| UMAT Islam merayakan Aidilfitri sempena kejayaan mengalahkan nafsu selama 30 hari dengan berpuasa manakala Aidiladha adalah bagi mengikis pesona terhadap harta dunia. Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah. Sebelum solat sunat Aidilfitri, umat Islam disunatkan makan sedikit dulu manakala pada Aidiladha, sunat dimakan selepas solat sunat raya. Pada Aidilfitri, sunat bertakbir apabila tenggelam matahari malam raya sehingga imam membaca khutbah Aidilfitri tetapi pada Aidiladha, sunat bertakbir dari 9 Zulhijjah hingga Asar 13 Zulhijjah. Bagi yang melakukan ibadat korban, mestilah melakukannya dengan ikhlas kerana Allah SWT dan bukan dengan niat untuk menunjuk kepada umum atau membandingkan dengan orang lain kononnya dia lebih berkemampuan. Bagi penerima daging korban pula, seharusnya mendoakan individu yang melakukan ibadat itu dan bersyukur. Kenangkan sejarah Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan nyawa anak sendiri demi menurut perintah Allah sedangkan kita hanya disuruh menyembelih binatang ternakan. "Allah SWT hanya meminta kita mengorbankan nyawa dan darah haiwan dan bukannya nyawa dan darah kita, jika itupun kita tidak dapat lakukan maka nyatalah iman kita masih lemah," demikian ulasan Pengurus Jabatan Syariah Takaful Malaysia, Mohd Fauzi Mustafa mengenai ibadat korban sempena Aidiladha. Beliau berkata, walaupun ibadat itu mensyaratkan penyembelihan atau mengorbankan haiwan, simbolik di sebaliknya adalah menilai sama ada manusia itu terlalu menyayangi harta duniawi atau sanggup mengetepikan kebendaan bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. "Walaupun ibadat ini dikategorikan sebagai sunat muakkad (sunat digalakkan), ia sebenarnya amat disukai Allah SWT dan amat digalakkan Rasulullah SAW. Akan tetapi hukumnya menjadi fardu kifayah jika semua ahli keluarga berkemampuan dan wajib bagi yang bernazar," katanya. Berbanding umat Islam terdahulu yang sanggup mengorbankan nyawa dan darah bagi mempertahankan atau membela Islam, masyarakat kini hanya diuji supaya mengeluarkan sedikit nikmat harta kurniaan Allah untuk 'dikorbankan'. "Banyak hiasan dunia yang bukan keperluan seperti aksesori kereta atau rumah yang sanggup kita berhabis belanja maka tiada alasan untuk kita mengeluarkan kos melakukan ibadat korban; kita boleh mengumpul RM25 sebulan dan setahun cukup RM300 untuk satu bahagian korban," katanya. Dalam menerapkan simbolik ibadat korban di dalam kehidupan, Fauzi berkata, umat Islam perlu mengorbankan jiwa dan harta untuk menegakkan syiar Islam tanpa rasa ragu sebaliknya harus yakin dengan ganjaran balasan syurga yang dijanjikan Allah. "Haiwan yang dipilih untuk dikorbankan haruslah yang terbaik kerana kita akan mempersembahkan korban itu kepada Allah; harus memilih binatang sihat dan tidak sah memilih binatang yang cacat sehingga mengurangkan daging dan makruh memilih haiwan cacat. "Ada hadis menyatakan bahawa mereka yang mengorbankan haiwan yang sihat dan hebat kepada Allah, haiwan itu akan menjadi tunggangannya ketika melintasi titian Sirat di akhirat iaitu pada masa orang lain melintasinya dengan merangkak atau mengesot," katanya. Fauzi berkata, umat Islam boleh mengambil banyak iktibar atau hikmah menerusi ibadat itu antaranya melatih diri supaya sentiasa bersyukur dan tidak menyayangi harta sehingga lupa kepada perintah Allah; mengikis sikap tamak, bakhil dan suka mengumpul harta sebaliknya bersifat belas dan prihatin terhadap golongan tidak berkemampuan. "Ibadat itu juga mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam yang bergotong-royong mengadakannya dan simbolik lain adalah di sebalik mengorbankan haiwan, kita juga harus mengorbankan sikap 'haiwan' atau sikap buruk dalam diri," katanya. Beliau bagaimanapun kesal kerana masih ramai umat Islam termasuk di negara ini yang sekadar merayakan Aidiladha sebagai hari untuk bercuti dan bergembira malah ada antara mereka yang tidak merayakan langsung. "Berbanding di negara Arab, di negara kita, ia masih kurang disambut terutama di kawasan bandar malah ada antara mereka yang melakukan ibadat itu sendiri tidak memahami tujuan ia diadakan. "Disebabkan itulah mereka membawa balik semua bahagian daging berkenaan. Walaupun bahagian daging itu boleh diberikan kepada tiga pihak iaitu mereka yang melakukan korban, keluarga mereka dan fakir miskin; seharusnya bahagian untuk fakir miskin dilebihkan berbanding dua bahagian lagi," katanya sambil menjelaskan bagi korban nazar, daging hanya boleh diberi kepada fakir dan ahli keluarga saja. Beliau berkata, individu yang mengadakan korban juga harus hadir dan melihat haiwan itu disembelih bagi menimbulkan keinsafan bahawa ajal boleh 'menjemput' manusia tanpa mengira masa. Mengenai sejarah ibadat korban, beliau menjelaskan bahawa ibadat itu pertama kali diadakan dua putera Nabi Adam AS iaitu Qabil yang menjadi petani dan adiknya Habil yang mengembala haiwan. Ketika diperintahkan Allah untuk berkorban, Qabil memberikan buah yang busuk manakala Habil mempersembahkan kambing yang sangat gemuk menyebabkan Allah kemudiannya menerima hadiah korban Habil seperti firman-Nya: "Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertaqwa," (Al-Maidah: 27). Ibadat korban yang kemudiannya disyariatkan sebagai ibadat sunat sempena Aidiladha pula berdasarkan kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan Allah supaya menyembelih puteranya iaitu Nabi Ismail AS. Kesanggupan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk akur kepada perintah Allah itu menyebabkan tempat Nabi Ismail kemudiannya digantikan Allah dengan seekor kibas ketika bapanya sedang menyembelihnya. "Ibadat ini juga diadakan ketika ibadat haji supaya jemaah haji berusaha mencapai haji mabrur dengan menghayati hikmah di sebalik ibadat itu," katanya. Satu lagi ibadat sunat korban selain sempena Aidiladha adalah aqiqah iaitu menyembelih haiwan sebagai tanda kesyukuran selepas sesuatu keluarga dikurniakan cahaya mata dengan nisbah satu bahagian korban bagi bayi perempuan dan dua bahagian jika bayi lelaki. Berbeza dengan ibadat korban Aidiladha, aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk dilakukan serentak dengan ibadat korban Aidiladha tetapi pada bahagian korban berasingan. "Perbezaan lain adalah daging aqiqah sunat dimasak terlebih dulu sebelum diagihkan; daging korban Aidiladha diagihkan kepada fakir miskin tetapi daging aqiqah boleh diagihkan kepada orang kaya juga sebagai hebahan keluarga berkenaan mendapat ahli baru. Hikmah aqiqah adalah sama seperti hikmah ibadat korban Aidiladha," ka FAKTA IBADAT KORBAN * Mengikut Mazhab Al-Syafie, korban disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta melebihi keperluan. * Haiwan korban adalah berkaki empat dan dikategorikan sebagai al-an'am seperti unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri. Haiwan itu mesti sihat dan tiada kurus. * Umur haiwan korban adalah lima tahun bagi unta; lembu, kerbau, kambing (dua tahun); biri-biri (setahun hingga dua tahun atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi enam bulan). * Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar dan haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan haiwan korban. Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya selain telinganya terbelah atau ditebuk. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home