Thursday, November 06, 2008

riba

ribaPublication : BM
Edition :
Date : 16/04/2006
Page Number : 15
Headline : Darurat bukan alasan untuk tidak guna perbankan Islam
Words : 732
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


PENGASAS mazhab Maliki, Imam Malik Annas RA pernah menyemak sehelai demi
sehelai al-Quran untuk mencari apakah dosa paling besar terhadap umat
Islam seperti difirmankan Allah SWT dalam kitab suci itu.
Lalu selepas selesai meneliti 6,666 ayat suci itu, beliau membuat satu
rumusan seperti diterangkan dalam kitab 'Jamik al-Ahkam' karangan Imam
Qurtubi - tiada dosa paling besar melainkan riba.
Rumusan itu bersandarkan kepada satu klausa dalam ayat ke-278 dan 279
dari surah al-Baqarah iaitu: "Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah
dan tinggalkan sisa riba jika kamu beriman. Maka jika kamu tidak
mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan
Rasul-Nya akan berperang denganmu."
Pengurus Kanan Jabatan Pengawasan Syariah, RHB Islamic Bank; Zaharuddin
Abdul Rahman, berkata klausa itu adalah 'berperang denganmu' iaitu
bermaksud sesiapa yang terbabit dalam riba 'sanggup' berperang dengan
Allah dan Rasul-Nya.
"Dosa lain seperti memakan daging babi dinyatakan sebagai perbuatan
haram dan berdosa tetapi ia tidaklah sampai berperang dengan Allah SWT;
tetapi apabila melakukan riba, Allah sendiri mengisytiharkan berperang
dengan individu itu.
"Dalam permusuhan, ada musuh yang kita pulaukan selain musuh yang ingin
kita hancurkan dan Allah menganggap mereka yang melakukan riba adalah
musuh yang ingin Allah hancurkan," katanya yang menjelaskan riba dan
sistem kewangan Islam melalui www.zaharuddin.com.
Beliau bagaimanapun kesal kerana pada masa kini, terlalu ramai umat
Islam terbabit dalam riba; berpunca daripada tiadanya pengetahuan
mengenai perbuatan haram itu selain sikap tidak sensitif terhadap dosa.
Umat Islam kini lebih sensitif dan takut terbabit dengan dosa seperti
arak dan babi kerana dapat melihat dosa itu berbanding dosa riba kerana
ia tidak dapat digambarkan.
"Ramai umat Islam yang tidak menyedari dan rasa bersalah apabila
terbabit dalam riba, syirik dan kurafat. Jika mereka tidak solat atau
berzina, mereka sedar melakukan dosa tetapi dalam tiga dosa berkenaan,
ramai yang tidak sedar," katanya.
Riba ditakrifkan sebagai penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang
disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan penerima pinjaman.
Dalam pertukaran barang dan kewangan pula, ia bermaksud penambahan nilai
akibat kuantiti yang berbeza atau perbezaan waktu pertukaran.
Rasulullah SAW menjelaskan, riba adalah antara tujuh dosa besar seperti
sabda Baginda mengenai dosa berkenaan iaitu: "Menyekutukan Allah, sihir,
membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan hak (jalan
dibenarkan syarak), makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri
ketika perang dan menuduh (berzina) wanita muhshanat (wanita yang
menjauhkan perkara dosa) yang beriman lagi tidak terlintas memikirkan
sebarang kejahatan," (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis lain pula, Baginda bersabda: "Dosa riba memiliki 72 pintu,
dan yang paling ringan adalah seperti seseorang berzina dengan ibu
kandungnya sendiri." (Riwayat Ibnu Majah).
Zaharuddin berkata, selain berperang dengan Allah dan dosa seperti
berzina dengan ibu kandung; kehidupan individu yang terbabit dalam riba
akan hilang keberkatannya malah cenderung melakukan dosa.
Ia berdasarkan keterangan Ibnu Hajar dalam kitabnya az-Zawajir ketika
mentafsirkan ayat 275 dari surah al-Baqarah iaitu: "Allah menghalalkan
jual beli dan mengharamkan riba."
"Di dalam Kitab Jamik al-Ahkam oleh Al-Qurtubi juga, Ibnu Abbas
menerangkan wang daripada sumber riba tidak akan diterima untuk apa saja
kebaikan seperti sedekah, menunaikan haji atau berjihad," katanya.
Dosa dan kesan riba pula akan menyelubungi tidak saja penerima riba
tetapi mereka yang memberinya seperti Sabda Rasulullah SAW: "Allah
melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, dua orang
saksi dan pencatat (dalam transaksi riba), mereka sama saja," (Riwayat
Muslim dan Ahmad).
"Antara jenis riba yang banyak disertai umat Islam pada masa kini
membabitkan pinjaman daripada institusi kewangan bukan Islam seperti
pinjaman kereta dan rumah," katanya.
Berikutan itu, katanya, umat Islam kini wajib mendapatkan pembiayaan
menurut sistem perbankan Islam bagi mengelakkan riba malah mereka tidak
harus menggunakan alasan darurat kerana sudah banyak perbankan Islam
sejak beberapa tahun lalu.
"Perbezaan antara bank konvensional dan sistem perbankan Islam adalah
urusan pembiayaan bank Islam membabitkan urusan jual-beli iaitu bank
membeli kereta atau rumah yang diingini pelanggan dan kemudian menjual
kepada pelanggan dengan harga pokok dicampur untung bank dengan
persetujuan, keuntungan itu adalah disepakati halal oleh ulama," katanya.
Sehubungan itu, Zaharuddin berkata, bagi umat Islam terbabit dalam
riba, jalan penyelesaian adalah menukarkan pinjaman itu kepada pinjaman
berasaskan Islam serta bertaubat.
"Kita kena berusaha untuk keluar daripada dosa riba, mungkin dikenakan
kos tambahan untuk pertukaran pinjaman itu tapi anggaplah sebagai penebus
dosa. Jangan tangguh untuk keluar daripada riba; apa gunanya mencari
kadar faedah rendah di bank bukan Islam jika ia membabitkan peperangan
dengan Allah?" katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home