Thursday, November 02, 2006

soal jawab isu ketelusan pbt

nasronsj

Soalan:

Kontroversi perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klang, Datuk Zakaria Md Deros dan anak lelakinya, Zainuri serta menantunya, Roselinda Abdul Jamil menganggotai Ahli Majlis Perbandaran Klang, menimbulkan persoalan mengenai politik dan ketelusan dalam pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara selama ini.
Wartawan Berita Minggu, RASID RAHAMAN dan NASRON SIRA RAHIM menemui Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan.


S: Apakah kedudukan wakil rakyat, khususnya Adun dalam PBT ditakrifkan oleh undang-undang?
J: Undang-undang tidak memperincikan kedudukan itu tetapi peranan (campur tangan) ahli politik dalam pentadbiran PBT di dalam landskap politik kita memang sukar dielakkan. Pembabitan ini boleh memberi kesan yang positif dan negatif.
Walau apa pun peruntukan undang-undang, seksyen 10(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), memberi kuasa yang luas kepada kerajaan negeri yang mempunyai bidang kuasa ke atas kerajaan tempatan menurut Perlembagaan Persekutuan, untuk melantik siapa saja yang dirasakan mencapai ‘kecemerlangan’ dalam profesyen mereka ke dalam PBT.


S: Dalam membangun dan mentadbir sesuatu kawasan, apakah perbezaan kuasa antara ahli majlis PBT dan wakil rakyat?
J: Sukar hendak memperincikan perbezaan kuasa itu kerana mereka tidak mempunyai kuasa secara hitam putih di bawah undang-undang seperti, contohnya, anggota polis. Cuma perlu difahami bahawa wakil rakyat yakni Adun dan ahli parlimen membentuk dua kerajaan yang berada di atas PBT (Kerajaan Negeri dan Persekutuan).
Kita harus sedar bahawa di bawah kerangka persekutuan kita, pentadbiran ada tiga peringkat iaitu persekutuan, negeri dan PBT. Jadi peranan wakil rakyat, baik Adun atau ahli parlimen, harus dilihat dalam konteks itu. Tetapi kita jangan lupa bahawa dalam kerangka itu juga ada pentadbiran di peringkat daerah yang diketuai pegawai daerah.
Saya melihat peranan wakil rakyat atau ahli majlis PBT sebagai suara rakyat yang memantau perjalanan pentadbiran rutin kawasan pilihan raya atau kawasan di bawah PBT itu. Cuma malangnya hari ini majlis PBT tidak lagi dipilih secara demokratik.


S: Adakah perlu wakil rakyat menjadi ahli majlis PBT?
J: Di sisi undang-undang tiada jawapan. Tetapi saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebagai bekas Menteri Besar Johor saya fikir beliau bercakap atas pengalaman; beliau berkata tidak perlu wakil rakyat menjadi ahli majlis PBT. Sebabnya cukup banyak dan bagi saya ini akan memungkinkan timbulnya konflik kepentingan dan yang paling penting boleh melemahkan mekanisme semak dan imbang di peringkat PBT yang sebenarnya adalah lapisan akar umbi pentadbiran awam kita.
(Contohnya) isu membabitkan Datuk Zakaria bukan pertama kali berlaku di negara ini. Banyak lagi (di PBT lain) termasuk isu pembaziran. Perbelanjaan dibuat tanpa ada kawalan sebab kalau sesuatu badan atau orang tidak dipilih (secara pilihan raya), maka itulah jadinya.


S: Apakah untungnya wakil rakyat menjadi ahli PBT dan apakah keburukannya?
J: Saya tidak nampak kebaikan meletakkan wakil rakyat di dalam majlis PBT kecuali dalam sistem sekarang di mana ahli PBT tidak dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya; iaitu membolehkan seseorang yang mempunyai hubungan atau mandat (daripada rakyat) untuk memantau perjalanan PBT (yang dilantik kerajaan).


S: Siapakah yang sebenarnya kini dilantik menjadi ahli majlis PBT?
J: Saya fikir ini bukan masalah besar dan kenyataannya ialah terlalu ramai yang hendak menjadi ahli majlis PBT ini. Maklum sahajalah bukan semua ahli parti komponen dapat menjadi calon pilihan raya.
Dalam soal ini undang-undang, seperti yang saya sebutkan di bawah seksyen 10(2) Akta 171 memberikan panduan yang jelas. Tetapi saya tidak pasti apakah peruntukan ini benar-benar diikuti dalam pelaksanaannya.
Dalam keadaan sekarang, akta sedia ada sudah cukup baik kerana menyatakan bahawa siapa saja yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing seperti arkitek, peguam, doktor dan sebagainya. Kerajaan Negeri sebagai pihak yang memiliki bidang kuasa kepada PBT boleh memilih sesiapa saja yang sesuai untuk mewakili rakyat.
Masalahnya sekarang, bagaimana mereka hendak mengukur takrif ‘kecemerlangan’ itu? Jika tiada mekanisme untuk menilai maka susah untuk menilai seseorang itu efektif atau tidak. Kemudian ketuanya (Yang Dipertua majlis PBT) adalah pegawai kerajaan atau pegawai tadbir diplomatik. Pegawai kerajaan, jika tidak buat kerja pun dia tidak akan dibuang, habis kuat dia akan ditukarkan ke bahagian atau tempat lain.
Inilah masalahnya, masalah keseimbangan itu tidak ada. Kes di Klang bukan satu-satunya, banyak di tempat lain tetapi kita tidak tengok. Banyak (aspek penyalahgunaan kuasa). Jika kita tanya ahli akademik yang sudah mengadakan kajian, dari segi pembaziran (memang ada).


S: Adalah struktur perlantikan ahli majlis PBT sekarang sama dengan apa yang dilakukan sekitar tahun 1950-an?
J: Dulu memang ada pilihan raya (dalam pemilihan ahli majlis PBT). Jika di Ipoh sebelum 1969, Ipoh itu dulu kubu kuat pembangkang; bila dimansuhkan (pilihan raya PBT) memang tujuannya adalah untuk melemahkan pembangkang.
Dari segi kerajaan, ia adalah untuk menguatkan politiknya, dimansuhkan pilihan raya supaya dia dapat mengawal (kawasan). Secara beransur-ansur ia (pilihan raya PBT) dimansuhkan pada 1976 dengan Akta Kerajaan Tempatan.
Jadi sekarang majlis itu dibentuk melalui perlantikan. Di bawah perlembagaan, PBT di bawah kerajaan negeri dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk meletakkan siapa di situ (Majlis PBT).
Selalunya memang amalan untuk memasukkan kroni dan orang yang tidak boleh bertanding dalam pilihan raya atau mereka yang baru hendak memasuki dan berjinak-jinak dengan politik, di situlah tempatnya.
Dalam kertas nampak baguslah, untuk memberikan peluang, mengukuhkan pimpinan di peringkat akar umbi tetapi ia menimbulkan masalah (penyalahgunaan kuasa). Jika kita dipilih rakyat, mahu atau tidak, sebelum lima tahun kita akan tengok buku rekod penilaian kita, apa yang sudah kita buat tetapi sekarang tidak ada, semuanya di bawah kuasa perlantikan Menteri Besar.
Sebenarnya apa yang menjadi masalah kepada kita sekarang ialah kerana struktur yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Athi Nahappan yang tidak kesemuanya diterima dan dimasukkan ke dalam Akta 171 itu.
Sebelumnya, pemilihan diadakan secara ‘adhoc’ tetapi dirasakan perlunya ditubuhkan suruhanjaya jadi ditubuhkan Suruhanjaya Athi Nahappan 1968 dan hasilnya menjadi Akta Kerajaan Tempatan 1976. Tetapi akta itu bukannya 100 peratus apa yang disyorkan Suruhanjaya Athi Nahappan kerana ia mengesyorkan dikekalkan pilihan raya itu sebab mereka tidak nampak kaedah perlantikan akan memberi kesan elok. Tapi kerajaan mengambil kesempatan menolak pilihan raya. Akta itu sekarang menjadi induk.


S: Jadi profesor berpendapat perlunya ahli majlis PBT dilantik oleh rakyat melalui pilihan raya tetapi adakah ia berkesan menangani masalah penyalahgunaan kuasa PBT?
J: Itu memang cadangan yang baik dan sudah banyak kali disuarakan. Dan yang menarik beberapa orang pemimpin parti komponen Barisan Nasional sendiri, yang terbaru (Presiden Parti Progresif Penduduk), Datuk M Kayveas, membangkitkan keperluan memilih ahli majlis PBT.
Ini dengan sendirinya membayangkan bahawa pembentukan majlis melalui perlantikan yang kemudian diketuai oleh seorang pegawai tadbir sudah menimbulkan banyak masalah khususnya kekurangan atau ketiadaan ketelusan, rasuah, pembaziran, kronisme dan kuku besi.
Inilah yang terjadi jika seseorang itu tidak berasa bahawa kedudukannya dipantau atau akan dinilai oleh rakyat secara terbuka melalui pilihan raya.


S: Dan profesor juga bersetuju wakil rakyat tidak dilantik ke dalam majlis PBT?
J: Saya rasa itu wajar. Selain masalah di atas, saya rasa lebih ramai orang, khususnya yang profesional, perlu diberi peluang untuk memberi idea dan pandangan dalam merancang dan memantau perjalanan PBT kita. Wakil rakyat sudah sedia dibeban dengan pelbagai peranan dan tugas.
Dan mereka sebenarnya belum dapat membereskan kesemua peranan mereka. Saya katakan begitu kerana mereka terlupa bahawa mereka sebenarnya – sebagai ahli dewan perundangan – adalah pembuat undang-undang. Mereka bukan pegawai kebajikan seperti yang kebanyakan kita sangkakan. Pembuat undang-undang perlu membaca, menyelidik dan mempunyai pandangan jauh kerana mereka membuat undang-undang; baik di peringkat dewan undangan negeri atau parlimen. Jadi mengapa mereka perlu menyibuk hendakkan kerusi di dalam PBT?
Wakil rakyat ini sudah banyak kerja lain, kerjanya adalah meneliti dan meluluskan undang-undang bukannya menjadi pegawai kebajikan. Kita sendiri sebagai rakyat terlupa bahawa ahli parlimen dan Adun membuat undang-undang dan bukannya menghantar orang sakit ke hospital, itu kerja pihak lain. Bukan menyibuk di pejabat tanah, membantu memasukkan anak orang tertentu ke universiti. Peranan wakil rakyat bukan seperti itu.
Saya tidak nampak kesan jika ketiadaan wakil rakyat dalam majlis PBT akan memberi impak negatif dalam sesuatu kawasan. PBT ada hasil sendiri, lagi banyak kawasan perumahan dan kilang dibina, lagi banyak yang dia dapat hasil. Di situ tidak timbul sebarang masalah malah bagi saya jika kita kekalkan wakil rakyat dalam PBT, (mungkin) masalah korupsi, kronisme akan bertambah sebab peluang cukup banyak.
Inilah antara yang ada dalam politik tetapi kita tidak nampak. Kerangka seperti ini (kita nampak) tetapi ‘lemak’, ‘kolesterol’ kita tidak nampak. Masalah politik wang, keangkuhan walaupun Sultan tidak mahu tetapi ahli bahagiannya masih mahu, mengapa ini boleh berlaku? Ini (mungkin) kerana ahli bahagian sudah dijaga atau ‘diberi makan’ olehnya.


S: Tidakkah kuasa perlantikan ahli majlis PBT mampu menyeimbangkan wakil kaum dalam suatu kawasan PBT?
J: Saya percaya walaupun kawasan PBT itu ramai Cina, saya tidak fikir dalam keadaan di negara ini sekarang, mereka (ahli PBT yang ramai Cina) akan menindas Melayu. Kita ada Kerajaan Persekutuan. PBT di bawah sekali selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. PBT saja dilantik manakala dua lagi dipilih rakyat.
Kita ada Kerajaan Negeri dan Persekutuan (untuk memantau) dan tidak timbul masalah kaum yang tidak diwakili. Jika timbul masalah perwakilan kaum, kita boleh juga cadangkan supaya ahli majlis yang dilantik adalah sebanyak ini, manakala ahli majlis yang dipilih pula banyak ini.
Jangan dilupa di bawah Artikel 95A, Perlembagaan Persekutuan ada Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri. Jadi soal isu perkauman boleh ditangani di situ. Mereka boleh mengarahkan Kerajaan Negeri atau PBT mengambil berat isu ini. Banyak prosedur semak dan seimbang dalam sistem.

S: Secara teori memang nampak elok tetapi mampukah ia dilaksanakan?
J: Keadaan yang berlaku sekarang adalah masalah lebih besar, masalah penyelewengan kuasa dan rasuah. Itu masalah lebih besar daripada masalah perwakilan kaum dalam PBT.
Jika masyarakat Cina dipilih sekalipun (sebagai ahli majlis PBT), mereka tidak akan menindas orang Melayu.


S: Tetapi ia mungkin membantutkan pembangunan contohnya seperti yang berlaku di Pulau Pinang?
J: Di Pulau Pinang ada masalah lain juga, di sana kepimpinan Melayu sendiri yang tidak menjalankan tugas mereka, bukan masalah berpunca daripada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
(Ketua Menteri Pulau Pinang). Jika mereka tidak mampu mewakili kaum mereka, banyak sangat politk sana-sini, menjaga kepentingan kroni sendiri, selagi masalah tidak ada perancangan betul, penggunaan optimum peruntukan pembangunan; tidak boleh disalahkan Koh Tsu Koon. Kecualilah mereka mengatakan tiada korupsi (dalam kepimpinan mereka).


S: Siapakah yang layak menjadi ahli PBT?

J: Ini terpulang kepada keadaan mana yang saudara maksudkan. Kalau saudara bertanyakan di bawah undang-undang yang ada saya fikir golongan profesional adalah golongan yang sesuai meskipun ini terpulanglah kepada kebijaksanaan kerajaan negeri yang berkenaan.
Kalau saudara bertanyakan soalan ini dalam konteks yang lebih umum dan terbuka saya akan jawab bahawa rakyatlah berhak menentukannya melalui pilihan raya. Ini kerana merekalah yang membayar cukai kepada PBT mereka. Dan inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh prinsip pentadbiran yang baik (good governance) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Ekonomi dan Sosial.
Ketelusan, keseimbangan dan penyertaan rakyat perlu ada untuk mengurangkan masalah PBT.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home