Monday, October 16, 2006

misteri psikik

nasron28

Misteri - psikik

Susunan Nasron Sira Rahim

SUATU pembunuhan ngeri membawa pihak berkuasa ke jalan kebuntuan - tidak banyak bukti berjaya dikumpul malah tidak ramai juga suspek yang boleh disyaki dan dikaitkan dengan kes berkenaan.
Siasatan selama beberapa bulan akhirnya menemui jalan buntu dan pembunuh sebenar masih bebas berkeliaran sambil berkemungkinan mentertawakan pihak polis kerana gagal mengesan perbuatan jenayah hasil kelicikannya.
Seorang wanita akhirnya dipanggil untuk membantu siasatan polis sebagai usaha terakhir sebelum kes diklasifikasi ‘tidak selesai’. Kehadiran wanita itu sebenarnya tidak diiktiraf badan kehakiman sebagai saksi pendakwaan mahkamah tetapi kemampuannya diharap mampu memecahkan kebuntuan polis seterusnya menyelesaikan kes itu.
Beberapa bahan bukti diserahkan kepada wanita itu dan sebaik memegang bahan berkenaan, dengan memejam mata, dia mula menghuraikan petunjuk baru untuk siasatan polis. Hasil bantuan wanita itu, polis akhirnya berjaya menyelesaikan jenayah berkenaan.
Berbanding negara ini, psikik lebih ‘popular’ di kalangan masyarakat Barat terutama Amerika Syarikat. Bantuan psikik dikatakan pernah digunakan bagi menyelesaikan kes jenayah yang tidak selesai dan menemui jalan buntu di negara itu.
Tidak saja digunakan untuk membantu kes jenayah terutama bunuh dan penculikan, psikik turut dikomersilkan apabila sudah ada beberapa pihak menghasilkan siri televisyen malah menubuhkan institut bagi mengkaji kemampuan itu.
Terdapat dua teori yang dikaitkan dengan kemampuan psikik. Satu daripadanya adalah menggunakan sihir manakala satu faktor lain yang dianggap menakjubkan adalah kemampuan luar biasa itu dianugerahkan Tuhan kepada seseorang.
Segala-galanya dikaitkan dengan kemampuan ‘deria keenam’ atau minda manusia yang sehingga kini dikatakan masih belum dimanipulasi atau digunakan dengan sepenuhnya.
Pendapat mengatakan seseorang manusia normal termasuk mereka yang bijak hanya menggunakan kemampuan mindanya sekitar 10 peratus saja manakala 90 peratus lagi kemampuan masih kekal misteri.
Berdasarkan kepada kenyataan berkenaan, maka golongan psikik mendakwa kemampuan luar biasa itu mampu diperoleh jika misteri 90 peratus lagi kemampuan minda itu berjaya disingkap dan digunakan.
"Kita sekadar menggunakan antara 10 hingga 20 peratus daripada kemampuan minda kita. Bayangkan bagaimana akan terjadi dalam kehidupan jika kita mampu menggunakan 80 hingga 90 peratus kemampuan minda para sedar kita,” kata Michael Clark, penulis buku ‘Reason To Believe: A Practical Guide to Psychic Phenomena (Sebab Untuk Percaya: Kaedah Praktikal Mengenai Fenomena Psikik)’.
Kalangan psikik dikatakan memiliki beberapa kemampuan antaranya pasca-kognisi di mana seorang psikik memiliki kuasa luar biasa untuk mendapat bayangan mengenai perkara yang sudah berlaku; psikometri (memperoleh maklumat berdasarkan aura sesuatu tempat atau benda) selain kemampuan telepati.
Terdapat juga psikik yang menunjukkan kemampuan mereka menerusi kaedah pembacaan kad tarot dan voodoo manakala dalam kes pembunuhan, ada antara psikik mendakwa mereka berkomunikasi dengan roh mangsa bunuh.
Bagaimanapun, terdapat juga ahli psikik yang akhirnya menjadi suspek sesuatu kes kerana mereka memiliki maklumat yang tidak dapat dibuktikan melainkan mereka adalah penjenayah atau berada semasa kejadian.
Selain memperoleh pelbagai maklumat, terdapat juga psikik yang mendakwa mampu melihat ‘syurga’ seperti dakwaan Sylvia Browne, selain mampu meramal nasib pada masa akan datang yang jelas sekali bertentangan dengan Islam.
Justeru, terdapat dua kemungkinan apabila kita berhadapan dengan mereka yang mendakwa memiliki kemampuan psikik iaitu sama ada mereka benar-benar dikurniakan Tuhan kemampuan istimewa dan luar biasa itu atau individu itu adalah penipu.
Seperti Sylvia Browne, walaupun wanita itu mendakwa bahawa dia adalah psikik, ramai mengandaikan bahawa dia adalah seorang kaki putar-belit yang menggunakan teknik psikologi bagi memastikan apa yang dituturkan olehnya diyakini dan diakui pendengar.
Teknik psikologi ‘cold reading’ dan ‘hot reading’ yang digunakan wanita itu mampu menyingkap sikap dan personaliti seseorang seperti sama ada seseorang itu bersikap panas baran, boros atau tenang selain memandu sesuatu tajuk perbualan ke arah yang dikehendaki seseorang.
Walaupun Browne mendakwa bahawa dia pernah membantu pihak polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyelesaikan kes, pihak berkuasa itu menafikan dengan kenyataan bahawa maklumat daripada wanita itu tidak berguna untuk menyelesaikan kes yang disiasat. Malah, ramalan daripada Browne didapati tidak tepat.
Walaupun ada pihak tertentu yang mungkin menipu sebagai psikik, ramai yang mempercayai kewujudan golongan seperti itu. Tambahan pula, ada siri televisyen sama ada dokumentari atau drama yang mendakwa memaparkan kemampuan sebenar psikik.
Antaranya adalah dokumentari ‘Psychic Detective’ yang memaparkan bagaimana polis menggunakan ahli psikik bagi membantu menyelesaikan kes selain drama ‘Medium’ yang berdasarkan pengalaman sebenar seorang psikik, Allison Dubois, menyelesaikan pelbagai jenayah.
Pada satu episod drama ‘Medium’, Allison dikatakan mampu mengesan misteri kehilangan seorang isteri apabila mendapat bayangan di mana mayat itu dibawa dan ditanam hanya dengan memasuki ruang dalam kereta yang ditinggalkan wanita berkenaan.
Meneliti kisah sahabat Rasulullah SAW pula, terdapat juga kisah yang berkaitan dengan psikik antaranya apabila Umar al-Khattab berada di mimbar menyampaikan khutbah Jumaat, secara tiba-tiba beliau menjerit: “Hai tenteraku! Bukit itu, bukit itu, bukit itu!”.
Ketika ditanya Abdurraham Auf mengenai perlakuan peliknya itu, Umar menjelaskan bahawa ketika menyampaikan khutbah, beliau melihat pasukan tentera Islam dikepung musuh dari segenap penjuru dan satu-satunya benteng mempertahankan diri adalah bukit di belakang mereka. Lalu Umar berseru: ‘bukit itu, bukit itu, bukit itu!’ bagi memberi arahan kepada mereka.
Tentera Islam yang pulang dengan kemenangan selepas itu turut mengakui mendengar suara ghaib supaya mereka berlari mencari perlindungan di bukit berkenaan sekali gus menyebabkan mereka menang dalam pertempuran.
Kisah psikik sentiasa menarik minat dan kerap dibincangkan penduduk Barat seolah-olah ia sebahagian daripada budaya mereka. Meneliti pelbagai artikel mengenai psikik yang dihasilkan penduduk negara itu, tercetus satu persoalan - adakah penduduk Melayu di negara ini yang memiliki kuasa psikik?

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home