| LAZIMNYA umat Islam yang terpilih ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji berusia 40 tahun ke atas. Bagi golongan remaja, ada kekangan yang menyebabkan mereka menangguhkan pemergian ke sana termasuk masih belajar dan tidak cukup wang. Namun, Norzafry Norhalim melafazkan kesyukuran teramat kerana 'dipilih' menjadi tetamu Allah ketika berusia 20 tahun, awal tahun lalu. Mengenangkan masih ramai umat Islam yang tidak berkesempatan melengkapkan rukun Islam itu walaupun sudah meniti usia senja, beliau menginsafi penentuan Tuhan yang memilih dirinya untuk menunaikan ibadat wajib itu ketika masih muda. Bagaimanapun, nikmat ibadat yang dianugerah Allah itu bukan diperoleh menerusi peluang yang datang bergolek melainkan ketulusan niat dan rindu untuk menjejakkan kaki di bumi Anbia itu, disertai usaha gigih mengumpul kewangan dan mencari kesempatan. Tidak seperti remaja lain yang menunaikan haji kerana dibawa keluarga, Norzafry bekerja menjadi penghantar barang selain bekerja di ladang strawberi, pir dan anggur ketika cuti belajar untuk mengumpul kos perjalanannya. "Saya berkeinginan menunaikan haji ketika berusia 19 tahun iaitu selepas setahun menuntut di RMIT University of Melbourne, Australia dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Hati saya tergerak menunaikan haji pada usia muda selepas mendengar pengalaman rakan yang pernah ke sana. "Ada rakan yang pernah menunaikan haji pada usia muda dan mereka turut menggalakkan saya berbuat demikian. Akhirnya, selepas merancang dengan teliti, saya bersama lima rakan lain bertolak ke Makkah pada Januari tahun lalu," kata anak kedua dari tiga beradik itu. Dengan niat ikhlas, remaja itu merasakan bahawa segala proses untuk menunaikan ibadat itu dipermudahkan Allah walaupun beliau tidak mengetahui mengenai kaedah untuk mencapai impiannya itu, sebelum ini. "Kebetulan musim haji itu adalah cuti semester dan seorang rakan yang belajar di Makkah bersedia menguruskan penginapan untuk saya menunaikan haji pada tahun itu. Saya kemudiannya merangka kos dan mendapati berbanding di Malaysia, perjalanan ke Makkah dari Australia adalah lebih mudah dan murah. "Sepanjang menunaikan ibadat itu, saya hanya menghabiskan kira-kira AUD$3,500 (RM9,500) dan wang itu dikumpul ketika bekerja di ladang buah-buahan dan sebagai penghantar barang ketika cuti," katanya. Beliau kemudiannya menghubungi perkhidmatan mendapatkan visa haji selepas melihat iklan perkhidmatan itu di sebuah masjid di Australia dan tanpa banyak masalah, ia diluluskan dalam tempoh 24 jam sekali gus impiannya menunaikan haji pada tahun itu tercapai. Norzafry berkata, berbanding menunaikan haji secara pakej, mereka terpaksa menguruskan sendiri aspek perjalanan, makanan dan tempat tinggal tetapi beliau bersyukur kerana semua urusan itu dipermudahkan Allah. "Saya mendalami perkara yang perlu dilakukan ketika haji dengan bertanyakan rakan dan sebelum berlepas ke Makkah, kami berlima pulang sebentar ke Malaysia untuk mengikuti kursus tidak rasmi daripada seorang rakan yang membuka agensi pakej haji dan umrah," katanya. Menceritakan pengalaman haji, beliau berkata, kumpulan mereka sampai di Makkah ketika cuaca sejuk menyebabkan Norzafry demam pada peringkat awal. Kumpulan itu menginap di Rumah Persatuan Pelajar Malaysia Makkah sebelum dilayan sebagai tetamu selama enam hari oleh pensyarah kepada rakannya ketika di Madinah. "Kami mengikut pelajar Malaysia di sana menunaikan haji malah kami berjalan kaki dari kediaman ke Muzdalifah sejauh enam kilometer sebelum menaiki bas ke Padang Arafah. Ketika pulang pula, kami berjalan kaki dari Padang Arafah ke kediaman sejauh kira-kira 23 kilometer. "Kami turut mengambil kesempatan melawat tempat bersejarah seperti Gua Hira' tetapi tidak dapat mengucup Hajaral Asward kerana terlalu ramai jemaah haji. Pada 4 Februari 2005, kami menaiki penerbangan pulang," katanya. Antara 'buah tangan' yang dibawa pulang Norzafry selain jubah adalah kemahirannya bertutur bahasa Arab 'pasar' yang diperolehnya sepanjang hampir sebulan berada di Makkah walaupun sebelum ini beliau tidak memahami bahasa berkenaan. Walaupun pernah menunaikan umrah bersama keluarga pada 2002, beliau menganggap kehidupannya kini lebih tenang kerana sudah menyelesaikan rukun Islam itu sekali gus membolehkannya memikirkan perancangan lain dalam kehidupan. "Saya amat mencadangkan kepada remaja supaya menunaikan haji ketika muda bagi membolehkan kita melakukan ibadat itu dengan lebih bersemangat dan berkemampuan dari segi tenaga. "Tambahan pula, jika menunaikan haji ketika muda, secara tidak langsung kita dapat menikmati sejarah, budaya orang Arab serta keindahan kota Makkah dan Madinah kerana dapat bebas bersiar-siar tanpa merisaukan keadaan dan kesihatan keluarga selain sesat. "Kebanyakan jemaah berusia menumpukan kepada ibadat dan kurang mengambil kesempatan menghayati budaya masyarakat setempat, sejarah atau keadaan kota. Jika pergi pada usia muda, ia menjadi pengalaman yang sangat berharga," katanya. Norzafry sempat menghayati budaya masyarakat setempat dan beliau mendapati walaupun penduduk Arab agak kasar berikutan terpaksa melalui kehidupan lasak, bangsa itu amat menghargai tetamu malah sanggup berhabis belanja kerananya. Keadaan prasarana di Kota Mekah pula dikatakan kurang maju berbanding Kuala Lumpur dan dengan kehadiran kira-kira dua juta jemaah pada setiap musim haji, aspek kebersihan sememangnya menjadi 'cabaran' buat mereka. Seperti kebanyakan jemaah yang akhirnya pulang ke tanah air, Norzafry secara tidak langsung turut diiktiraf sebagai 'Haji Norzafry' tetapi beliau tidak begitu mementingkan gelaran duniawi itu kerana beranggapan tujuannya ke sana adalah untuk melakukan ibadat. Beliau menyarankan kepada remaja yang berminat menunaikan haji pada usia muda supaya tidak hanya memasang niat tetapi turut mencari peluang merealisasikan ibadat itu. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home