| KIRA-KIRA 50,000 bekas pelajar dilaporkan gagal membayar balik pinjaman pendidikan sejak 10 tahun lalu sehingga jumlah hutang tertunggak melebihi RM50 juta manakala Mara pula melantik ejen pengutip hutang untuk menjejaki bekas pelajarnya yang liat membayar balik pinjaman berjumlah RM259 juta. Selain Kementerian Pelajaran, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) turut menghadapi masalah sama apabila hanya mengutip RM143 juta daripada sejumlah RM460 juta pinjaman pendidikan yang seharusnya dibayar kepada mereka sejak 1997. Hingga kini, PTPTN menyalurkan pinjaman kira-kira RM9 bilion kepada 767,000 pelajar tetapi umpama 'kacang lupakan kulit', ada pelajar yang liat untuk membayar semula pinjaman itu tanpa memikirkan akibat tindakan mereka terhadap diri sendiri atau orang lain. Berhutang seolah-olah menjadi budaya kepada masyarakat pada masa kini kerana terlalu mudah untuk mereka mengambil pendekatan itu bagi mendapatkan sumber kewangan segera tanpa memikirkan kesannya pada masa depan. Ketika itu, mungkin tidak terlintas di minda mereka bahawa berhutang itu membuka pintu kepada pelbagai masalah dan kesusahan sehingga menyebabkan peminjam dihimpit tekanan perasaan, mengalami kesusahan pada malam hari dan menerima penghinaan pada siang hari. Malah tidak sedikit antara peminjam di seluruh dunia yang nekad membunuh diri kononnya sebagai jalan pintas untuk melarikan diri daripada beban hutang tanpa menyedari bahawa hutang itu akan terus 'menghantui' mereka sehingga ke alam akhirat. Menyedari bahawa budaya berhutang mampu mendekatkan manusia itu kepada kufur dan dibinasakan Allah, maka Rasulullah saw sangat tidak menyukai orang Islam yang berhutang dan tidak menggalakkan amalan itu. Malah ada banyak hadis yang tidak menggalakkan perbuatan itu. Rasulullah berpesan dalam sabdanya: "Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan membinasakan dia." (Riwayat Imam Bukhari). Abu Sa'id Al-Khudriy pula meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah bersabda: "Aku berlindung dengan Allah daripada kekufuran dan hutang." Lalu bertanya seorang lelaki: "Wahai Rasulullah, adakah setanding hutang itu dengan kufur? Sabda Rasulullah: "Ya!" Hutang tanpa dilunaskan adalah antara dosa besar dan kewajipan membayarnya tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat yang besar pahalanya termasuklah jika seseorang itu syahid. Menurut ajaran Islam, hutang wajib dibayar dengan segera dan Ibn Hajar al-Haithami Rahimahullah dalam kitabnya Al-Zawajir menyebutkan bahawa dosa besar yang ke 205 dan 206 ialah berhutang iaitu: "Orang yang berhutang dengan niat tidak akan membayarnya atau berhutang dengan tidak ada harapan untuk membayarnya sekiranya dia tidak terpaksa sangat untuk berhutang dan tidak ada baginya suatu jalan nyata yang membolehkan dia membayar hutangnya dan orang yang memberi hutang pula tidak mengetahui hal orang berhutang itu." Seseorang yang berhutang tanpa sempat melunaskan pinjamannya itu sehingga dia meninggal dunia, akan tetap dikehendaki membayar pinjaman itu sebagaimana sabda Rasulullah: "Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham maka akan diambil ganti daripada kebaikannya (pahala) kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." - (Riwayat Ibnu Majah). Dalam hadis lain, Baginda bersabda seperti diriwayatkan Imam At-Tarmizi, Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban: "Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan." Menyedari besarnya tanggungjawab yang dipikul dengan berhutang, Rasulullah selalu meminta perlindungan kepada Allah daripada perbuatan itu seperti doa Baginda: "Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada dilanda hutang dan kekuasaan orang lain." - (Hadis riwayat Bukhari). Apabila Rasulullah ditanya mengapa Baginda banyak meminta perlindungan daripada berhutang, Baginda menjawab: "Kerana kalau seseorang itu berhutang, apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia mungkir." Baginda juga menyamakan orang yang berhutang tanpa membayarnya sebagai pencuri seperti sabda Baginda: "Sesiapa juga yang berhutang dan dia bercita-cita tidak akan membayarnya, dia akan menemui Allah sebagai pencuri," - (Hadis riwayat Ibn Majah dan Baihaqi). Islam tidak melarang umatnya untuk berhutang tapi ia hanya diharuskan apabila sangat memerlukan serta hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan. Antara syarat berhutang seperti dinyatakan dalam ayat 282, Surah al-Baqarah adalah jumlah dan tempoh membayar balik perlu dituliskan berserta dua saksi. Syarat lain adalah ia juga mesti bersih daripada unsur riba. Allah swt sangat menekankan soal membayar hutang malah hutang manusia kepada Allah Yang Maha Pengampun dan Pengasih seperti meninggalkan solat atau puasa diwajibkan membayarnya, inikan pula hutang sesama manusia. Kewajipan membayar hutang walaupun sesudah meninggal dunia difirmankan Allah dalam ayat ke 11, surah An-nisa' iaitu: "(Pembahagian pusaka) sesudah dipenuhi wasiat yang dia buat atau sesudah dibayar hutangnya." Sehubungan itu, sebagai insan yang ingin mencapai keredaan Allah, jika kita perlu berhutang, hendaklah berusaha melunaskan dengan segera supaya terhindar daripada segala kemurkaan Allah dan balasan buruk pada hari akhirat. Sebaik-baiknya dalam menguruskan keperluan duniawi seperti disarankan Islam adalah dengan bersederhana iaitu berasa cukup dengan segala keperluan kerana ia lebih selamat daripada menempah seksaan akhirat dengan berhutang. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home