Friday, November 14, 2008

republikan fokus 2012

Republikan fokus 2012
Sarah Palin, Bobby Jindal bakal pencabar utama Barack Obama

Susunan Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

BELUMPUN sempat Barack Obama memulakan tugas sebagai Presiden Amerika, beberapa pemimpin Republikan sudah memulakan usaha kempen untuk dipilih sebagai calon Presiden bagi pilihan raya 2012.
Ketika ramai pemimpin Republikan masih cuba menyembuhkan diri daripada luka kekalahan kepada Parti Demokrat dalam pertandingan 4 November lalu, beberapa orang kanan parti itu sudah memulakan kempen mereka di Iowa, minggu depan.
Selepas ini, dijangka lebih ramai pencabar melawat Iowa dalam beberapa bulan akan datang sekali gus menjadikan kempen pilihan raya 2012 akan bermula lebih awal berbanding sebelumnya.
Antara tokoh yang disebut ialah Mike Huckabee, bekas Gabenor Arkansas yang kalah kepada John McCain dalam pertandingan menjadi calon Presiden dari Republikan bagi pilihan raya 2008, baru-baru ini. Huckabee akan mempengerusikan dua majlis menandatangani buku di negeri itu, Khamis depan.
Tetapi, pengundi Amerika yang baru memilih Presiden kulit hitam pertama, mungkin mahu melakar sejarah lagi jika memilih Gabenor Louisiana, Bobby Jindal iaitu warga India-Amerika berusia 37 tahun yang dianggap bintang baru Republikan. Beliau akan melawat Iowa dua hari selepas Huckabee dan akan berucap dalam beberapa program mengumpul dana.
Selain Huckabee dan Jindal, seorang lagi ahli politik berpengalaman yang disebut ialah Mitt Romney yang tewas dalam persaingan menjadi calon Republikan.
Walaupun mereka menafikan kunjungan itu sebagai persediaan bertanding menjadi calon Presiden Republikan pada 2012, pemerhati politik berkata, kunjungan tokoh itu adalah strategi yang sudah dirancang.
“Ahli politik tidak pernah pergi ke Iowa secara kebetulan. Mereka tahu benar apa ertinya kunjungan ke Iowa,” kata penulis blog politik akhbar Washington Post, Chris Cillizza.
Iowa adalah lokasi jawatankuasa pemilihan presiden bersidang dan ia menjadi batu loncatan kepada sesiapa yang ingin dipilih menjadi calon Presiden sama ada dari Demokrat atau Republikan.
Pengundi Iowa pastinya akan menilai dengan penuh teliti peranan dan kebolehan mereka. Soalan-soalan cepu emas pasti ditanya tanpa membiarkan mereka hanya menyampaikan ucapan semata-mata.
“Saya fikir, mereka sekadar menguji penerimaan penduduk. Mengkaji keadaan di situ dan melihat bagaimana untuk diterima penduduk tiga tahun lagi,” kata perunding Republikan, Jan van Lohuizen.
Cakap-cakap bahawa Republikan sudah mengintai pilihan raya 2012 sebenarnya timbul sebelum kemenangan bersejarah Obama lagi. Calon Naib Presiden Republikan, Sarah Palin, misalnya, dilihat berkempen habis-habisan di Iowa bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya 2008 tetapi mungkin sebagai persediaan untuk bertanding sekali lagi pada 2012.
Buat masa ini, petugas kempen McCain di Iowa menafikan khabar angin mengenai niat Palin dengan berkata, Gabenor Alaska itu hanya memberi tumpuan kepada undian 2008.
Palin, bagaimanapun, dianggap berniat untuk bertanding empat tahun lagi apabila menafikan beliau adalah antara faktor kekalahan McCain kepada Obama.
Palin memberitahu ‘Larry King Live’: “Secara peribadi, saya tidak fikir Sarah Palin dari Alaska akan menjadi pilihan untuk calon Naib Presiden. Saya tidak percaya saya menjadi penyebab kepada keputusanl pilihan raya ini. Saya fikir masalah ekonomi sejak beberapa bulan sebelum ini lebih memberi kesan berbanding calon Naib Presiden,” katanya.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas temubual beliau dengan penyampai CNN, Wolf Blitzer yang bertanya sama ada dia akan bertanding bagi kerusi Senator Republikan Alaska yang kini disandang Ted Stevens selepas Stevens mungkin meletak jawatan kerana didapati bersalah menerima rasuah.
Adakah Palin akan bertanding sebagai Presiden pada 2012? Itulah soalan dikemukakan Greta Van Susteren dari stesen televisyen Fox News Channel. Palin menjawab dengan berkata:
“Sekiranya ada peluang untuk bertanding pada 2012 dan sekiranya ia sesuatu yang terbaik untuk keluarga, negeri, negara dan satu peluang untuk saya, maka saya akan mengambil peluang itu.”
Palin mengakui mengalami banyak emosi dalam kempen baru-baru ini. Penyokongnya yang kebanyakan bersikap konservatif amat gembira sekiranya dia kembali bertanding pada 2012. Bagaimanapun, pengkritiknya tidak fikir dia layak untuk menjadi Presiden Amerika.
Tinjauan Rasmussen tentu menggembirakan mereka apabila mendapati 64 peratus anggota Republikan mahu Palin menjadi calon Presiden pada 2012 dan 11 peratus pula memilih Romney.
Apapun, ada juga ahli politik lain cuba mengenepikan wujudnya persaingan. “Satu perkara buruk yang mampu terjadi kepada Parti Republikan dalam usaha kami untuk bangun semula adalah wujudnya pihak yang sudah berkempen untuk menjadi calon Presiden,” kata Gabenor Mississippi, Haley Barbour, ketika ditanya sama ada dia akan bertanding untuk jawatan itu pada 2012.
“Sesiapa yang memiliki cita-cita itu perlu menangguhkannya sehingga 2010, sesiapa yang berusaha untuk mahu menjadi calon presiden ketika ini membelakangkan perkara lebih penting dan mementingkan diri,” katanya.
Huckabee ketika ditanya mengenai ura-ura itu berkata 2012 masih terlalu jauh untuk dia mengumumkan sama ada akan bertanding bagi menjadi calon Presiden Republikan atau tidak.
Jindal pula memberi tumpuan untuk menjadi gabenor negerinya dan bukannya Presiden Amerika. Malah, dia juga ‘menolak’ untuk dipilih McCain sebagai calon Naib Presiden 2008 kerana masih terlalu banyak perkara untuk dilakukan di Louisiana.
“Penduduk melihat dan mungkin mentafsirkan lebih jauh daripada apa yang diperkatakan,” kata Bryan English, jurucakap Pusat Dasar Keluar Iowa yang menaja upacara Jindal, minggu depan,
Pengarah Pusat Kajian Media dan Budaya Politik Universiti Iowa, Bruce Gronbeck, berkata kebiasaannya, calon yang berpotensi untuk menyertai pertandingan menjadi calon Presiden Amerika sama ada bagi Republikan mahupun Demokrat tidak akan muncul di Iowa sehinggalah dua tahun sebelum bermulanya pertandingan.
Oleh sebab itu, tidak syak lagi, bagi pemerhati umumnya melihat tokoh kanan Republikan berkenaan mengunjungi Iowa adalah bagi menonjolkan kekuatan dan kewibawaan masing-masing untuk pertandingan 2012.



quote
“Sekiranya ada peluang untuk bertanding pada 2012 dan sekiranya ia sesuatu yang terbaik untuk keluarga, negeri, negara dan satu peluang untuk saya, maka saya akan mengambil peluang itu” Sarah Palin Gabenor Alaska


"Kempen Obama adalah satu jentera yang mengkagumkan bagi pengundi. Kita tidak boleh mengeluh mengenainya tetapi kita patut belajar daripadanya,” Bobby Jindal Gabenor Louisiana

0 Comments:

Post a Comment

<< Home