| SETIAP kali musim perayaan, kita sering dikejutkan dengan laporan kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa. Apa yang dikesalkan kebanyakan punca kemalangan itu disebabkan sikap pengguna sendiri. Walaupun pelbagai usaha dijalankan pihak berkuasa bagi mengurangkan kadar kemalangan, saban hari ada saja kematian dilaporkan. Wartawan Berita Minggu NORAKMAH MAT YOUB dan NASRON SIRA RAHIM, menemu bual Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Gingkoi Seman Pancras dan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Solah Mat Hassan bagi mengupas persoalan dan seterusnya merungkai masalah kemalangan maut setiap kali musim perayaan. Datuk Gingkoi Seman Pancras ? ADAKAH Ops Sikap yang dilaksanakan setiap kali musim perayaan berkesan dan dapat membantu mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya? Ops Sikap mempunyai matlamat sendiri. Pada musim perayaan ini, kita mahu mengurangkan kemalangan jalan raya selain memastikan aliran kenderaan berjalan lancar supaya orang ramai tiba ke destinasi dengan selamat. Ops Sikap IX nampaknya dapat mengurangkan sedikit kadar kemalangan maut walaupun pertambahan kenderaan di jalan raya meningkat tiga kali ganda setiap kali musim perayaan. Pada hari ke-13 Ops Sikap IX, sebanyak 11,908 kemalangan dilaporkan yang membabitkan kematian seramai 211 orang berbanding tahun lalu sebanyak 10,281 kemalangan dan 179 kematian dalam tempoh yang sama. Bagaimanapun jumlah kematian ini lebih rendah berbanding jumlah kematian pada hari biasa (bukan musim perayaan). Purata kematian sehari pada hari perayaan ialah 16 orang berbanding 17 orang pada hari biasa. Ini jelas menunjukkan walaupun berjuta-juta rakyat balik kampung, Ops Sikap secara keseluruhan berjaya mengawal jumlah kematian dan kemalangan. ? Mengapakah kebanyakan kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan dan bandaran berbanding lebuh raya? Tidak dapat dinafikan jalan persekutuan dan bandaran menyumbang lebih 80 peratus kemalangan berbanding 10 peratus di lebuh raya. Ini kerana kebanyakan warga kota pulang ke kampung dan itu menyumbang kepada pertambahan luar biasa kenderaan di jalan berkenaan. Larangan kenderaan berat berada di jalan raya pada hari tertentu pada musim perayaan untuk memastikan kelancaran menyebabkan pemandu cenderung memecut laju dan jika berlaku kemalangan, kebanyakan serius hingga membawa maut. ? Benarkah faktor kemanusiaan termasuk tidak mahir menggunakan kenderaan sebagai penyumbang utama kepada kemalangan maut terutama membabitkan penunggang motosikal? Kita hendak orang ramai faham hakikat sebenarnya kemalangan adalah berpunca daripada sikap pengguna sendiri. Aspek jalan raya termasuk persekitaran menyumbang tiga peratus dan aspek kenderaan pula hanya dua peratus. Paling banyak ialah sikap manusia yang tidak berhati-hati dan tidak mengutamakan keselamatan diri sendiri dengan menganggap tidak ada apa yang akan berlaku. Kebanyakan pemandu mahir membawa kenderaan tetapi keutamaan terhadap keselamatan amat kurang. Tiga belas daripada 126 penunggang atau pembonceng motosikal maut sepanjang 13 hari Ops Sikap IX dilancarkan sejak 27 Oktober lalu, berusia kurang 16 tahun dan tidak memiliki lesen. Sebanyak 70 peratus daripada mereka yang maut kebanyakannya berusia bawah 27 tahun. Bagi penunggang motosikal, dalam apa jua keadaan kemalangan sama ada dilanggar, melanggar atau terjatuh sendiri, motosikal tetap menjadi mangsa kerana hanya mempunyai dua roda. Selain itu, sikap mereka yang suka memotong sesuka hati dan 'cilok' tanpa mempedulikan kenderaan lain adalah punca utama penyumbang kemalangan membabitkan motosikal. Sejak awal tahun, sebanyak 159,774 saman dikeluarkan kepada pemandu yang tidak mempunyai lesen dan kebanyakan adalah penunggang motosikal. ? Walaupun banyak kempen dan operasi besar-besaran diadakan tetapi kadar kemalangan terutama membabitkan kemalangan maut masih terus meningkat. Mengapa jadi begini? Banyak kempen sudah dilakukan tetapi masih tidak berkesan. Ini semua sikap manusia kalau nampak polis di tepi jalan baru mereka takut. Tapi dia tidak menghormati undang-undang. Kenapa kita perlu meletakkan polis di setiap jalan raya untuk menakutkan pemandu supaya mematuhi peraturan. Adakah itu perlu? Seharusnya sikap menghormati undang-undang itu perlu ada dalam diri masing-masing bila-bila saja bukan saja di jalan raya tetapi di mana saja. Bukan saja undang-undang trafik tetapi juga undang-undang lain. Kita dapati 95 peratus kemalangan berpunca daripada sikap manusia sendiri. Terlalu susah nak ubah sikap manusia. melainkan kita melentur dari kecil lagi bak kata pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya.' Selain itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Paling penting ibu bapa. Mengapa perlu dibiarkan anak membawa kenderaan tanpa lesen. Ia bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi juga orang lain. Kebanyakan yang membawa kenderaan tanpa lesen ialah di luar bandar kerana sistem pengangkutan mereka tidak berapa baik. Contohnya, di satu daerah yang saya pernah bertugas iaitu di Pontian, Johor, di situ kebanyakan pelajar sekolah menengah menunggang motosikal tanpa lesen. Mereka sanggup tanggung risiko. Kalau boleh jangan amalkan sikap begitu. Jika sudah cukup umur ambillah lesen. Ibu bapa perlu bertegas dengan anak kerana sebaik saja benarkan anak menunggang tanpa lesen seolah-olah menempah maut mereka walaupun jalan itu tidak sibuk kerana malang tidak berbau. ? Selain aspek penguatkuasaan, apakah langkah lain yang perlu dilakukan bagi membantu mengurangkan kemalangan jalan raya? Kalau hendak cerita dari segi penguatkuasaan, kita mengeluarkan sebanyak 10,000 saman setiap hari. Adakah itu tidak mencukupi? Maknanya kita kesan kesalahan dan ambil tindakan sebelum berlaku kemalangan. Sepatutnya mereka yang dikenakan saman itu insaf tetapi tiada meninggalkan apa-apa kesan pun. Mungkin mereka rasa kompaun yang dikenakan itu terlalu rendah dan mampu dibayar. Kerana terlalu banyak saman dikeluarkan, timbul pula masalah lain iaitu saman tidak dibayar hingga bertukar waran tangkap dan ada juga yang dipanggil ke mahkamah. Mereka ini tidak menghormati undang-undang langsung. Dari segi penguatkuasaan kita sudah lakukan macam-macam. Bukan itu saja kita juga melakukan pelbagai kempen dan operasi bagi mencegah kemalangan. Cuba kita lihat ketika waktu sibuk, polis ada di simpang-simpang dan tepi jalan mengawal trafik, buat sekatan jalan raya dan pemeriksaan. ? Apa pandangan Datuk yang rakyat kita akan berubah sikap daripada sopan santun kepada orang yang mementingkan diri sendiri ketika memandu? Boleh saya buat rumusan? Bagaimana rakyat kita mendapat lesen memandu? Jika pandai undur, pegang stereng sudah boleh bawa kereta mudahlah dapat lesen. Saya melihat cara mendapatkan lesen perlu dinilai semula. Orang yang betul-be tul mahir bawa kereta, menunggang motosikal secara berhemah dan yakin bawa kereta dengan selamat barulah diberi lesen. Dalam konsep mengeluarkan lesen itu harus menekankan keselamatan bukan hanya kemahiran saja. Paling penting cara memelihara keselamatan diri sendiri dan orang lain. Contohnya jika dapat lesen motosikal, apabila hendak menunggang perlulah memakai topi keledar. Sebab apa? Mesti ada alasan yang kukuh kenapa kita diwajibkan memakai topi keledar. Ini kerana jika terbabit dalam kemalangan risiko kematian itu dapat dikurangkan. Pada masa ini, isu keselamatan tidak diambil serius. Jika mengeluarkan lesen memandu, kita hendaklah sentiasa mengingatkan mereka mengenai keselamatan. Saya bukan nak mempertikaikan sesiapa, tetapi sistem pemberian lesen sekarang hendaklah diperketatkan. Hanya yang betul-betul saja diberikan lesen. ? Adakah pemandu kita sekadar belajar undang-undang dan memahami peraturan semata-mata untuk mendapatkan lesen? Tidak semua begitu tetapi ramai yang bersikap sedemikian. Mereka tidak mempraktikkan apa yang dipelajari ketika di sekolah memandu. Lagipun sistem yang ada sekarang hanya menitikberatkan soal kemahiran bukan keselamatan. Kebanyakan sekolah memandu hanya mahu mengaut keuntungan dan kadangkala mereka tidak memberi maklumat secukupnya ketika proses pembelajaran. Yang penting mereka habiskan masa seperti yang ditetapkan tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Sepatutnya mereka gunakan waktu yang diperuntukkan itu dengan sebaiknya. ? Apakah langkah yang terbaik bagi mengurangkan kemalangan terutama ketika musim perayaan bagi mengelakkan seolah-olah perayaan sinonim dengan kemalangan? Tidak. Kita mesti ubah persepsi orang yang perayaan sinonim dengan kemalangan. Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa bukan hanya musim perayaan. Setakat ini kemalangan terkawal walaupun pergerakan kenderaan meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa. Ini kerana kita menambah bilangan anggota bagi memastikan aliran trafik berjalan dengan lancar pada musim perayaan. JPJ CARI JALAN ADAKAN OPS SIKAP SEPANJANG TAHUN Solah Mat Hassan ? BERAPA jumlah saman dikeluarkan JPJ sepanjang Ops Sikap IX dan adakah perbezaannya ketara berbanding penguatkuasaan pada hari biasa? Dari 27 Oktober hingga 9 November lalu, JPJ memeriksa 18,505 kenderaan dan mengesan 3,354 kesalahan menerusi Ops Sikap IX. Daripada jumlah itu, 2,853 saman dikeluarkan. Statistik ini meningkat sebanyak 30 hingga 50 peratus berbanding operasi pada hari biasa kerana kita menggerakkan semua anggota penguat kuasa termasuk mereka yang bertugas di Bahagian Pengujian untuk membantu operasi. Kita mencuba sedaya-upaya untuk mengurangkan kadar kemalangan sekali gus ia meningkatkan jumlah saman. Lebih baik mencegah. ? Ops Sikap dicadangkan supaya diadakan sepanjang tahun dan tidak pada musim perayaan saja. Adakah JPJ mampu melaksanakannya? Kita akan cuba mengadakan Ops Sikap dengan format yang diubahsuai. Kita tahu kekurangan kita terutamanya jumlah anggota dan bajet. Jika dilaksanakan pemantauan selama 24 jam, kos akan meningkat jadi kita akan memikirkan pendekatan lebih fleksibel tetapi berterusan dan menampakkan anggota kita. Jika sebelum ini iaitu semasa Ops Sikap, anggota penguatkuasa berada sepanjang jalan, kali ini kita akan meletakkan di kawasan yang dikenal pasti memiliki risiko kemalangan paling tinggi selain kawasan yang memiliki aliran trafik yang teruk. Jangan menganggap yang operasi itu serupa seperti Ops Sikap pada musim perayaan kerana ada beberapa kekangan yang menghalang kita berbuat demikian. ? Apakah perbezaan Ops Sikap pada musim perayaan dengan operasi biasa yang dilaksanakan JPJ sepanjang tahun? Kita mempunyai dua cara penguatkuasaan iaitu operasi rutin dan operasi khas. Operasi khas ini seperti Ops Sikap manakala operasi rutin ialah pemeriksaan biasa dan akan ambil tindakan jika kesalahan mengikut akta diperuntukkan kepada JPJ. Bagi operasi khas, tumpuan lebih kepada kesalahan yang boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya, contohnya memotong garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan. Kalau operasi rutin, kesalahan seperti salah meletak kenderaan tetapi operasi khas ini lebih untuk membendung kemalangan. Ada kesalahan yang jika kita buat sekatan jalan raya, mungkin pemandu itu tidak lalu tapi kalau kesalahan seperti tiada cukai jalan, tiada lesen itu boleh buat sekatan jalan raya kerana lebih senang. ? Adakah ini bermaksud Ops Sikap yang berterusan sepanjang tahun ini akan menumpukan kepada kesalahan membabitkan kemalangan saja? Tumpuan adalah kesalahan membabitkan kemalangan dan supaya pemandu merasakan bahawa penguatkuasaan itu ada di mana-mana, itu mesejnya. Ia tidak semestinya sekatan jalan raya. Jika musim perayaan pengguna jalan raya melihat polis berada di mana-mana atau JPJ kerap meronda, kesan itu mahu diterapkan dalam Ops Sikap yang berterusan ini supaya mesej itu sampai. Kebanyakan pengguna jalan raya ini, apabila tidak nampak penguat kuasa, dia tidak takut tetapi jika seorang memberikan lampu tinggi sebagai tanda ada sekatan jalan raya dia akan memperlahankan kenderaan tapi selepas itu memecut balik. Kita ingin mewujudkan perasaan hormat kepada penguat kuasa dalam diri setiap pemandu supaya dapat mengelakkan kemalangan. Kerana itulah kerajaan mahu Ops Sikap itu berterusan sepanjang tahun. Bentuknya tidak semestinya sama seperti Ops Sikap pada musim perayaan. Kita ubah suai kerana ada kekangan anggota dan kos. Kalau ingin dipanggil Ops Sikap ia adalah khusus tapi ia adalah 'kaedah' Ops Sikap dan antara cirinya adalah menampakkan penguatkuasaan itu sentiasa ada dan berterusan selain kepada kesalahan membabitkan kemalangan jalan raya. ? Apakah silapnya kurikulum latihan memandu sekarang sehingga Perdana Menteri mahu ia dikaji semula? Tahap pengajaran, pengujian dan pembelajaran pelajar. Pertama, tahap pembelajaran ialah pemikiran pelajar yang asal lulus dan mendapat lesen, bukannya kerana mahukan kemahiran itu. Dari segi pengajaran pula selagi saya (pengajar) mengajar awak dan lulus, itu mencukupi dan tidak banyak semangat untuk memasukkan nilai etika. Bagi penguji pula, sama ada pelajar lulus atau gagal ia mengikut 'buku'. Penguji menilai secara objektif kerana adanya borang ujian iaitu jika tidak dapat lakukan ujian maka tidak lulus. Semua ini perlu disemak semula. Antara semakan ialah ujian undang-undang kerana ramai boleh lulus dalam tempoh tujuh minit walaupun kita tetapkan masa ujian selama sejam kerana pengetahuan mereka bagus. Kemudiannya bahagian dua pula iaitu meletakkan kenderaan dan menaiki bukit manakala ujian ketiga adalah jalan raya. Itu semua asas untuk memandu kenderaan dan tiada kena-mengena dengan aspek boleh berlakunya kemalangan. Kemahiran ketika berlaku kemalangan, memandu dalam hujan, memandu pada waktu malam dan pada waktu kesesakan tidak diterapkan. Apabila kita mendapat lesen, kita akan memandu dalam semua keadaan dan ke merata-rata tempat. Sekarang ini, apabila kita memegang Lesen Percubaan selama dua tahun dan tidak dapat mata Kejara (mata kesalahan), sudah boleh tukar kepada lesen GDL (Lesen Pemanduan Cekap). Ada pemandu mengehadkan pemanduan kerana tidak mahu mendapat mata kejara. Ini banyak berlaku kepada suri rumah dan ia mungkin akan dipinda supaya pemandu perlu menunjukkan kemahiran sebenar dan bukan tempoh yang menentukan mereka pemandu mahir. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home