Thursday, November 06, 2008

news sukan

Publication : HM

Edition :

Date : 21/09/2004

Page Number : 45

Headline : 16 regu berentap tentukan juara takraw

Words : 227

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :



SEBANYAK 16 regu sepak takraw terbaik dari Myanmar, Thailand dan Malaysia
akan berentap untuk menentukan juara Kejohanan Sepak Takraw Jemputan
Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula hari ini.
Kejohanan tiga hari itu bakal menyajikan aksi hebat pemain sepak takraw
terbaik dunia, termasuk teknik yang paling digeruni milik regu Thailand
seperti `servis kuda'.
Kontinjen Thailand menghantar lima regu manakala Myanmar, empat dan
selebihnya adalah regu negara.
Pasukan negara akan diwakili regu daripada ATM, Telekom Malaysia dan
UUM dengan masing-masing dua regu manakala satu regu daripada Majlis
Sukan Negara (MSN).
Pegawai Perhubungan Awam UUM, Suraya Deraman berkata kesemua regu akan
bertarung untuk merebut wang tunai RM10,000.
"Kejohanan diadakan sebagai sebahagian daripada program `Sambutan UUM
20 Tahun' dan dianjurkan Pusat Sukan dan Rekreasi UUM dirasmikan Naib
Censelor UUM, Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri," katanya.
Katanya, paserta dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu A, B, C, D
yang menyaksikan pasukan negara akan bertemu Thailand dan Myanmar dalam
kumpulan A, B dan C manakala regu Thailand dan Myanmar akan bertarung
sesama sendiri dalam kumpulan D.
"Peringkat separuh akhir dan akhir diadakan pada Khamis ini dan juara
akan memperoleh RM5,000, kedua (RM3,000) dan ketiga (RM2,000)," katanya.
Perlawanan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Publication : HM

Edition :

Date : 25/09/2004

Page Number : 47

Headline : Regu Thailand kuasai Takraw Jemputan UUM

Words : 390

Byline : Oleh Nasrullah Rahim; Zuliaty Zulkifli

Text :



REGU Thailand menepati ramalan awal apabila menjadi johan dan menguasai
Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
(UUM) yang berakhir petang kelmarin.
Malah, penangan berbisa regu Thailand yang digeruni menerusi teknik
sepakan `servis kuda' berjaya mengenepikan 11 regu dari Malaysia dan
Myanmar untuk bertarung sesama sendiri pada pusingan separuh akhir.
Kejohanan tiga hari yang dianjurkan UUM itu disertai 16 regu sepak
takraw terbaik dari tiga negara itu iaitu lima regu dari Thailand, empat
regu dari Myanmar dan pasukan negara menghantar enam regu.
Perlawanan akhir kelmarin, menyaksikan pertemuan sesama sendiri antara
dua regu Thailand iaitu Thira Thai serta Thai Telephone dan kemenangan
diperoleh Thira Thai dengan keputusan 22-20 dan 21-18.
Pasukan negara hanya menyerlah menerusi Telekom B yang hanya layak ke
peringkat suku akhir sebelum kalah kepada Thira Thai dengan keputusan
21-14 dan 21-19.
Thai Telephone pula layak ke peringkat separuh akhir selepas bertarung
hebat dan mengalahkan regu dari Myanmar iaitu Myanmar A dengan keputusan
21-19, 15-21 dan 15-11.
Perlawanan bagi menentukan tempat ketiga pula menyaksiakan Myanmar A
berjaya menundukkan Telekom B dengan pungutan mata 21-13 dan 21-6 serta
membawa pulang wang tunai RM2,000, pingat dan cenderahati.
Dengan kemenangan di tempat pertama, Thira Thai membawa pulang hadiah
wang tunai RM5,000, pingat dan cenderahati manakala Thai Telephone di
tempat kedua menerima wang tunai RM3,000, pingat dan cenderahati.
Jurulatih Thira Thai, Nopporn Noowang, turut menerima pengiktirafan
sebagai Jurulatih Terbaik Kejohanan manakala pemain apit kanan regu yang
sama, Kponochai Kho Kaew menerima gelaran Apit Kanan Terbaik kejohanan.
Walaupun Telekom B tewas, pengiktirafan Khairul Nizam Md Jian sebagai
Apit Kiri Terbaik kejohanan mampu mengubat kekecewaan mereka dan pasukan
negara.
Pengurus dan tekong Myanmar A, U Hlang Hiut Aung dan Aung Hien pula
menyandang gelaran Pengurus Terbaik dan Tekong Terbaik sempena kejohanan
berkenaan.
Kejohanan anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi UUM itu diadakan sempena
Sambutan UUM 20 Tahun dan turut menampilkan pemain kebangsaan negara dan
Thailand seperti Mohd Azman Nasaruddin, Mohd Azlan Mubin, Ridzuan Mamat,
Shuhairi Salim dan Ashraf Ibrahim selain Praweet, Ittipol dan Saryaan.

Publication : HM

Edition :

Date : 08/09/2004

Page Number : 47

Headline : Md Zain kuasai golf UUM

Words : 171

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :



PENGALAMAN mengatasi segalanya. Kenyataan itu terbukti apabila Pengarah
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) cawangan Kedah-Perlis, Md
Zain Sakmah muncul juara individu dalam Kejohanan Amal Golf Terbuka
Universiti Utara Malaysia (UUM) Sabtu lalu.
Md Zain, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam sukan itu menewaskan
100 peserta lain dalam kejohanan anjuran Fakulti Komunikasi dan Bahasa
Moden (FKBM) UUM dengan kerjasama Black Forest Golf And Country Club
(BFGCC), Bukit Kayu Hitam.
Dengan catatan nett 70 handicap 5 atas perkiraan `stroke play', Md Zain
yang mengakui amat meminati sukan golf sejak 20 tahun lalu, menang
menerusi kategori berkenaan.
Selain kejayaan berkenaan, beliau yang juga ahli Kelab Darul Aman Golf
dan Kelab Golf Perkhidmatan Awam Kuala Lumpur pernah menjadi johan
kejohanan golf anjuran Jabatan Penjara Kedah 2004.
Pengalaman itu juga membolehkannya menang Pertandingan Golf Sempadan
Malaysia- Thailand pada 2003 selain menjadi johan di Kejohanan Golf
Bulanan anjuran Kelab Golf Darul Aman pada Julai dan Ogos lalu.


Publication : HM

Edition :

Date : 25/10/2004

Page Number : 49

Headline : 150 ATLIT HADAPI CABARAN DI SURABAYA

Words : 327

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :



SERAMAI 150 atlit memulakan latihan intensif semalam, bagi memastikan
kontinjen negara memberi tentangan sengit menjelang Kejohanan Sukan
Universiti Asean (SUA) di Surabaya, Indonesia, Disember ini.
Mereka kini `berkampung' di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama
empat hari sehingga Khamis ini bagi melakukan persediaan awal mental dan
fizikal serta menjalani Latihan Fasa 1.
Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi (Pusur) UUM, Shafferi Rejab, berkata
antara atlit yang menjalani latihan di UUM membabitkan pemain badminton,
bola sepak, bola tampar wanita, ping pong, sepak takraw, pesilat
olahraga, tenis dan bola keranjang wanita.
"Latihan Fasa 1 itu ditetapkan di UUM selepas Majlis Sukan Universiti
Malaysia (Masum) mendapati kelengkapan yang ada di sini memenuhi
keperluan latihan.
"Latihan mencukupi perlu dilakukan bagi memastikan atlit bersedia
sepenuhnya untuk bersaing pada temasya itu yang bermula pada 5 hingga 12
Disember ini," katanya.
Shafferi berkata, latihan bagi acara badminton, bola tampar dan sepak
takraw diadakan di Dewan Serbaguna, Pusur manakala latihan ping pong pula
di Dewan Serbaguna Kolej Bukit Kachi.
"Pesilat negara pula menjalani latihan di Dewan Kolej Telekom, manakala
latihan bola sepak di Padang B UUM dan latihan tenis turut diadakan di
Pusur," katanya.
Beliau berkata, latihan empat hari itu akan dijalankan sebanyak tiga
sesi bermula jam 8 pagi hingga 11.30 pagi, 2.30 petang hingga 6.30 petang
dan 8.30 malam hingga 10.30 malam.
Katanya, sepanjang berada UUM, semua pegawai dan atlit akan menginap di
Kolej Yayasan Al-Bukhary.
Kawasan Pusur UUM yang meliputi kawasan seluas 74 ekar menyediakan
pelbagai perkhidmatan sukan dan rekreasi dengan kemudahan lengkap dan
terkini.
Antara kemudahan disediakan adalah kolam renang bertaraf olimpik,
stadium mini, padang golf sembilan lubang, sauna, padang bola sepak,
dewan badminton, lapang sasar memanah bersaiz antarabangsa dan kawasan
perkhemahan.


Publication : HM

Edition :

Date : 22/11/2004

Page Number : 37

Headline : Jian Hao juara badminton dua kategori

Words : 416

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :



GOH Jian Hao membuktikan bahawa dia sememangnya berbakat dalam permainan
badminton dan mampu pergi lebih jauh pada masa depan selepas muncul juara
dua kategori pada Kejohanan Badminton Bawah Umur di Dewan ASRC, Alor
Star, kelmarin.
Kemenangan pertama diperolehi bakat muda dari Persatuan Badminton Kedah
(KBA) itu selepas menewaskan rakan bergunya, Tan Fang Wyei 15-1, 9-15,
15-5 menerusi kategori Perseorangan Lelaki Bawah 13 Tahun.
Kombinasi bersama Fang Wyei pula menyaksikan beregu itu terpaksa
menempuh perlawanan sengit menentang Chua Soo Jun and Ng Wei Khai sebelum
menang 12-15, 15-11, 15-9 kategori bawah 13 tahun.
Selain itu, kejuaraan berganda turut diperolehi Chuah Sin Lui daripada
Persatuan Badminton Kuala Muda (KMBA) memenangi kategori perseorangan
perempuan bawah 13 tahun dan bawah 15 tahun.
Sin Lui memenangi kedua-dua kategori itu selepas menewaskan peserta
yang sama, Ng Sin Zou 11-7, 2-11, 11-4 (bawah 13 tahun) dan 13-11, 11-8
(bawah 15 tahun).
Sementara itu, Tan Aik Quan menjuarai perseorangan lelaki bawah 15
tahun selepas menang 15-9, 15-12 ke atas Tan Yong Seng.
Bagaimanapun, dia terpaksa berputih mata dalam acara beregu
bergandingan dengan Ong Chen Chung apabila tewas kepada pasangan Yong
Seng dan Low Sin Kuan 15-7, 15-5.
KEPUTUSAN
AKHIR
Perseorangan Lelaki Bawah 11 Tahun: Tan Wei Hong (KBA) mn Cheah Jun Wei
(KBA) 15-4, 15-2;
Perseorangan Bawah 13 Tahun: Goh Jian Hao (KBA) mn Tan Fang Wyei (KBA)
15-1, 9-15, 15-5; Bergu: Goh Jian Hao-Tan Fang Wyei (KBA) mn Chua Soo
Jun-Ng Wei Khai (KBA) 12-15, 15-11, 15-9;
Perseorangan Bawah 15 Tahun: Tan Aik Quan (KMBA) mn Tan Yong Seng
(KMBA) 15-9, 15-12; Bergu: Low Sin Kuan-Tan Yong Seng (KMBA) mn Tan Aik
Quan-Ong Chen Chung (KMBA) 15-7, 15-5;
Perseorangan Wanita Bawah 11 Tahun: Lim Pei Xuan (KMBA) mn Tan Khong
Yuen (KBA) 11-9, 11-4;
Perseorangan Bawah 13 Tahun: Chuah Sin Lui (KMBA) mn Ng Sin Zou (KMBA)
11-7, 2-11, 11-4;
Perseorangan Bawah 15 Tahun: Chuah Sin Lui (KMBA) mn Ng Sin Zou (KMBA)
13-11, 11-8; Bergu: Teoh Ee Leen-Ong Shu Voon (KBA) mn Chuah Sin Lui-Ng
Sin Zou (KMBA) 15-10, 17-14;
(END)


Publication : BH-EKO

Edition : NA

Date : 23/11/2004

Page Number : 13

Headline : Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa

Words : 183

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :



PEMAIN tenis remaja dari sembilan negara akan menyertai Kejohanan Tenis
Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra yang akan diadakan selama lima hari
di Perlis bermula 11 Disember ini.
Dianggarkan kira-kira 300 pemain tenis akan berkampung di Kompleks Sukan
Negeri Perlis dan Kompleks Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau untuk
bertarung bagi memburu gelaran anjuran Kerajaan Negeri Perlis dan
Persatuan Tenis Perlis (PTP).
Setiausaha Kehormat PTP, Cheng Joo Chong, berkata antara pemain tenis
luar negara yang mengesahkan penyertaan mereka adalah dari Korea Selatan,
Indonesia, Filipina dan Mongolia.
"Tajistan, Qatar dan Amerika Syarikat turut mengesahkan penyertaan
mereka untuk pertama kali pada tahun ini. Negara lain yang turut menyertai
adalah Thailand dan Singapura," katanya.
Peserta terbahagi berdasarkan kategori perseorangan dan beregu lelaki
dan wanita mengikut had umur bawah 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun, 16 tahun
dan 18 tahun.
Kejohanan ini menurutnya turut terbuka kepada pemain tempatan. Mereka
yang berminat boleh menghubungi Cheng di talian 019-4427070 atau di alamat
Atlas Edible Ice Sdn Bhd, Lot A5, Kawasan MIEL, Jejawi, 02600 Arau,
Perlis.
Yuran penyertaan adalah RM35 dan tarikh tutup penyertaan adalah 30
November ini.
(END)



(END)


(END)


HELP


(END)


(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home