| RABU lalu, kerajaan memutuskan menghentikan terus pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura serta semua rundingan membabitkan projek itu. Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira suara dan sentimen rakyat keseluruhan, terutama mengenai isu bekalan pasir dan penggunaan ruang udara negara. Wartawan Berita Minggu, Rasid Rahaman dan Nasron Sira Rahim menemu bual Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nidzammuddin Sulaiman (gambar), untuk mengupas isu ini. ? BOLEH Dr ulas tindakan kerajaan memberhentikan serta-merta pembinaan jambatan bernilai RM600 juta untuk menggantikan Tambak Johor? Ia mengejutkan, ketika pelbagai pihak melihat rundingan antara Singapura dengan Malaysia mengenai projek itu berkembang baik, kontraktor turut dilantik dan perbelanjaan juga sudah dikeluarkan, tiba-tiba ia diberhentikan. Bagi sesetengah pihak, mungkin tindakan itu mengecewakan, tetapi pada pihak lain tidak terkejut. Bagi yang terbabit dalam pembinaan dan kepentingan ekonomi Malaysia, ini sesuatu yang mengecewakan, tetapi bagi Singapura, mereka menyatakan terkejut. Hakikatnya mereka menyambut baik keputusan ini. ? Kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira suara dan sentimen rakyat secara keseluruhan, terutama syarat yang dibuat Singapura membabitkan isu bekalan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia. Syarat itu dikatakan mencabar soal maruah dan kedaulatan negara. Saya rasa banyak perkara yang menimbulkan tanda tanya kerana Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) menyatakan beliau mengambil kira pandangan rakyat, tetapi sebelum ini, baik laporan akhbar dan ucapan pemimpin, ramai yang menyokong cadangan ini dan tiada apa-apa halangan. Mungkin selepas Singapura mengenakan syarat menggunakan ruang udara Malaysia dan mendapatkan bekalan pasir, pandangan rakyat diambil kira. Rakyat pasti tidak senang dengan keputusan kerajaan jika menerima syarat Singapura itu bagi membolehkan Malaysia membina jambatan. Tetapi, jika setakat membina jambatan itu tanpa mengadakan rundingan dengan tawar-menawar, saya kira tiada masalah. Jambatan itu dibina hanya membabitkan kawasan Malaysia, tetapi Singapura mengenakan syarat, sebelum memberi persetujuan. Dalam konteks tawaran itu pula, mengapa Malaysia harus berunding kerana ia di tanah Malaysia sendiri? Contohnya, saudara tinggal di sebelah rumah saya dan ingin membina sesuatu di rumah saudara tapi saya kata tidak boleh, bagaimana? Maksudnya macam itulah. ? Ada dakwaan menyatakan projek jambatan itu hanya membuang duit, manakala banyak masa digunakan untuk memujuk Singapura? Secara sinis, ada kenyataan daripada Singapura bahawa Malaysia tidak cukup wang untuk membina jambatan itu, tetapi saya percaya kita cukup wang untuk membinanya. Memang diakui dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Perdana Menteri menyatakan tidak mahu lagi projek mega, tetapi yang satu ini, di luar daripada yang dijangka jika diambil kira pandangan terdahulu. Saya percaya mesti ada perhitungan beliau tersendiri. Mungkin beliau cuba membuat sesuatu membabitkan kepentingan negara dan membayangkan Singapura akan bersetuju, tetapi nampaknya negara jiran itu tidak bersetuju. ? Kenapa Singapura mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan mereka? Jambatan itu sebelum ini cuba dibuat secara lurus, tetapi Singapura tidak bersetuju. Persoalannya mengapa? Bagi Malaysia, kita berasa dengan menghapuskan tambak itu, dari sudut ekologi akan memberi kesan baik, tetapi sesuatu yang kita tidak fikirkan ialah faedahnya kepada Singapura. Negara itu tidak memperoleh manfaat daripada pembinaan jambatan itu, malah ia boleh menjejaskan ekonomi mereka. Mereka tiada sektor perladangan dan pertanian kecuali pelabuhan. Menerusi pembinaan jambatan baru itu, ia mempermudahkan lagi urusan keluar masuk dari Singapura ke Malaysia dan sebaliknya. Kita juga sedia maklum, pelancong paling ramai ke negara ini ialah dari Singapura dan pekerja Malaysia juga ramai bekerja di negara itu. Satu faktor lain apabila jambatan baru itu dibina, ia membolehkan kapal dagang menggunakan Selat Tebrau sebagai laluan mereka yang sebelum ini dihalang Tambak Johor. Oleh itu, Malaysia boleh memajukan Pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas. Kapal dagang akan lalu Selat Tebrau, tanpa perlu menggunakan perairan Singapura seperti dilakukan pada masa ini. Jadi Singapura beranggapan jika Tambak Johor dibuka, maka pelabuhan mereka akan hancur. Mereka juga menyedari Malaysia bukan saja ingin membina jambatan itu, malah mahu memajukan pelabuhannya. Apabila menyedarinya, mereka tidak setuju dan berlakulah rundingan. Kemudian Malaysia mencadangkan pembinaan jambatan bengkok di kawasan Malaysia saja, sekurang-kurangnya kapal masih boleh lalu. Dari sudut geografi dan undang-undang geografi, Malaysia ada hak sepenuhnya untuk membuat keputusan itu. Bagaimanapun, hak itu tetap berpotensi mengancam pelabuhan Singapura. ? Kenapa tiba-tiba Malaysia mengumumkan menghentikan projek berkenaan? Syarat yang dikemukakan Singapura itu terlalu sukar. Malaysia tidak akan bersetuju membenarkan pesawat Singapura di kawasan udaranya kerana mencemar kedaulatannya. ? Selain syarat yang dikenakan Singapura, adakah Dr nampak projek itu dihentikan kerana pembinaan jambatan itu boleh memberi implikasi undang-undang? Malaysia sudah mengambil kira semua itu, jika dibina jambatan itu, paip air akan terus dibuat, air akan terus dibekalkan. Jika perjanjian itu diteruskan, saya rasa tiada masalah undang-undang mungkin hanya dari sudut perjanjian lain. ? Kenapa Singapura sukar bersetuju dengan pembinaan jambatan itu. Persoalannya, Singapura yang dikelilingi alam Melayu iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei, sering memikirkan mengenai survival. Malaysia pula memikirkan mengenai pembangunan, untuk hidup lebih baik. Setiap kali negara jirannya membuat kenyataan, Singapura akan mengkaji implikasinya kepada mereka. Contoh, jika berubah kuasa politik negara jiran, apa kesannya terhadap mereka. Mereka bimbang dan juga sering beranggapan mereka akan diancam negara jiran. Sebab itu mereka memikirkan mengenai survival dan keselamatan. Jadi, mereka juga terpaksa membuat keputusan yang offensive untuk memelihara negara mereka. ? Sejauh mana kepentingan jambatan itu kepada Malaysia? Dari segi ekonomi, kita fikirkan pembinaan itu, walaupun perlu ia tidak mendesak. Banyak lagi perkara di negara ini yang lebih mendesak seperti pertanian, bioteknologi, menghapuskan kemiskinan dan membina jalan raya di luar bandar. Manfaat paling ketara dengan pembinaan jambatan itu ialah perkembangan industri pelabuhan di Johor yang dilihat begitu menguntungkan Malaysia. Yang jelas, bukan sekadar kita boleh membina laluan baru yang lebih baik antara Singapura dengan Malaysia, malah kita dapat memajukan pelabuhan kita. Jika boleh lihat pada peta dunia, dengan adanya Tambak Johor, kapal pergi ke pelabuhan Singapura. ? Manfaat jambatan itu kepada Singapura? Daripada sumber yang saya baca, tiada apa kepentingan yang diperoleh republik itu. Jika jambatan itu dibina, mungkin mereka terpaksa mengubah pelabuhan mereka menghadap Selat Tebrau dan terpaksa berkongsi dengan Malaysia. Tetapi mereka tidak mahu berkongsi, malah untuk menukar pelabuhan menghadap Selat Tebrau, mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar kerana terpaksa membina perbandaran dan pelabuhan baru. Geografi negara mereka juga akan berubah. Jika berkongsi, mereka terpaksa bersaing. Jika Malaysia membina jambatan itu, Singapura terpaksa merobohkan juga Tambak Johor di kawasan mereka kerana terpaksa buat pelabuhan baru dan ia membabitkan perbelanjaan yang besar. ? Apakah kesan daripada pembatalan pembinaan jambatan ini? Kesan sampingan seperti maruah dan dasar luar negara dilihat berlembut, perbelanjaan yang dikeluarkan juga banyak dan bagi Singapura, mereka sudah berasa kemenangan moral. Ia turut membabitkan pandangan pihak antarabangsa seperti Asean dan sebagainya. Dari sudut Singapura, pembatalan jambatan itu membuatkan mereka berasa selamat dan ekonomi mereka tidak terancam. Status quo mereka tidak tercabar. Mereka berasa perang diplomasi itu, mereka menang. Bagaimanapun, saya percaya Pak Lah membuat keputusan ini dengan mengambil kira pelbagai pandangan, risiko, impak negatif dan kebaikan. Cuma timbul persoalan mengapa tidak ditamatkan pada peringkat awal lagi? Mungkin Malaysia masih berharap Singapura mampu berlembut. ? Bagaimana hubungan Malaysia-Singapura selepas ini? Bersifat stabil tension. Hubungan agak stabil, tetapi akan ada tekanan yang berterusan. Ia bersifat seperti love-hate relations. Tidak suka macam manapun bagi Malaysia, Singapura itulah yang berdagang dengan kita, pelancong asing merekalah paling banyak di negara kita. Pada Singapura, tidak suka macam manapun, Malaysialah pembekal air dan bahan makanan kepada mereka. Dalam hubungan geografi, mereka saling memerlukan, tetapi pada masa sama wujud krisis dan masalah. Tetapi krisis ini akan ada dan reda secara berterusan. Ini adalah keadaan lazim bagi setiap negara berjiran. ? Kesimpulan berhubung isu ini? Saya kembali kepada pemikiran politik pemimpin Singapura. Mereka melihat kedudukan mereka itu sentiasa terancam, dan apa-apa saja dibuat negara jiran, akan mereka perhatikan dengan teliti dan mereka sentiasa menganalisis dan membuat timbal balas supaya dapat memastikan kedudukan mereka tidak dicabar. Dalam keadaan ini, jambatan itu dirasakan boleh menggugat ekonomi mereka, jadi mereka berasa ia antara sebab utama untuk mereka menolak dan tidak bersetuju. Dapat disimpulkan bahawa dasar asas mereka sendiri menyebabkan sebarang keputusan haruslah memelihara kepentingan mereka saja. Sangat sedikit memikirkan negara jiran dan tolak ansur. INTI PATI * Pembinaan jambatan baru dari sudut Malaysia lebih kepada pembangunan untuk hidup lebih baik. Sebaliknya Singapura pula menganggap ia survival dan boleh mengancam keselamatan negaranya. * Manfaat ketara daripada pembinaan jambatan baru kepada Malaysia ialah perkembangan industri pelabuhan di Johor yang begitu menguntungkan. Bagi Singapura pula jambatan baru itu mungkin memaksa mengubah pelabuhan mereka menghadap Selat Tebrau dan berkongsi dengan Malaysia. * Dari sudut Singapura, pembatalan jambatan membuatkan mereka berasa selamat, ekonomi tidak terancam dan status quo mereka tidak tercabar. Mereka berasa mereka menang perang diplomasi. Perhitungan Pak Lah pula, pembatalan projek mengambil kira pelbagai pandangan, risiko, impak negatif dan kebaikan. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home