Thursday, November 06, 2008

lee lam thye

Publication : BM

Edition :

Date : 04/12/2005

Page Number : 04

Headline : Lam Thye jadikan isteri sebagai setiausaha di rumah

Words : 1281

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


SAYA bertuah kerana mendapat keluarga yang memahami jiwa dan kerjaya
saya, malah berbangga kerana isteri saya menjadi pendorong setia, sekali
gus sebagai setiausaha peribadi saya.
"Saya selalu berbisik ke telinganya sambil mengucapkan terima kasih
kerana membantu memberi kekuatan dan keyakinan diri untuk terus
menghadapi cabaran," kata aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau yang menyambut ulang tahun ke-59, akhir bulan ini mengaku
sentiasa sibuk dengan tugas kemasyarakatan menyebabkan beliau terpaksa
membahagi masa antara kerjaya dan keluarga sebaik mungkin.
Walaupun bijak mengatur masa antara keluarga dan kerjaya, ada ketikanya
janji bersama keluarga tidak dapat dipatuhi sepenuhnya kerana sebagai
aktivis masyarakat yang memimpin lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan
(NGO), jika beliau tidak menemui orang ramai, orang ramai datang ke
rumahnya.
"Setiap hari ada banyak panggilan telefon, surat atau orang tertentu
datang ke rumah untuk mengadu masalah dan meminta bantuan. Ada yang
datang meminta pertolongan saya kerana anak mereka ditahan polis dan
pelbagai lagi.
"Maklum balas saya adalah jika saya boleh tolong, saya akan tolong tapi
alasan yang diberikan itu mestilah munasabah," katanya yang kagum dengan
ketabahan dan kesabaran isterinya, Puan Sri Mary Lee, 58.
Lee kini tinggal bersama isterinya dan anak sulungnya Raymond, 30
manakala seorang lagi anak beliau, Eugene, 28, menuntut di London School
Of Economic, United Kingdom mengikuti pengajian dalam bidang aktuari.
"Walaupun seorang anak kami tinggal di luar negara, kami sentiasa
berhubung melalui telefon pada setiap minggu dan jika saya tidak telefon,
isteri saya akan menelefon dia," katanya.
Lee mula mengenali isteri yang seusia dengannya itu ketika beliau masih
aktif dalam arena politik pada awal 1970-an.
Ketika itu, beliau sudah dianggap antara penggerak parti DAP dan sudah
menjadi Ahli Parlimen Kuala Lumpur Bandar. Keaktifannya dalam pelbagai
program parti menemukannya dengan isterinya yang menjadi setiausaha
peribadi kepada Setiausaha Agung DAP ketika itu, Goh Hock Guan.
Kekerapan bertemu dalam pelbagai program anjuran parti akhirnya
membuahkan bibit-bibit cinta antara mereka hinggalah membawa kepada
gerbang perkahwinan pada 1976.
Selain beliau, isteri dan anak-anaknya tidak mengikut jejak langkah Lee
membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan ataupun politik walaupun
beliau pernah cuba menerapkan kegiatan itu ketika dua anak lelakinya itu
masih kecil.
"Isteri saya kini tidak lagi terbabit dalam politik dan menjadi suri
rumah sepenuh masa tetapi beliau juga setiausaha peribadi saya di rumah
untuk melayan panggilan telefon, surat dan kehadiran tetamu," katanya.
Mengimbas sejarah kehidupannya, Lee menjelaskan keperitan hidup
keluarganya ketika kecil melatih beliau menjadi seorang yang bertimbang
rasa, sensitif terhadap kesusahan orang lain dan sentiasa menghulurkan
bantuan selagi mampu.
"Saya menyertai banyak aktiviti kemasyarakatan kerana ia adalah saluran
untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat dan pendekatan ini lebih
dekat dengan hati saya sebagai seorang yang mudah bersimpati kepada
masyarakat yang kurang bernasib baik," katanya.
Beliau yang dilahirkan di Menglembu, Ipoh, Perak adalah anak bongsu dan
hanya memiliki seorang kakak. Bapanya membuka kedai besi dengan
pendapatan kira-kira RM200 sebulan manakala ibunya mengambil upah
membasuh baju bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga.
Mereka turut menanam sayuran dan buah-buahan di sekeliling rumah untuk
kegunaan sendiri dan jika hasil yang diperoleh berlebihan, sayur dan
buah-buahan itu akan dijual di pasar berhampiran.
"Saya masih ingat ketika kecil saya akan berbasikal membawa bakul
berisi baju yang sudah siap dicuci ibu untuk dihantar kepada pelanggan,
ini hakikat kehidupan yang menyebabkan saya memahami erti kemiskinan dan
keperitan hidup selain pengalaman dan disiplin kepada saya.
"Ia menyedarkan saya bahawa tidak semua keluarga berkemampuan, ada yang
kaya tapi ada juga yang hidup miskin dan keadaan ini membayangkan realiti
kehidupan di Malaysia," katanya.
Akibat kesempitan hidup, Lee tidak menyambung pelajarannya sebaik
menamatkan persekolahan dengan kelulusan Sijil Pelajaran Persekutuan
Tanah Melayu dari Saint Micheal's Institution pada 1962 sebaliknya
bekerja di syarikat swasta.
Sebagai bekas ahli politik dari parti pembangkang, Lee dilihat sebagai
tokoh yang paling menonjol dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan selepas
mengambil keputusan bersara daripada arena politik pada 1990.
Lee menjelaskan, politik hanyalah saluran untuk beliau mencapai
hasratnya membantu golongan yang kurang bernasib baik. Walaupun sudah
meninggalkan politik, minat itu diteruskan menerusi pelbagai pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain.
Beliau pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Ahli Dewan
Undangan negeri (Adun) termuda ketika itu iaitu pada usia 22 tahun
selepas memenangi kerusi Bukit Nanas, Selangor dengan majoriti 8,685 undi
pada Mei 1969.
"Saya minat politik sejak tingkatan tiga dan sering mengikuti
perkembangan politik semasa. Ketika mula bertanding dalam pilihan raya,
saya akui belum cukup pengalaman tetapi yang menguntungkan adalah saya
ada semangat untuk berkhidmat dan berjuang untuk negara.
"Saya tunjukkan komitmen kepada perjuangan dan untuk menjadi wakil
rakyat berjaya, mesti ada komitmen, keprihatinan dan sentiasa peka kepada
hasrat rakyat dan berkorban untuknya.
"Ketika menjadi Adun, saya mengamalkan pendekatan bina talian
persahabatan dengan tokoh masyarakat dan kakitangan kerajaan untuk
mendapatkan kerjasama, pendekatan ini unik kerana saya fokuskan strategi
mencari kawan dan bukan musuh," katanya.
Pembabitan awal beliau dalam politik bermula ketika menjadi Setiausaha
Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perdagangan (NUCW) pada 1968 dan
ketika itu, beliau bertemu penasihat NUCW yang juga ahli parti PAP ketika
itu, CV Devan Nair. Devan juga adalah Presiden Singapura ketiga.
Apabila Singapura berpisah dengan Malaysia, Presiden PAP ketika itu,
Lee Kuan Yew, berpindah ke Singapura dan menyerahkan kepada Devan untuk
membentuk DAP dan beliau mula menawarkan Lee menyertai politik dan
bertanding dalam pilihan raya. Selepas hampir 30 tahun berada dalam
politik, Lee mengambil keputusan untuk bersara.
"Ketika itu, kami tidak dapat bergerak sebagai satu pasukan lagi
menyebabkan saya keluar dari parti, saya tidak mahu politik hanya
memburukkan orang lain dan bergaduh disebabkan pandangan dan pendekatan
berbeza," katanya.
Dalam kegiatan kemasyarakatan, tokoh itu boleh diiktiraf sebagai antara
aktivis sosial yang paling banyak memegang jawatan dalam pelbagai
pertubuhan sepanjang kehidupannya.
Jumlah pertubuhan atau organisasi yang disertainya dipercayai lebih 50
nama meliputi pelbagai aspek kemasyarakatan termasuk kebajikan,
masyarakat, pembasmian dadah dan jenayah, politik, sektor swasta dan
kerajaan selain pembangunan negara.
Menjelaskan mengenai pembabitannya dalam terlalu banyak organisasi
dalam satu masa, Lee berkata, kebanyakannya adalah pelantikan daripada
pihak kerajaan dan sebagai saluran untuk beliau menyumbang kepada
masyarakat.
"Saya berpendapat selagi masih sihat dan mampu menyertai aktiviti, saya
akan terus berkhidmat sebagai kesinambungan perkhidmatan saya kepada
negara," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, sejak lima tahun lalu, beliau terpaksa
bersikap memilih untuk menyertai organisasi atau pertubuhan yang
ditawarkan selain mengundur daripada beberapa organisasi yang disertainya
bagi membolehkan beliau menguruskan masa dengan lebih cekap.
Lee turut dikenali kerana kefasihan bertutur dalam Bahasa Melayu dan
ketika ditanya mengenai hal itu, beliau menjelaskan bahawa dia membaca
akhbar dan majalah setiap hari dan apabila menemui perkataan yang tidak
difahami, beliau akan terus merujuk kamus.
"Saya tidak begitu fasih dalam Bahasa Melayu ketika bersekolah tetapi
hasrat mendalami kaedah bertutur dengan betul timbul sekitar 1980-an
apabila semua Ahli Parlimen dikehendaki menggunakan bahasa Melayu untuk
berhujah di dalam Parlimen," katanya.
Lee berkata, beliau memiliki cita-cita sejak kecil untuk berjaya dan
berusaha mencapainya dengan sentiasa bersemangat dan bersedia untuk
memajukan diri, melakukan pengorbanan berdasarkan kesedaran dan keinsafan
diri.
FAKTA MENARIK
TAN SRI LEE LAM THYE
* Berbasikal membawa bakul berisi baju yang dicuci ibu untuk dihantar
kepada pelanggan.
* Menjadi Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) termuda (usia 22 tahun)
pada pilihan raya tahun 1969
* Menyertai lebih 50 pertubuhan kemasyarakatan sebagai pengerusi, ahli
jawatankuasa dan ahli biasa.
* Berkecimpung hampir 30 tahun dalam politik sebelum bersara.
PROFIL
TAN SRI LEE LAM THYE
* Lahir : 30 Disember 1946
* Asal : Menglembu, Ipoh, Perak
* Isteri : Puan Sri Mary Lee
* Anak : Raymond, 30 dan Eugene, 28
* Pendidikan: Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dari Saint
Micheal's Institution pada 1962.
Antara jawatan terkini
* Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.
* Pengerusi Institut Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Malaysia (NIOSH).
* Pengerusi Yayasan SP Setia, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah
Malaysia.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home