Tuesday, November 21, 2006

hukum arah kiblat

nasron23

Arah kiblat

Oleh Nasron Sira Rahim

DALAM menangani persoalan perbezaan menentukan ketepatan arah kiblat, Pegawai Agama New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Zamanuddin Jusoh, menceritakan kisah dua sahabat pada zaman Rasulullah SAW.

Mengikut kisah itu, dua sahabat yang berkelana jauh merentasi padang pasir, mencari-cari sumber air bagi membasahi anggota wuduk berikutan sudah tiba waktunya bagi menunaikan solat.

Lantaran ketiadaan sumber air, maka kedua-dua sahabat itupun memutuskan untuk bertayamum sebagai syarat menggantikan wuduk seterusnya menunaikan solat. Selesai menunaikan ibadat itu, mereka meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, ketika meneruskan perjalanan itu, akhirnya mereka menemui sumber air menyebabkan timbul kemusykilan sama ada mereka perlu kembali bersolat atau tidak. Dengan masing-masing berbeza pandangan, maka seorang daripada sahabat itu bersolat untuk kali kedua manakala seorang lagi yakin bahawa solatnya hasil tayamum adalah sah.

Sebaik tiba di tempat tujuan, mereka menemui Rasulullah SAW bagi menceritakan kemusykilan itu, lalu Baginda bersabda kepada sahabat yang hanya bersolat sekali: “Kamu melakukan perkara yang bersesuaian dengan sunnah aku dan akan diberi pahala.”

Pada sahabat yang bersolat dua kali pula, Baginda bersabda: “Kamu akan diberikan dua pahala.”
Zamanuddin berkata, menerusi kisah itu jelasnya Rasulullah SAW tidak memutuskan bahawa solat siapa yang tidak sah sebaliknya ibadat kedua-dua sahabat itu adalah sah mengikut syariat.
Begitu juga dalam persoalan menentukan ketepatan arah kiblat ke Kaabah, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama yang mana kesemua pendapat itu boleh digunakan dalam ibadat tanpa perlu masyarakat saling menyalahi antara satu sama lain.

“Bersolat mengikut arah kiblat adalah antara syarat sah solat berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat ke-150 iaitu: ‘Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram (Kaabah)’.

“Bagaimanapun, dalam menentukan arah kiblat yang menghadap Kaabah ini, ulama muktabar seperti Imam Syafie, Hambali dan Maliki; masing-masing berbeza pendapat,” katanya.

Beliau berkata, mengikut mazhab Syafie, wajib solat dengan menghadap ke arah Kaabah melainkan seseorang itu ‘uzur’ seperti berada dalam peperangan, ketakutan, dalam penerbangan atau pelayaran.

“Jika dalam penerbangan atau pelayaran, Imam Syafie menyatakan bahawa ketika mengangkat takbiratul ihram itu saja perlu menghadap kiblat dan selepas itu boleh mengikut arah kenderaan,” katanya.

Dalam menentukan ketepatan arah kiblat, Imam Syafie menyatakan bahawa perlu seseorang yang berada berdekatan Kaabah menghadap dadanya ke arah itu manakala bagi mereka yang berada jauh dari Kaabah pula, perlu menghadap ke arah Kaabah berdasarkan 90 peratus keyakinan (keadaan zanni).

Katanya, bagi keadaan seseorang itu berada di kawasan asing serta tidak memiliki sebarang petunjuk atau individu yang boleh ditanya mengenai arah kiblat, maka Imam Syafie menjelaskan bahawa mereka boleh bersolat dengan meyakini bahawa arah dada mereka adalah kiblat.

“Contohnya jika terdapat empat orang yang berada di kawasan asing dan masing-masing memiliki keyakinan yang berlainan dalam penentuan kiblat lalu masing-masing bersolat mengikut arah berlainan, semua ulama berpendapat bahawa solat semua mereka adalah sah,” katanya.

Zamanuddin berkata, bagi Imam Hambali dan Maliki pula, sah solat jika sekadar menghadap ke arah terletaknya Kaabah tanpa perlu betul-betul tepat menghadap ke Kaabah, bagi mereka yang berada jauh.

“Agama itu tidak menyusahkan kita, konsep ibadat adalah untuk menyatukan umat dan bukannya memecahbelahkan; tidak perlulah kita bertelagah dan bergaduh dalam kes ini (perbezaan pendapat ulama dalam menentukan arah kiblat ke Kaabah).

“Apa yang jelas kita bukan ahli Kaabah (penduduk Makkah), kita tidak perlu mempertikaikan arah kiblat sehinggalah ditentukan pihak berwajib,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat juga kes arah kiblat yang ditentukan di sesuatu tempat sebelum ini adalah tidak tepat menghadap Kaabah.

“Mungkin ketika masjid mula dibangunkan dulu, teknologi yang digunakan untuk menentukan kiblat kurang tepat berbanding teknologi sekarang yang lebih jitu. Jika berlaku kes seperti ini, arah solat perlu ditentukan semula oleh Jabatan Mufti dan penduduk perlu mengikut arah solat yang baru yang lebih diyakini ketepatannya.

“Bagaimanapun, mereka tidak perlu qada solat yang mengikut arah kiblat lama kerana mereka bersolat dengan yakin bahawa arah itu adalah Kaabah, mengikut mazhab Maliki dan Hambali,” katanya.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home