Thursday, November 06, 2008

pengarah Saba Islamic Media

Publication : BM

Edition :

Date : 01/01/2006

Page Number : 03

Headline : Bentuk kebahagiaan tanpa televisyen di rumah

Words : 791

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


SETAHUN hidup tanpa televisyen mungkin meresahkan, tetapi bagi keluarga
Sabariah Abdullah, ketiadaan kemudahan itu membolehkan hubungan sesama
ahli keluarganya menjadi lebih akrab, malah berbanding dulu, tujuh
anaknya kini bagaikan sahabat antara satu sama lain.
Bagi Pengarah Urusan Saba Islamic Media Sdn Bhd itu, beliau tidak
merancang formula kebahagiaan keluarga itu sebegitu, kerana
segala-galanya bermula apabila televisyen di rumahnya di Taman
Setiawangsa, Kuala Lumpur, rosak kira-kira setahun lalu.
"Saya dan suami tidak membaiki televisyen berkenaan menyebabkan
anak-anak tidak dapat menonton. Keadaan itu berterusan sehingga kini dan
saya dapati ia memberi kesan positif terhadap keluarga kami," katanya.
Sabariah sebenarnya mampu membeli televisyen baru, hatta yang paling
canggih, malah di ruang niaga ibu pejabat Saba Islamic Media disediakan
dua televisyen jenama terkenal bersaiz 29 inci. Akan tetapi, beliau tidak
berhasrat menggantikan peralatan berkenaan di rumahnya kerana mahu
keadaan keluarganya berterusan.
"Pada mulanya anak-anak memberontak juga kerana tidak dapat menonton
rancangan kegemaran mereka, tetapi lama-kelamaan mereka mula senyap dan
kesannya, kami lebih kerap berkomunikasi dan semakin akrab.
"Jika dulu, anak-anak asyik ingin menonton televisyen, malah mereka
juga 'berperang' kerana masing-masing ingin menonton rancangan yang
diminati sehingga menimbulkan lebih banyak masalah berbanding apabila
tiadanya televisyen," katanya.
Tanpa televisyen, beliau turut mendapati kehidupan anak-anaknya dapat
diatur dengan pelbagai aktiviti berfaedah seperti beriadah dan bersukan
pada waktu petang selain menghabiskan masa bersama keluarga pada waktu
malam.
"Dulu jika diajak solat berjemaah, pasti tidak semua yang menyertainya
kerana ada yang ingin menonton televisyen tetapi sekarang ahli keluarga
dapat dikumpulkan untuk solat jemaah.
"Keluarga kami juga memiliki peraturan iaitu ahli keluarga tidak boleh
keluar rumah selepas jam tujuh malam dan jika ingin keluar, maka kami
akan keluar bersama-sama," katanya.
Beliau bagaimanapun memberi kelonggaran kepada anak-anaknya berhibur
iaitu dengan membenarkan mereka menonton filem dari cakera padat digital
(DVD) mengikut jadual dan membawa mereka menonton wayang sekali setiap
sebulan.
Bagi menyemai minat berniaga dalam diri anak-anaknya, Sabariah turut
membawa mereka ke ibu pejabat Saba Islamic Media yang letaknya
berhampiran rumahnya pada setiap hujung minggu untuk menyusun buku dan
melekatkan tanda harga selain melatih aspek pengurusan perniagaan.
Sebagai wanita, Sabariah boleh dianggap berhati waja kerana mampu
menjadi perintis kepada perniagaan yang dipercayai belum pernah dilakukan
mana-mana rakyat Malaysia ketika itu iaitu mengedarkan buku dakwah import
berbahasa Inggeris.
Sebaik membuka syarikatnya pada 1989, bekas guru itu tidak menoleh ke
belakang dan berkat kesungguhannya, Saba Islamic Media kini dikenali di
kalangan 'ulat buku' serta pengkaji Islam dan mengedarkan 6,000 tajuk
dengan kira-kira 100,000 jualan produk setahun.
Daripada mengedarkan bahan dakwah yang diimport, syarikat itu semakin
berani melangkah apabila menerbitkan karya penulis luar negara,
menubuhkan syarikat animasi di Jakarta, Indonesia dan menghasilkan
rancangan kanak-kanak berbentuk cakera padat video (VCD) serta program
komputer.
Semuanya dilakukan bagi tujuan dakwah; membersihkan tanggapan negatif
penganut lain terhadap Islam dan memperjelaskan doktrin sebenar Islam.
Bagi tujuan itu juga, syarikat itu menubuhkan Yayasan Perkhidmatan dan
Penerangan Islam yang membekalkan al-Quran kepada hampir semua hotel di
negara ini selain mengadakan seminar dan dialog antara agama.
Tidak lama lagi, Sabariah bakal mencipta rekod di negara ini apabila
menjadi satu-satunya rakyat Malaysia umumnya dan wanita Malaysia
khususnya, yang menganjurkan Pameran Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur,
Jun ini.
"Masih tiada syarikat swasta di negara ini yang menganjurkan pameran
antarabangsa seperti ini dan saya ingin mengumpulkan pengeluar produk dan
penggiat Islam bagi memperkenalkan ajaran Islam sebenar kepada masyarakat
termasuk penganut agama lain," katanya.
Mengenai konsep perniagaan Saba Islamic Media, beliau berkata, terdapat
ramai pembaca buku mengenai Islam dalam bahasa Inggeris tetapi pada masa
itu, masih tiada syarikat tempatan yang mengedarkan produk seperti itu
menyebabkan Sabariah mempeloporinya.
"Saya suka berkomunikasi dengan orang ramai dan topik komunikasi saya
adalah mengenai Islam. Sebenarnya ramai penganut lain yang ingin
mengetahui mengenai Islam terutamanya selepas pihak tertentu mengaitkan
Islam dengan keganasan tetapi mereka tiada saluran untuk mendapat
maklumat tepat dan kurang buku agama berbahasa Inggeris.
"Disebabkan itulah kami ingin menyampaikan dakwah kepada golongan itu
dan saya turut melatih pekerja supaya dapat memberikan maklumat tepat
mengenai Islam kepada pelanggan," katanya yang memiliki kesedaran untuk
berdakwah selepas memerhatikan usaha itu di Amerika Syarikat.
Selepas melalui pelbagai rencah perniagaan, Sabariah kini mampu
tersenyum apabila usahanya sama ada untuk berdakwah atau membina
perniagaan kini semakin berkembang di kalangan masyarakat.
FAKTA NOMBOR
100,000
Edaran produk syarikat setahun
6,000
Tajuk buku diedarkan syarikat
PROFIL
Sabariah Abdullah
UMUR: 43
JAWATAN: Pengarah Urusan Saba Islamic Media Sdn Bhd
KELULUSAN: Sarjana Muda Matematik dari Universiti of Kansas, Amerika
Syarikat
SUAMI: Abu Bakar Sh Nasir
ANAK: Izudin, 20; Azimah, 18; Afifah, 17; Muhammad, 13; Amiruddin, 8;
Ashraf, 4; Aisyah, 1 tahun
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home