Saturday, December 06, 2008

Lubang Misteri Pulau Oak

nasronrencana19

rencana - Harta Karun Pulau Oak

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

PADA satu musim panas 1795, Daniel McGinnis, 16, bersama dua rakan seusianya, John Smith dan Anthony Vaughan, mengambil keputusan untuk menaiki kenu menuju Pulau Oak iaitu sebuah pulau kecil yang tidak berpenghuni di Teluk Mahone, Kanada.
Selepas beberapa ketika belayar, kenu mereka mendarat di jeti kecil di Smith’s Cove di tenggara pulau seluas 56 hektar itu. Melihatkan keindahan pulau itu yang dipenuhi hutan liar, mereka bertiga mula melangkah untuk meneroka pulau berkenaan.
Lama meneroka keindahan alam semula jadi dan dikelilingi pohon hutan yang meliar, Daniel tiba-tiba melihat satu pemandangan aneh dan membingungkan di tengah pulau itu. Dia melihat satu kawasan dipenuhi pokok oak tumbang dengan hanya satu pokok oak tua yang masih gagah berdiri.
Mereka merapati pokok tunggal itu dan menemui satu kawasan tanah mendap membentuk lubang terletak berhampiran. Lalu dengan menggunakan pokok kecil yang dicabut, mereka mula menggali lubang itu.
Selepas menggali sedalam 0.6 meter, mereka menemui suatu kesan aneh - terdapat batu jubin ditanam di dalam lubang itu. Batu jubin itu kemudian dikeluarkan dan mereka terus menggali.
Sepanjang penggalian itu, mereka menemui kesan tanah digali menggunakan kapak yang meyakinkan mereka bahawa lubang itu dibina seseorang untuk tujuan tertentu. Selepas menggali sedalam tiga meter, satu lagi tanda aneh ditemui iaitu terdapat kayu oak yang diletak bersilang menutup lubang berkenaan.
Dengan rasa ingin tahu yang membuak, kayu oak itu mereka buang dan tanah lubang berkenaan terus mereka korek. Lebih aneh adalah lapisan kayu oak itu mereka temui pada setiap tiga meter.
Pada kedalaman 10 meter, mereka menemui satu lagi batu jubin tertanam di dalam lubang itu. Mereka yakin bahawa pasti terdapat suatu benda berharga disembunyikan dalam lubang berkenaan. Mereka kemudian menghentikan kerja mengorek dan pulang ke kampung bagi menghebohkan penemuan itu.
Bagaimanapun penduduk kampung enggan turut serta mengorek lubang itu kerana beranggapan pulau itu berhantu atau menjadi markas perompak.
Tanpa sebarang bantuan, lubang misteri di pulau itu akhirnya mereka lupakan. Sehinggalah sembilan tahun kemudian, hasrat dan semangat untuk merungkai isi lubang misteri di Pulau Oak itu kembali membuak.
Kini, mereka bertiga yang sudah dewasa memutuskan untuk kembali ke pulau itu untuk meneruskan usaha menggali yang sudah sembilan tahun mereka tinggalkan. Tiba di lubang itu, mereka kembali menggali dan seperti sebelum itu, mereka menjumpai lapisan kayu oak, arang atau batu pada setiap kedalaman tiga meter.
Sehingga kedalaman lubang itu mencapai sekitar 27 meter, mereka menjumpai satu batu yang memiliki kod rahsia. Tanpa dapat merungkai kod rahsia itu, batu itu diangkat keluar dan usaha menggali mereka teruskan.
Mereka hanya berhenti menggali apabila lubang itu mencapai kedalaman sekitar 31 meter. Mungkin akibat penat atau hari sudah terlalu lewat, mereka memutuskan untuk menyambung kerja menggali keesokan harinya.
Keesokannya, kumpulan itu kembali ke lubang berkenaan untuk meneruskan usaha mengorek tetapi alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati lubang yang digali mereka sebelum ini dipenuhi air. Mereka mula menimba air tetapi usaha itu gagal kerana air di dalam lubang itu bagaikan enggan berkurang.
Selepas beberapa lama berusaha, mereka akhirnya berputus asa apabila mendapati bahawa air di dalam lubang itu tidak akan surut. Dengan penuh rasa hampa, lubang itu mereka tinggalkan.
Beberapa tahun kemudian, kod rahsia pada batu yang mereka temui dalam lubang itu akhirnya berjaya dipecahkan seorang profesor Universiti Halifax. Maksud tersirat di sebalik kod itu amat mengejutkan ramai pihak. Terjemahannya berbunyi: “Empat puluh kaki di bawah (batu ini) tertanam dua juta pound”.
Sejak itu, usaha menggali lubang itu terus dilakukan pelbagai pihak yang berharap akan menjumpai harta karun yang ditanam di pulau itu. Bagaimanapun, usaha itu tetap gagal berikutan lubang itu sentiasa dinaiki air.
Sehingga kini, jawapan kepada teka-teki mengenai harta yang disembunyikan dalam lubang itu serta siapakah yang menanamnya terus kekal menjadi misteri.

INFO
Lubang misteri Pulau Oak
- Antara teori pihak yang membina lubang itu ialah: Lanun Kapten Kidd atau Edward Teach (Blackbeard) untuk menyembunyikan harta mereka, Blackbeard pernah berkata hartanya disembunyikan di tempat yang hanya diketahui oleh dia dan syaitan saja; Tentera Perancis bagi menyembunyikan harta dari Kubu Louisbourg selepas mereka kalah kepada British dalam Perang Perancis dan India-Amerika; ahli ‘Knights Templar’ bagi menyembunyikan ‘Holy Grail’ dalam legenda Kristian.
- Beberapa pihak sudah terkorban dalam usaha menggali lubang itu sehingga kini dengan mangsa pertama terbunuh akibat letupan enjin wap mesin pengorek pada 1861.
- Penyelidik kemudian menemui ‘perangkap’ dibina bagi menghalang pihak asing menjumpai harta yang ditanam di dalam lubang itu. Perangkap terbabit adalah satu saluran yang memindahkan air laut ke dalam lubang itu menyebabkan usaha menimba air keluar dari dalam lubang tidak pernah habis.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home