Thursday, November 06, 2008

polo gajah

Publication : BM

Edition :

Date : 11/12/2005

Page Number : 23

Headline : Polo gajah kian diminati

Words : 450

Byline : Susunan Nasron Sira Rahim

Text :


UMUM biasa melihat permainan polo menggunakan kuda. Di Sri Lanka,
penduduk negara itu turut meminati sukan polo tetapi bukan menggunakan
kuda sebaliknya dengan menaiki gajah!
Walaupun kurang popular berbanding polo biasa, polo gajah sudah
mencapai usia 22 tahun dan Sri Lanka adalah antara negara yang paling
menonjol dalam kegiatan sukan itu malah ia menjadi sebahagian budaya
rakyat negara itu.
Melewati batasan masa, polo gajah mula mendapat perhatian dunia apabila
semakin banyak pasukan polo gajah ditubuhkan di serata dunia malah sebuah
persatuan peringkat dunia sudah ditubuhkan iaitu Persatuan Polo Gajah
Sedunia.
Hampir setiap tahun, peminat sukan ini akan berkumpul di suatu lokasi
terpilih dan bertanding sesama sendiri. Pada tahun depan, kejohanan
Tahunan Polo Gajah Antarabangsa akan diadakan di bandar bersejarah Galle,
Sri Lanka.
Kejohanan kali kelima itu dianjurkan Persatuan Polo Gajah Ceylon (Cepa)
dan akan diadakan pada 24 hingga 28 Januari dengan penyertaan lapan
negara iaitu Australia, India, Singapura, Perancis, Thailand, Hong Kong,
Scotland dan Nepal.
Selain bakal mempamerkan ciri permainan yang penuh saingan, acara ini
turut diadakan untuk membantu meningkat pembiayaan dan kesedaran terhadap
pemeliharaan dan pemuliharaan gajah di Sri Lanka.
Dengan kejayaan meraih kira-kira RM19,000 (AS$5,000) pada tahun lalu,
aktiviti mempromosi kebajikan gajah akan menjadi keutamaan Persatuan Polo
Gajah Sedunia dan anggotanya di Thailand dan Sri Lanka.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sri Lanka, Udaya Nanayakkara, berkata
kejohanan tahunan itu semakin popular dan bakal menjadi suatu kegiatan
utama bagi pelancong dalam kalendar pelancongan negara itu.
"Kejohanan polo ini membuka satu peluang untuk mempamerkan kelakuannya
(gajah) yang cukup menyeronokkan, sifat semula jadi yang penuh daya
tarikan dan interaksi istimewanya dengan rakyat kami," katanya.
Presiden Cepa, Geoffrey Dobbs, berkata kejohanan akan diadakan ketika
cuaca lebih sejuk bagi memastikan gajah dapat bermain dalam pertandingan
itu dengan lebih baik.
Seperti ahli sukan, gajah yang menyertai polo dipilih secara khas dan
dilatih untuk bertanding dalam acara ini.
Tiga gajah dan tiga pemain akan membentuk sebuah pasukan bagi permainan
yang membabitkan dua sesi chukkas selama tujuh minit dengan jumlah masa
bermain 15 minit di antara jarak waktu pertengahan. Pasukan dan gembala
gajah bertukar setiap kali permainan tamat.
Selain digunakan dalam permainan polo, aktiviti lain yang menarik
mengenai gajah di Sri Lanka adalah perhimpunan lebih 300 gajah yang
berhijrah bagi mencari makanan, air dan tempat teduh di persisiran
Minneriya Tank, pada Ogos dan September setiap tahun.
Kumpulan gajah ini merantau di sekitar kepulauan itu dengan jarak
perjalanan lebih daripada 130 kilometer.
Sri Lanka juga memiliki Pusat Kebajikan Gajah Pinnawela yang memberikan
pelancong suatu peluang untuk mendekati haiwan itu. Pusat ini didirikan
Jabatan Haiwan Liar pada tahun 1972 bagi kebajikan dan pemeliharaan gajah
yang kehilangan induk.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home