| PADA waktu kebanyakan pelajar lain menghabiskan masa cuti sekolah dengan berehat dan bersuka ria, kira-kira 230 pelajar yang menginap di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya, Selangor; masih bangun tidur seawal jam 4.30 pagi dan melelapkan mata sekitar 11.30 malam. Melupakan keenakan tidur bagi tempoh lama selain kegiatan bebas mengikut kemahuan hati, kumpulan pelajar terbabit sebaliknya 'berkampung' di masjid itu selama 30 hari bermula 17 November lalu bagi mengikuti Program Tahfiz Perdana. Sepanjang tempoh itu, kebanyakan masa pelajar berusia antara tujuh hingga 20 tahun itu dihabiskan dengan beribadat, mengikuti kuliah ilmu agama dan menghafaz dua juzuk terakhir al-Quran. Kebanyakan peserta datang dari pelbagai negeri malah ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga bagi mencapai matlamat menjadi insan soleh yang berpekerti mulia selain mendidik diri menjadi akrab dengan kitab Allah. Pengurus Masjid Al-Hidayah selaku imam masjid, Ahmad Shukri Ghazali, berkata tiga objektif ingin dicapai menerusi program itu iaitu melatih peserta untuk sentiasa ingin ke masjid, menimbulkan minat dan membentuk remaja menjadi penghafaz al-Quran selain memanfaatkan cuti sekolah. "Program anjuran Masjid Al-Hidayah bersama Kerajaan Selangor ini dimulakan awal tahun ini dan diadakan pada setiap cuti sekolah. Hingga kini ia sudah lima kali diadakan tetapi mengikut tempoh berbeza dan program kali ini adalah selama 30 hari. "Aktiviti utama program adalah memastikan peserta dapat menghafaz al-Quran mengikut kemampuan masing-masing sebaik tamat tempoh 30 hari dan matlamat kami adalah hafazan pada juzuk ke-30 dan ke-29. "Selain itu, kami turut mengadakan kelas bimbingan ibadat termasuk ibadat sunat, bahasa Arab, pengajian hadis serta selawat dan peserta turut diberikan masa beriadah pada waktu petang. Peserta perlu bangun seawal jam 4.30 pagi dan tidur pada 11.30 malam," katanya. Sepanjang tempoh itu, peserta akan menginap di asrama masjid manakala ibu bapa dibenarkan melawat setiap minggu. Kemudahan lain yang disediakan kepada peserta adalah dobi, gunting rambut, makan empat kali sehari dan rawatan kesihatan. Peserta akan dibimbing kira-kira 16 guru yang turut memantau perkembangan mereka. Bagi Ahmad Shukri, antara cabaran sepanjang program dijalankan adalah berdepan dengan kerenah kanak-kanak yang baru kali pertama berpisah dengan keluarga dan belum dapat menyesuaikan diri, tambahan pula 30 hari adalah tempoh yang lama. "Bagi mengatasi masalah ini, kami membenarkan mereka menelefon ibu bapa, pulang untuk sehari atau meminta ibu bapa datang berjumpa anak mereka," katanya. Kebanyakan peserta yang ditemui mengakui walaupun jadual aktiviti agak 'mencabar' program seperti itu amat bermanfaat dan perlu diperbanyak dan diteruskan pada masa hadapan. Tidak seperti tahun sebelum ini, Rabiatul Adawiyah Abdul Aziz, 15, menyertai program itu seorang diri tanpa disertai adiknya malah keluarga remaja itu kini berada di Labuan menyebabkan tiada siapa yang melawatnya sejak menyertai program itu. "Dulu saya menyertai program seperti ini bersama adik selepas dihantar ibu bapa tetapi pada kali ini saya menyertainya secara sukarela kerana menyedari kepentingan untuk menyeimbangkan bidang akademik dan agama," katanya yang sudah empat kali mengikuti program seperti itu. Rabiatul Adawiyah mengakui sepanjang berada di masjid itu, ingatan terhadap keluarga kerap menerpa tetapi kerinduan itu diatasi dengan keazaman dan niat menghafaz al-Quran tambahan pula itu adalah harapan ibu bapanya. "Berbeza ketika di rumah, saya dapat menghafaz al-Quran dengan lebih baik dan sistematik menerusi program ini berikutan kami menghafaz mengikut jadual ditetapkan malah ia kurang gangguan," katanya. Mengenai jadual aktiviti sepanjang program, Mohd Ikhwan Hakim, 13, berkata ia tidak terlalu ketat walaupun pelatih perlu bangun awal dan tidur lewat kerana masih ada masa untuk berehat dan beriadah. "Saya sudah dapat menyesuaikan diri kerana pernah tinggal di asrama sebelum ini menyebabkan tiada masalah untuk saya mengikuti jadual program. Saya kini sudah menghafaz juzuk al-Quran ke-30 dan dalam usaha menghafaz juzuk ke-29 pula," katanya yang berasal dari Puchong, Selangor. Syazwani Zulkapli, 16, dari Kota Bharu, Kelantan; yang sudah tiga kali mengikuti program itu berkata walaupun jadual aktiviti agak mencabar berikutan peserta perlu bangun seawal jam 4 pagi, beliau mampu mengikutinya. Berikutan ibu bapanya berada di Kelantan, abang Syazwani melawatnya pada setiap hujung minggu tetapi ia bukanlah satu masalah kerana remaja wanita itu menyedari bahawa menerusi program itu, dia dapat mendampingi al-Quran dan masa cutinya tidak sia-sia. Ahmad Khairul Adri Zakaria, 13, berkata beliau mendapat ramai rakan baru dari negeri berlainan dengan menyertai program itu dan menganggap program seperti itu baik untuk melatih remaja berdikari dalam menguruskan kehidupan masing-masing. "Ingatan terhadap ibu bapa memang ada tetapi kalau saya pulang, ia akan mengecewakan ibu bapa saya kerana mereka menghantar saya untuk menghafal al-Quran," katanya yang juga berasal dari Puchong. Program Tahfiz Perdana ini mungkin mencatat pengalaman tersendiri kepada remaja berusia 10 tahun, Anis Syafiqah Mastar, kerana ia adalah kali pertama Anis berpisah dengan keluarganya yang kini berada di Ipoh, Perak. "Masa berada di rumah dulu, ibu bapa yang menguruskan keperluan saya tetapi kini kena buat sendirilah, kakak (peserta yang lebih tua) yang ada dekat sini turut membantu," katanya yang menghadiri program itu selepas dihantar ibunya. Ketika ditanya sama ada dia masih berminat untuk mengikuti program itu pada masa akan datang, Anis dalam nada kesayuan menjawab: "Jika mak suruh pergi lagi, saya kena pergilah." (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home