Thursday, November 06, 2008

news merdeka ikut islam

Publication : BH

Edition :

Date : 24/08/2005

Page Number : 06

Headline : Erti merdeka ikut Islam

Words : 383

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Di sebalik kemerdekaan negara selama 48 tahun, ada penduduk
di negara ini terutama generasi muda yang masih belum memenuhi takrif
merdeka menurut Islam, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Beliau berharap pihak berkenaan menghayati semangat itu mengikut acuan
Islam bagi mengelakkan masyarakat terus terjajah minda oleh idealisme
asing yang menyusup menerusi satelit, internet dan media, tanpa disedari.
"Sehingga hari ini, kita melihat penjajahan minda masih dominan dalam
pemikiran anak muda sekarang. Tidak sayukah hati kita apabila melihat
anak muda berpeluk dan bercium dalam rancangan hiburan yang disiarkan
secara terus?" katanya sebelum merasmikan Seminar Islam Hadhari -
Kefahaman Mengenai Rakyat Berjiwa Merdeka, di sini, semalam.
Beliau berkata, kefahaman dan erti sebenar kemerdekaan itu diharap
dapat diperjelaskan menerusi seminar dua hari anjuran IKIM di Dewan Besar
IKIM, di sini, bermula semalam.
Ahmad Sarji berkata, kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila
seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada
penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin.
"Umat yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan
untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir
kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT
dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad
SAW," katanya.
Beliau berkata, erti sebenar kemerdekaan bagi generasi muda pada masa
kini semakin luntur serta tidak dihargai dan ia terbukti apabila
berlakunya pelbagai kes membabitkan golongan itu seperti buli dan samseng
selain lumba haram.
"Erti kemerdekaan berbeza bagi setiap orang, bagi golongan veteran yang
berjuang dengan darah dan air mata, ia sesuatu amat berharga apabila
dapat bebas daripada penjajah tapi bagi golongan muda, mereka menganggap
ia sebagai hari cuti umum," katanya.
Selain itu, Ahmad Sarji berharap semua pihak mempertahankan kemerdekaan
negara daripada anasir jajahan kuasa besar seperti menerusi tekanan
ekonomi yang terselindung di sebalik bantuan kewangan sehingga
menyebabkan beberapa negara kini bergantung harap kepada pihak terbabit.
"Penjajahan pada masa sekarang datang dalam pelbagai warna, bentuk dan
saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata.
"Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit
dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk
mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial
kita," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home