Thursday, November 06, 2008

raja pancing

Publication : BM

Edition :

Date : 08/01/2006

Page Number : 04

Headline : Ah! Nikmatnya...

Words : 1088

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


MEMANCING boleh membuatkan kita ketagih." Demikian ulasan ringkas
Presiden Persatuan Memancing Malaysia (PeMM), Mejar (B) Ismail Feisol,
46, ketika diminta mengulas mengenai keistimewaan hobi itu.
Dalam pertemuan dengan Berita Minggu di rumahnya di Subang Jaya,
Selangor baru-baru ini, beliau berkata, mereka yang tidak pernah
memancing juga pasti merasai 'perasaan pelik' ketika mencubanya buat kali
pertama, apa lagi jika umpan yang dipasang dimakan ikan.
"Lazimnya pemancing menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk membeli
peralatan standard. Sekarang saya memiliki set peralatan memancing
bernilai kira-kira RM200,000," katanya sambil menunjukkan peralatan yang
disimpan di satu sudut di rumahnya.
Beliau yang meminati dunia pancing sejak kecil, mengakui saat paling
menggembirakan ialah apabila dapat banyak ikan, malah lebih menyeronokkan
apabila memancing menggunakan buluh kuning.
"Tidak dapat digambarkan keghairahan apabila mendengar kekili
(penggulung tali pancing) disentap atau ditarik ikan ketika memancing,
boleh dikatakan perasaan ketika itu lebih hebat daripada apa saja.
"Jika dengar bunyi itu, tidur pun boleh terjaga; itulah masa yang
ditunggu-tunggu setiap pemancing, masa untuk menyahut cabaran dan
berlawan dengan ikan hingga boleh menyebabkan mereka lupa diri," katanya.
Begitulah gambaran beliau mengenai semangat memancing malah cintanya
dalam bidang itu membolehkan beliau mencatat rekod tersendiri apabila
menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang diiktiraf sebagai pemancing
profesional antarabangsa oleh syarikat pancing terkemuka dunia yang
berpangkalan di Jepun, Lucky Crafts.
Sehingga kini, terdapat hanya 10 pemancing profesional di seluruh dunia
yang diiktiraf Lucky Crafts menyebabkan Ismail secara tidak langsung
mengharumkan nama Malaysia menerusi pengiktirafan yang diterimanya Mei
lalu itu.
Minat mendalam terhadap pancing yang disemai ibunya sejak beliau masih
di dalam kandungan, kini tidak sia-sia apabila Ismail cukup dikenali di
peringkat antarabangsa dalam bidang itu.
Pembabitannya dalam hobi itu membawa beliau ke lokasi memancing menarik
di seluruh dunia kecuali kawasan kutub, malah beliau mendakwa sudah
memancing di semua lokasi di seluruh Malaysia.
Rekod beliau adalah menaikkan ikan Merlin seberat 212 kilogram di
Australia pada 1987 manakala bagi kategori ikan air tawar, Ismail
menewaskan ikan Toman seberat 21 kilogram di Tasik Banding, Perak, dua
tahun sebelum itu.
"Saya juga menulis dalam hampir semua majalah pancing tempatan,
menghasilkan program televisyen 'Gi Ngail' selain menulis dalam majalah
Marlin di Amerika Syarikat dan Salt Water Fishing di Amerika Syarikat
serta Australia.
"Saya turut diundang ke stesen televisyen United Kingdom, BBC sebanyak
tiga kali bagi membincangkan mengenai memancing," katanya.
Tidak seperti kebanyakan aktiviti lain, suasana sunyi dan aman dalam
suasana segar alam semula jadi memberikan kedamaian minda kepada Ismail
menyebabkan beliau sentiasa ingin memancing.
"Saya yakin memancing boleh melatih seseorang itu menjadi baik, sabar
dan majoriti pemancing menghargai alam semula jadi. Saya sendiri jika
tertekan dengan urusan syarikat, bergaduh dengan isteri; saya pergi
memancing dan sebaik pulang boleh tersenyum," katanya yang turut digelar
'papa pancing' oleh kaki pancing tempatan.
Memancing adalah warisan keluarga Ismail berikutan datuk dan neneknya
meminati hobi itu malah satu kawasan pancing di Langkawi turut dinamakan
sempena nama neneknya iaitu Karang Che Minah.
Warisan itu kemudiannya diperturunkan kepada ibu bapa beliau dan ketika
ibunya mengandungkan Ismail, wanita itu masih meneruskan kegiatan
memancing. Ismail beranggapan minatnya dalam memancing disemai ketika itu.
Minat itu diteruskan sehingga kini atas dorongan keluarga dan sanak
saudara malah ketika sedang bercinta dengan isterinya, Hasniyah Mohd
Saad, 45, mereka turut mengadakan temu janji di tepi sungai bagi
membolehkan Ismail memancing.
Selepas berkahwin pula, Ismail memilih untuk berbulan madu di Langkawi,
antara sebabnya adalah kawasan kepulauan itu turut dipenuhi lokasi
memancing yang strategik.
"Selepas berkahwin, isteri turut memancing malah kadang-kala kami
bersama tiga anak turut memancing bersama-sama, mereka turut meminati
pancing seperti saya terutamanya dua anak perempuan saya.
"Ketika saya masih di dalam Angkatan Tentera Malaysia, saya masuk ke
dalam hutan dengan membawa senjata dan joran," katanya yang mengenali
isterinya ketika menuntut dalam kelas tuisyen yang sama ketika beliau
berada di tingkatan tiga.
Sebagai pemimpin utama di kalangan kaki pemancing di negara ini, beliau
mengakui ketagihan terhadap memancing menyebabkan ada antara peminat hobi
itu mengabaikan keluarga dengan berada di lokasi memancing sehingga satu
tempoh lama.
"Saya selalu menasihatkan kepada mereka `memancing, memancing juga
tetapi keluarga perlu diutamakan'. Saya juga mengingatkan bahawa jangan
memancing seorang diri kerana bahaya jika berlaku musibah tanpa teman,"
katanya.
Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman Ismail sendiri, beliau pernah
disengat bisa ikan sembilang sehingga pengsan, dipatuk ular dan dikejar
gajah ketika menjalankan aktiviti itu tetapi mujur saja ada teman untuk
membantu.
Aktiviti memancing yang memerlukan penggemar hobi itu bertandang ke
kawasan hutan, paya terbiar dan sungai membuatkan mereka terdedah kepada
pelbagai pengalaman mistik dan menyeramkan.
Menceritakan antara pengalaman beliau, Ismail berkata peristiwa paling
menakutkan berlaku sekitar 1984 di Port Klang, Selangor ketika hampir
tengah malam apabila beliau bersama rakannya memancing di atas bot kecil
di pinggir lautan itu.
"Sedang kami memancing dalam suasana gelap, secara tiba-tiba satu
lembaga putih terbang ke arah kami dan berhenti di atas bot, kami terdiam
dan segera mengemudi bot untuk ke jeti tetapi 'benda' itu terus mengikuti
sambil ketawa.
"Selepas 40 minit perjalanan pulang barulah ia menghilangkan diri dan
selepas itu kami tidak lagi memancing di situ. Pengalaman itu
bagaimanapun tidak mematikan minat memancing kerana saya berpendapat, di
dalam hidup ini terdapat pelbagai cabaran dan jika takut, apa pun tidak
boleh dibuat," katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa memancing
adalah kegiatan bagi orang miskin kerana fakta menunjukkan ramai pemimpin
termasuk kalangan VVIP turut memancing.
PROFIL
Major (B) Ismail Feisol
JAWATAN: Presiden Persatuan Memancing Malaysia (PeMM), Pengarah Urusan
Sealvest Adventure Sdn Bhd.
UMUR: 46 tahun
ASAL: Alor Star, Kedah.
ISTERI: Hasniyah Mohd Saad, 45 tahun.
ANAK: Mohd Harif, 22, Noimee Aliya, 19 dan Kristina Aliya, 8 tahun.
PENDIDIKAN: Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah; Maktab Tentera Diraja.
FAKTA
Dunia pancing
* Mengikut Ismail, memancing adalah aktiviti membabitkan tali dan mata
kail.
* Tiada sejarah sahih mengenai tarikh bermulanya kegiatan memancing
tetapi artifak berupa mata kail yang diperbuat daripada tulang dan kayu
dipercayai digunakan pada 800 tahun Sebelum Masihi ditemui di Sungai Nil,
Mesir.
* Kegiatan memancing menjana sehingga RM448.4 bilion pendapatan Amerika
Syarikat pada 2001 dan purata RM2.5 bilion di negara ini setiap tahun.
* Ada 2 juta pemancing di Malaysia.
* Cabaran memancing adalah untuk menangkap ikan paling berat
menggunakan kekuatan tali pancing paling ringan.
* Terdapat 364 spesies ikan air tawar di Malaysia tetapi kajian pada
1986 mendapati kira-kira 200 spesies sudah pupus atau hampir pupus.
* Ikan talapia bukan berasal dari negara ini tetapi dibawa masuk dari
Afrika untuk dijadikan makanan askar Jepun di Tanah Melayu.
* Ikan air tawar di Malaysia unik kerana memiliki paru-paru dan
diklasifikasikan sebagai 'Anabantiod'.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home