komet’ yang memberi kesan yang lebih teruk.

- Perubahan Keadaan Bumi
Ketika kemuncak era dinosaur, Bumi dikatakan mengalami peningkatan air laut akibat cairan ais di kawasan kutub. Paras air laut ketika itu dianggarkan meningkat antara 100 hingga 250 meter daripada paras sekarang dan menenggelamkan banyak kawasan daratan.
Suhu di semua kawasan Bumi sama ada di gurun atau kutub juga dikatakan seragam dengan anggaran sekitar 25 darjah Celsius. Suhu atmosfera juga meningkat dan menjadi semakin hangat iaitu sehingga 50 darjah Celsius daripada suhu ketika ini.
Kandungan atmosfera ketika itu juga berbeza dengan keadaan sekarang. Kandungan karbon dioksida dikatakan meningkat sehingga 12 kali ganda manakala oksigen pula memenuhi sekadar 32 hingga 35 peratus berbanding 21 peratus ketika ini.
Bagaimanapun, keadaan panas itu berakhir pada lewat era Cretaceous iaitu antara 146 hingga 136 juta tahun lalu. Aktiviti gunung berapi juga semakin menurun dan zaman sejuk mula mengambil alih. Kandungan karbon dioksida dan oksigen dalam atmosfera juga semakin menurun.
Ada saintis berpendapat perubahan keadaan di Bumi dan atmosfera itu menyebabkan kematian banyak spesies kehidupan. Jika dinosaur memiliki sistem respiratori yang menyamai burung, maka mereka akan menghadapi masalah dalam pernafasan dan kemungkinannya akan mati.

- Sebab lain
Selain dua teori itu, ada juga kalangan saintis yang mengatakan kepupusan dinosaur mungkin berpunca daripada gabungan pelbagai keadaan seperti hentaman komet dan perubahan keadaan Bumi.
Satu kajian yang dijalankan oleh ahli sains Amerika Syarikat mendapati hampir 70 peratus kematian semua spesies haiwan kira-kira 65 juta tahun dulu tidak hanya di sebabkan hentaman komet ke atas bumi seperti yang diketahui umum sebelum ini.
Pakar paleontologi, Charles Marshall dan ahli geologi, Peter Ward dalam jurnal sains mereka tidak menafikan bahawa kepupusan dinosaur dan spesies haiwan purba lain di sebabkan terhempasnya sebiji komet di Semenanjung Yucatan.
Bagaimanapun, menurut mereka terdapat beberapa faktor lain turut menyumbang kepada pengurangan haiwan purba terbabit. Misalnya, kejatuhan paras air laut lebih kurang 10,000 tahun sebelum jatuhnya komet itu dari langit mengakibatkan 25 peratus spesies haiwan terbabit mati.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home