Thursday, November 06, 2008

pelajar yaman

Publication : BM
Edition :
Date : 01/01/2006
Page Number : 10
Headline : Hadralmaut tenangkan jiwa Mahayuddin
Words : 495
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


SUASANA dan persekitaran Hadralmaut di Republik Yaman berjaya menggamit
kerinduan Mahayuddin Othman, 24, walaupun beliau sudah kembali ke
Malaysia selepas menamatkan pengajian di negara itu, tahun lalu.
Beliau sedar bahawa pepatah Melayu menyatakan, 'hujan emas di negeri
orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'. Lalu
dia mengambil keputusan kembali menabur bakti di tanah air.
"Ketika saya mula sampai di Yaman pada 1999, ia jauh berbeza dari
Malaysia kerana Yaman lebih mundur dari segi pembangunan tetapi di tempat
yang saya tinggal, penghayatan Islam di kalangan penduduk amat terasa.
"Sememangnya Hadralmaut adalah antara tempat yang memiliki penghayatan
Islam yang kuat sejak pada zaman sahabat lagi dan ia masih terasa
sehingga kini berbanding kawasan lain di Yaman," kata remaja yang berasal
dari Kangar, Perlis itu.
Mahayuddin mendalami kefahaman dalam bidang Pengajian Islam di
institusi pendidikan Darul Mustafa di negara itu selama lima tahun
selepas beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran di negara ini.
Berbeza dengan kursus di negara ini yang diklasifikasikan mengikut
sijil, diploma dan ijazah; kursus yang diikutinya tidak dinilai seperti
itu sebaliknya berdasarkan pemahaman terhadap bidang yang diajar.
Mahayuddin mendakwa ia setaraf ijazah jika digunakan di negara itu.
Berada di Yaman membolehkan Mahayuddin dan rakannya merakamkan
pengalaman berharga kerana Yaman turut dikaitkan dengan perjalanan hidup
beberapa nabi dan mereka sempat meninjau lokasi bersejarah itu.
Selain melawat pelbagai bandar di Yaman, mereka turut mengunjungi
beberapa lokasi yang dikaitkan dengan Nabi Sulaiman AS, gua pemuda Khafi,
kaabah tiruan seperti tertera dalam surah Al-Fil dan makam Nabi Hud AS.
Penghayatan terhadap Islam menyebabkan masyarakat di negara itu turut
merayakan dengan meriah setiap sambutan bersejarah dalam lembaran
kalendar Islam sekali gus membolehkan Mahayuddin meneliti budaya setempat
yang asing baginya.
"Di Yaman, kita boleh mendapat pengetahuan mengenai agama dengan lebih
terperinci, di sana juga terdapat banyak tempat bersejarah mengenai Islam
serta ramai orang alim; pelajar perlu memanfaatkan peluang itu
sebaiknya," katanya.
Ketika mula sampai bersama kumpulan 15 orang, ada Persatuan Pelajar
Malaysia Yaman (Permaya) untuk membantu mereka yang pertama kali berada
di negeri orang.
Berbanding penduduk Arab lain yang dikatakan kasar, masyarakat Yaman
adalah bangsa yang paling bersopan dan bertolak ansur malah mereka amat
menghormati masyarakat Asia.
"Penduduk mereka peramah, sentiasa mengambil berat mengenai keadaan
kami, berbudi dan menghormati orang Asia kerana mereka mengatakan orang
Asia adalah baik. Mereka menunjukkan semangat persaudaraan yang disaran
Islam," katanya.
Berbanding untuk terus menetap di negara itu, Mahayuddin akhirnya
memikirkan bahawa sudah tiba masanya untuk dia kembali dan terjun ke
lapangan dakwah demi mengasuh anak bangsa menghayati Islam, sebaik
selesai menuntut ilmu di institusi itu.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau menjadi tenaga pengajar di Maahad
Tahfiz Al-Itqaan, Ampang, Selangor selain terbabit dalam mengajar
beberapa kursus penghayatan Islam dan hafazan al-Quran.
"Remaja kita memiliki kemampuan untuk menghafaz al-Quran tetapi mereka
tidak mengetahui kaedah untuk melakukannya iaitu bagaimana menumpukan
pemikiran mereka," katanya yang mengambil masa selama empat tahun ketika
mula menghafaz al-Quran pada usia 13 tahun.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home