Thursday, November 06, 2008

profesor kartun

Publication : BM

Edition :

Date : 04/12/2005

Page Number : 01

Headline : Dr Muliyadi Profesor Kartun

Words : 1301

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


JARI Profesor Madya Dr Muliyadi Mahamood bagaikan menari di atas helaian
kertas putih. Seketika kemudian, terpampang lakaran kartun yang mencuit
hati.
Bagi Timbalan Dekan (Kualiti dan Penyelidikan), Fakulti Seni Lukis dan
Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (FSLSR-UiTM) itu, jarinya sentiasa
terasa `gatal' untuk melakar kartun setiap kali bertemu kertas putih,
tanpa mengira masa dan tempat.
Begitu antara kebiasaan Dr Muliyadi, kartunis yang mencatat rekod
tersendiri di negara ini apabila menjadi satu-satunya rakyat Malaysia
yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Kartun
hingga ada yang menggelarnya Profesor atau Doktor Kartun.
Minat yang mendalam terhadap kartun sejak dia berusia sembilan tahun,
sekali gus membuktikan bahawa kartun bukan lagi bidang sia-sia tapi ia
diiktiraf sama seperti bidang ilmu yang lain.
"Di sebalik jenaka sinis, bidang itu sebenarnya suatu cabang seni yang
serius kerana kartun menyumbang kepada rekod sejarah masyarakat yang
menyentuh aspek budaya, kritikan semasa dan membangkitkan gerakan
nasionalisme pada awal kemerdekaan dulu.
"Di Barat, karikatur (lukisan wajah seseorang dalam bentuk kartun) mula
dihasilkan pada abad ke-17. Walaupun pada mulanya, ia bertujuan usikan
atau jenaka tetapi kartun kini turut digunakan sebagai senjata politik!"
katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Minggu, baru-baru ini.
Seperti kebanyakan insan seni, Dr Muliyadi menganggap kartun sebagai
cabang seni yang cukup indah dan memiliki keunikannya tersendiri di
sebalik lukisan, dialog dan maksud tersirat. Malah, ia sebenarnya
mencakupi dunia sastera.
"Sejarah kartun boleh dikatakan bermula pada zaman purba menerusi
lukisan yang ditemui pada gua pra-sejarah manakala wayang kulit adalah
antara kartun animasi pertama di dunia.
"Kartun dihasilkan dengan dipengaruhi faktor masyarakat, budaya dan
masa ketika ia dilukis. Contohnya pada zaman sebelum merdeka, kartun
dilukis mengenai perjuangan; selepas merdeka pula mengenai perpaduan
tetapi sekarang kartun banyak mengenai hiburan," katanya.
Kesan globalisasi turut mempengaruhi lukisan kartun tempatan apabila
kebanyakan kartunis terkini dipengaruhi teknik lukisan dari Jepun dan ia
secara tidak langsung menyebabkan imej kartun tempatan semakin terhakis.
Dr Muliyadi yang menjelaskan keadaan ini sebagai `krisis identiti'
dalam dunia kartun berkata, pembaca kini tidak lagi dapat membezakan
antara kartun tempatan dengan kartun Jepun berbanding sekitar 1970-an
apabila kartun tempatan begitu dekat dengan budaya Malaysia.
Perjalanan dunia seni Dr Muliyadi dalam kartun bermula ketika
keluarganya berpindah dari Kampung Melayu, Johor Bharu ke Felda Ulu
Tiram, Johor pada 1968 berikutan keputusan bapanya, Mahamood Sarjono,
untuk menjadi peneroka ladang kelapa sawit.
Selain mengusahakan tanaman kelapa sawit, bapa Dr Muliyadi turut
membuka gerai makan dan menjual majalah serta akhbar dan pekerjaan
bapanya itulah menjadi pintu yang menghubungkan beliau terhadap dunia
kartun.
"Ketika itu tiada satu majalah khusus mengenai kartun tetapi terdapat
ruangan kartun dalam majalah hiburan seperti URTV serta Panorama dan saya
belajar melukis dengan membuat salinan terhadap kartun yang disiarkan,"
kata anak kelima daripada enam beradik itu.
Sepanjang pembabitannya, keluarga Dr Muliyadi tidak menghalang minat
beliau malah bapanya turut meminati seni dan menggantung lukisan dari
Indonesia, corak batik selain menempah tulisan khat tertera kata hikmah
seperti `Masa Itu Berharga' dan `Anda Produktif' di rumah mereka.
"Ketika itu sekitar 1960-an, saya meminati kartunis seperti Datuk Lat
dan Raja Hamzah dan meminati komik kartun seperti Mat Jambul dan Tok
Misai. Saya kagum dengan usaha kartunis menghasilkan cerita menarik malah
ia tidak sekadar jenaka yang menghiburkan tetapi turut menerapkan unsur
moral," katanya.
Selepas berpuluh kali menyalin kartun yang disiarkan ketika itu, Dr
Muliyadi mula mahir melukis kartunnya sendiri dan mula menghasilkan komik
malah usahanya itu mendapat sambutan di kalangan rakan-rakan.
Selain keluarga dan rakan-rakan, pihak sekolah turut menyedari bakat Dr
Muliyadi dan sering menghantar beliau menyertai pertandingan lukisan dan
ketika menuntut di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, beliau menemui mentor
pertama yang juga guru lukisannya, Edward Pragasam.
Dalam dunia kartun, hanya kartunis gigih dan sabar mampu berjaya dan Dr
Muliyadi ternyata memiliki sikap itu selepas menghantar kartun tanpa jemu
selama tiga tahun, karya pertama beliau akhirnya tersiar dalam URTV,
iaitu ketika usianya 16 tahun.
Kartun pertamanya itu bagaikan kunci yang membuka pintu pembabitan
beliau secara serius dalam kartun kerana selepas itu, hampir setiap bulan
lukisan beliau yang kebanyakannya bertemakan masyarakat Felda, tersiar
dalam pelbagai majalah.
"Dengan tersiarnya kartun pertama itu, saya semakin bersemangat dan
melukis setiap hari hingga ia menjadi kebiasaan untuk melakar tanpa
mengira masa dan tempat. Malah jika pelukis tidak melukis secara
konsisten, kemahirannya tidak berkembang," katanya.
Selepas melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Seni Lukis dan Seni
Reka di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1984, beliau masih meneruskan
aktivitinya itu dan sebagai pelajar, melukis kartun memberi pendapatan
sampingan untuk beliau menjalani kehidupan.
"Melukis kartun sungguh menyeronokkan dan ketika itu, memang tidak
sabar menunggu pertengahan bulan untuk melihat karya kita tersiar,"
katanya.
Apabila beliau menamatkan pengajian diplomanya, Dr Muliyadi ditawarkan
biasiswa Tenaga Pengajar Muda oleh ITM (kini UiTM) dan dikehendaki
menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat bagi mengikuti Sarjana Muda Seni
Halus di University of Illinios dan Sarjana Seni Halus di Ohio University.
Ketika menuntut di Amerika Syarikat, beliau ditawarkan melukis kartun
secara tetap untuk majalah Warta Jenaka di Malaysia dan Dr Muliyadi
melukis mengenai kehidupan pelajar Malaysia di negara itu sebelum
menghantarkannya menggunakan pos.
"Selepas memperoleh Sarjana, saya pulang ke Malaysia pada 1988 dan
bertugas sebagai pensyarah di ITM selama lima tahun sebelum menyambung ke
peringkat PhD di University of Kent, England," katanya.
Ketika menuntut di UiTM, Dr Muliyadi akhirnya menemui satu lagi bakat
beliau iaitu bidang penulisan serta penyelidikan dan minat itu mula
berkembang selepas beliau menghasilkan tesis akhir diplomanya bertajuk
`Sejarah Kartun Melayu'.
"Saya banyak menulis mengenai sejarah kartun di Malaysia dan pada
peringkat awal iaitu sekitar 1983. Karya tulisan saya pernah tersiar
dalam akhbar Harian Nasional dan Utusan Malaysia manakala selepas menjadi
pensyarah pula disiarkan dalam Dewan Budaya, Gila-Gila, Mastika dan
Berita Minggu.
"Ketika di Amerika, saya turut menceburi penulisan kreatif seperti
cerpen dan puisi tetapi kini saya menumpukan kepada penulisan ilmiah.
Selain saya, terdapat ahli keluarga lain yang menceburi bidang penulisan
iaitu abang dan anak saudara saya iaitu Gunawan Mahamood dan WB Rendra,"
katanya.
Minatnya dalam bidang penulisan juga serius seperti minatnya dalam
kartun apabila beliau kini menghasilkan lebih 60 buku, jurnal dan
terjemahan.
Keberangkatan Dr Muliyadi ke Amerika Syarikat juga mencatatkan episod
penting dalam diari kehidupannya apabila pada 1987, beliau bertemu
jodohnya dengan wanita Perancis, Brigitte Bresson @ Saleha Abdullah iaitu
pensyarah Bahasa Perancis di Ohio University.
Mengulas mengenai perkahwinan mereka, Dr Muliyadi menjelaskan walaupun
berbeza budaya, agama dan bangsa; perkara utama yang melenyapkan jurang
antara mereka ialah budi pekerti dan perwatakan dan faktor itulah yang
berjaya mengikat hatinya terhadap isterinya itu.
"Mulanya saya meminati seni lukis Perancis, selepas itu saya semakin
meminati budaya masyarakat Perancis dan hal itulah yang menjadikan
persahabatan kami lebih menarik, kami berkongsi minat dan sering
berbincang selama dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Keluarga saya tidak menghalang tetapi keluarga sebelah isteri
terutamanya datuk dan nenek isteri sedikit curiga. Bagaimanapun, ia hanya
peringkat awal kerana hubungan kami kini baik malah mereka kerap
mengunjungi kami di Malaysia," katanya.
Seperti pepatah `ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi', tiga
anaknya juga meminati seni lukis antaranya anak pertamanya, Suliono
Dimitri, 16, meminati grafik manakala anak keduanya, Kartini Colette, 14,
meminati seni reka dalaman.
PROFIL
Nama: Dr Muliyadi Mahamood
Lahir : 15 Mei 1961
Asal : Parit Raja, Batu Pahat, Johor
Jawatan: Timbalan Dekan (Kualiti dan Penyelidikan)/Pensyarah Fakulti
Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Isteri: Saleha Brigitte Abdullah
Anak: Suliono Dimitri (16), Kartini Colette (14) dan Seri Amelie (9)
Pendidikan: Doktor Falsafah (PhD) bidang Pengajian Kartun University Of
Kent Canterbury, United Kingdom (1997); Diploma Penterjemahan Persatuan
Penterjemah Malaysia, DBP (1991); Ijazah Sarjana Seni Halus bidang
Sejarah Seni, Ohio University, Athens, Amerika Syarikat (1988); Ijazah
Sarjana Muda Seni Halus bidang Sejarah Seni, University Of Illinois
Urbana-Champaign, Amerika Syarikat (1986); Diploma Seni dan Seni Reka
bidang Seni Halus, Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi
Mara) Shah Alam (1984).
Anugerah: Tokoh Kartunis Intelek oleh Persatuan Kartunis Malaysia
(1999) dan Tokoh Negeri Johor oleh Yayasan Warisan Johor (2005).
(END)
























0 Comments:

Post a Comment

<< Home