| PELAKSANAAN Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sudah memasuki tahun ketiga pada Januari ini. Sepanjang tempoh itu, pelbagai masalah dan penambahbaikan dilakukan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bagi memastikan program itu mencapai objektifnya. Bagi Siri 3/2006, sesi latihan akan dimulakan pada 1 Januari hingga 11 Mac depan, diikuti Kumpulan Dua mulai 19 Mac hingga 10 Jun dan Kumpulan Tiga pada 25 Jun hingga 16 September. Semuanya membabitkan 95,000 pelatih yang dipilih melalui komputer pada Jun lalu. Wartawan Berita Minggu NASRON SIRA RAHIM menemu bual Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye, baru-baru ini mengenai keberkesanan program itu dan proses penambahbaikan kursus yang perlu dilakukan. PELATIH Kumpulan Satu membabitkan 30,000 pelatih sudah dimaklumkan melalui pos laju mengenai penempatan latihan, peraturan PLKN dan bagi mana-mana pelatih yang layak untuk mendapatkan permohonan penangguhan dan pengecualian, mereka berhak memohon. Saya harap program ini dapat dijalankan dengan lancar tanpa masalah serius. Saya yakin ia dapat dilakukan kerana JLKN sudah mengadakan beberapa perbincangan bagi memastikan masalah pada Siri 1/2004 dan Siri 2/2005 tidak akan berulang. Saya percaya ia sudah diberikan perhatian berat untuk proses penambahbaikan. Secara umumnya, di mesyuarat Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) baru-baru ini, MLKN bersetuju dan memutuskan supaya PLKN menjalani penambahbaikan. Ini amat perlu berikutan kami mahu berusaha sedaya upaya untuk menjadikan semua 80 kem di seluruh negara diperbaiki dari aspek kemudahan infrastruktur, kebajikan pelatih dan kemudahan latihan. MLKN memperkenalkan sistem Taraf Bintang iaitu semua kem akan diberikan taraf antara satu hingga lima bintang bagi membolehkan JLKN memantau pelaksanaan penambahbaikan daripada pengusaha kem. Adalah perlu bagi semua kem menjadi tempat latihan yang mesra pelatih dan selamat selain berkualiti dari aspek makanan, latihan dan peralatan. Penambahbaikan ini akan diberikan keutamaan oleh JLKN dan MLKN. Saya berharap operator kem dan Komandan kem yang dilantik akan memberikan kerjasama dan menjalankan tugas supaya PLKN berjalan lancar. Pelatih juga diharap dapat komited dengan latihan supaya program dapat berjalan dengan lancar. Kita juga memerlukan kerjasama ibu bapa dengan memberi dorongan kepada anak mereka untuk menyertai program dan menunjukkan sikap positif terhadap PLKN. Mana-mana kem bertaraf satu dan dua bintang akan dipanggil untuk berbincang bagi memaklumkan kepada mereka mana-mana kelemahan. Taraf satu dan dua bintang maksudnya ia tidak mematuhi piawaian Schedule of Compliance (SOC) mengenai pelbagai aspek kem yang ditetapkan Kementerian Pertahanan. Jika kem tidak mematuhi piawaian ini bermakna kem itu diberi taraf satu dan dua bintang manakala jika mereka mematuhi SOC, secara automatik mendapat tiga bintang dan melebihi SOC mendapat empat bintang. Bagi kem yang mengambil inisiatif sendiri membina landskap dan berkonsep kem dalam taman akan memperoleh taraf lima bintang tapi sehingga kini masih belum ada kem yang mendapat lima bintang. Kem lima bintang SEHINGGA kini, ada 20 peratus kem di bawah taraf tiga bintang dan mereka sudah dinasihatkan untuk melakukan penambahbaikan supaya kem mereka mencapai tiga bintang. Untuk pelatih Kumpulan Satu, bagi kem bertaraf satu dan dua bintang, kami akan mengekalkan bilangan pelatih mengikut kapasiti kem iaitu 300, 350 dan 400 pelatih tetapi bagi kem bertaraf tiga atau empat bintang, sebagai penghargaan kepada mereka kami akan menambah pelatih antara 16 hingga 20 peratus kerana kesanggupan operator kem melabur membina kem lebih baik dan kami menghargai mereka. Untuk kem bertaraf satu dan dua bintang, kami tidak akan menganiayai mereka dalam memberi bilangan pelatih pada Kumpulan Satu tetapi apabila sampai Kumpulan Kedua, mereka mesti mendapat taraf tiga bintang dan jika tidak berbuat demikian, kemungkinan tindakan mengurangkan pelatih akan diambil. Jika pelatih dikurangkan, pendapatan mereka terjejas kerana upah mereka mengikut bilangan pelatih. Jika ada ramai pelatih maknanya pendapatan mereka bertambah tetapi yang paling penting ialah kami tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak tetapi operator kem mesti memberi kerjasama kepada JLKN. Matlamat jangka panjang kami adalah menjadikan semua kem bertaraf lima bintang. Saya sudah menubuhkan Jawatankuasa Naziran di setiap negeri yang ahlinya terdiri daripada anggota masyarakat yang prihatin seperti bekas wakil rakyat, wakil rakyat, aktivis masyarakat dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia bagi membantu saya memantau kem dan semua ini dibuat atas kesedaran bahawa tanggungjawab menambahbaikan kem adalah tanggungjawab bersama. Bagi pihak JLKN, langkah tertentu sudah diambil untuk penambahbaikan tetapi saya tidak dapat memberikan jaminan bahawa tiada masalah akan berlaku kerana dalam apa juga program latihan, masalah boleh berlaku dari semasa ke semasa apatah lagi membabitkan 95,000 pelatih dan 3,000 jurulatih. Kemungkinan timbul masalah disebabkan sikap individu. Bagaimanapun, kami sedaya upaya akan menangani cabaran yang timbul dalam pelaksanaan PLKN. Baca surah Yasin BAGI Siri 3/2006, ada beberapa komponen atau program baru yang ditambah atau dirangka dengan lebih sistematik dalam kurikulum PLKN. Antaranya bagi komponen kerohanian, penganut Islam mesti mengikuti kuliah subuh, pendidikan kerohanian, bacaan Yasin serta tahlil manakala bagi pelatih bukan Islam, mereka akan mengikuti kelas agama masing-masing semasa pelatih Islam membaca Yasin pada malam Jumaat. JLKN masih berunding dengan pertubuhan agama untuk menghasilkan modul lengkap. Bagi komponen kebudayaan pula, JLKN akan memperkembangkan konsep kebudayaan untuk merangkumi prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. JLKN akan bekerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk memperkenalkan Program Budi Bahasa kepada pelatih Kumpulan Satu. Penambahbaikan yang akan dilakukan terhadap Program Integrasi yang dulunya dikenali sebagai Komponen Silang Budaya ialah mempraktikkan aktiviti seperti membuat kraftangan, menyertai permainan, nyanyian dan tarian rakyat Malaysia. Selain mengenal budaya, agama dan adat kaum lain, pelatih turut menyertai aktiviti kebudayaan kaum itu kecuali membabitkan aspek sensitif seperti keagamaan. Komponen Sistem Nilai pula akan dilebarkan di dalam semua modul dan tidak terhad kepada Modul Fizikal saja seperti sebelum ini dan JLKN akan berunding dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk menyediakan keluarga angkat kepada pelatih dari negeri lain menerusi Program Titian Integrasi. Konsep PLKN di negara ini tidak sama seperti di negara jiran di mana selama tempoh dua tahun, pelatih akan menjalani latihan ketenteraan malah pelatih direkrut untuk mempertahankan negara. PLKN di negara kita pula tertumpu kepada konsep pembinaan negara, patriotisme, integrasi dan disiplin. Minat guna senjata MENGENAI latihan penggunaan senjata api di dalam PLKN, ia tidak boleh dikatakan latihan tetapi hanya pendedahan kerana jika dikatakan latihan, ia bermaksud setiap hari pelatih diajar dan dilatih menggunakan senjata, bom dan alat ketenteraan tetapi di negara kita, pelatih diberikan pendedahan, diajar hal senjata secara teori di kem dan diikuti sesi menembak. Hasil projek perintis mengenai latihan penggunaan senjata api yang dicuba pelatih Kumpulan Tiga Siri 2/2005 dari enam kem akan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak. Terpulanglah kepada beliau untuk meluluskan atau tidak latihan itu untuk siri akan datang tetapi daripada maklum balas pelatih, 94 peratus daripada mereka berminat menerima pendedahan penggunaan senjata. Sungguhpun mereka diberi peluang, dalam tiga bulan itu hanya sepetang saja mereka dibawa ke lapang sasar dan diasuh oleh askar wanita untuk pelatih wanita dan askar lelaki untuk pelatih lelaki supaya aspek keselamatan tidak menjadi isu. MLKN juga mempertimbangkan untuk mendakwa pelatih yang degil, tidak memohon penangguhan atau pengecualian dan bersikap acuh tidak acuh mengikut Seksyen 18, Akta Latihan Khidmat Negara yang menyatakan jika pelatih tidak melapor diri, mereka boleh didenda RM3,000, penjara enam bulan atau kedua-duanya. Akan tetapi, perkara ini perlu disiasat polis dan diserahkan Jabatan Peguam untuk membuat keputusan. Tidak benar jika mengatakan JLKN tidak mengambil apa-apa tindakan (selepas kes pendakwaan Ahmad Harizal Ahmad Fauzie, remaja pertama didakwa mengikut Akta Latihan Khidmat Negara) tetapi ia perlu melalui proses perundangan dan prosedur. Elak ke mahkamah JLKN tidak mahu menyusahkan remaja, jika kalau boleh kita mengelakkan tindakan undang-undang kerana tidak mahu menghadapkan remaja ke mahkamah. Sehubungan itu, sehingga Siri 3/2006, mereka yang tidak mengikuti latihan pada Siri 1/2004 dan Siri 2/2005, mereka masih boleh menyertai program itu lagi tetapi jika kami mendapati mereka tidak membuat sebarang pengecualian atau penangguhan, kita akan serahkan kes ini kepada polis. Kami ingin menasihatkan ibu bapa bahawa jika anak mereka ada masalah tertentu, jangan segan berhubung dengan JLKN untuk menceritakan masalah mereka. Saya yakin jabatan ini akan berperikemanusiaan dan bagi kes kesusahan luar biasa, mereka akan dibantu untuk mendapatkan penangguhan. Oleh kerana hasrat JLKN dan MLKN adalah untuk menjadikan PLKN sebagai program membabitkan pelatih berbilang kaum iaitu 28 peratus Cina, 10 peratus India dan bakinya Bumiputera, maka pelantikan jurulatih juga sekurang-kurangnya harus mengikut nisbah sama. Kami amat mengalu-alukan jurulatih bukan Melayu kerana jika ada jurulatih berbangsa lain, ia boleh membantu Komanden kem dalam hal komunikasi terhadap pelatih. Contohnya untuk Kumpulan Tiga, ramai yang sudah keluar dari sekolah dan bekerja malah ada antara mereka tidak fasih berbahasa Melayu, jadi jurulatih ini dapat membantu. Saya masih berharap jurulatih bukan Melayu akan bertambah. Ada ramai yang memohon untuk mengikuti PLKN secara sukarela tetapi tidak diberikan peluang jadi mereka minta saya membantu. Mereka yang dipilih harus berasa bertuah kerana dalam tempoh tiga bulan ini, mereka boleh mempelajari banyak pengalaman yang menguntungkan. Aktiviti yang disediakan adalah untuk membina insan positif, bermaruah tinggi dan berdisiplin. Kerajaan membelanjakan RM600 juta untuk PLKN pada 2006. Kumpulan yang dipilih sangat bertuah kerana ada ramai yang tidak dipilih tetapi membuat rayuan untuk diberikan peluang. Secara peribadi, kalau kerajaan berkemampuan, saya fikir lebih elok semua remaja yang mencapai usia 18 tahun diberi peluang menyertai PLKN. Mengikut Jabatan Pendaftaran Negara, ada 420,000 hingga 450,000 penduduk mencapai usia 18 tahun setiap tahun dan lebih elok jika semua remaja ini menyertai PLKN, tak perlu pilih. Kalau pilih, orang yang tidak dipilih berkata mereka tidak diberi peluang tetapi yang tidak berminat pula berkata mereka tidak bernasib baik kerana dipilih. Tetapi masalah sekarang adalah kerajaan tidak berkemampuan. untuk membiayai 95,000 pelatih saja sudah memerlukan RM600 juta. Sekarang kami ingin mempromosikan PLKN untuk mendapatkan sambutan lebih baik daripada ibu bapa dan pelatih bagi mengatasi masalah pelatih tidak melapor diri serta menganggap PLKN menyusahkan kerana sebaliknya, PLKN menguntungkan pelatih. Pelatih diberikan tempat penginapan, makanan, latihan percuma tambahan pula mereka diberikan elaun RM100 sebulan. Ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke perkhemahan 'Summer Camp' dan mereka kena bayar tetapi di PLKN, aktiviti sama seperti Summer Camp tetapi percuma. Ini menguntungkan mereka. Ada banyak pengalaman yang tidak boleh dipelajari di sekolah seperti kemahiran di hutan dan semangat berpasukan. Program ini baru dua tahun ditubuhkan, kemungkinan ada pihak tertentu yang menganggap ada kelemahan malah ada laporan media yang negatif seperti gangguan seksual dan pergaduhan dalam kem sehingga menjejaskan PLKN. Jika kami dapat mengadakan promosi, mengurangkan masalah dalam kem, kita boleh jadikan latihan tiga bulan ini lebih menarik. Bagi Siri 1/2004 dan Siri 2/2005, kami ada melakukan kajian rambang dan hasilnya, 92 peratus berpendapat bahawa PLKN patut diteruskan. Memang dalam apa-apa program pun ada segelintir peserta yang tidak setuju tetapi dengan 92 peratus pelatih bersetuju, ia adalah permulaan yang baik bagi program yang baru berusia dua tahun. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home