Monday, September 18, 2006

frank abagnale jr

nasron15

Jejak

Oleh Nasron Sira Rahim

MENELITI sejarah kehidupan Frank William Abagnale Jr, tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah antara penyamar dan penipu yang paling licik dalam sejarah jenayah dunia.
Malah kegiatannya itu dilakukan ketika usianya masih belum mencecah 21 tahun dan kelicikan Abagnale menyebabkan namanya tercatat sebagai penjenayah kolar putih paling dikehendaki di 26 negara, sekitar 1960-an.
Modus operandi warga Amerika Syarikat itu mudah - sekadar bijak memanipulasi psikologi manusia menerusi penampilannya yang meyakinkan dan mengenal pasti kelemahan kecil dalam sesuatu sistem kewangan.
Walaupun kegiatan lelaki itu akhirnya terbongkar dan dia ditangkap, cerita kehidupan Abagnale tidak tamat di ruang kecil sel penjara dan dia dikenali sebagai penjenayah. Sebaliknya, kebijaksanaan lelaki itu menyebabkan dia kini bergelar jutawan menerusi kegiatan yang sah di sisi undang-undang.
Kemasyhuran beliau juga menyebabkan pengarah filem Hollywood terkenal, Steven Spielberg mengabadikan kisah kehidupannya menerusi filem ‘Catch Me If You Can’ yang ditayangkan pada 2002.
Abagnale yang dilahirkan pada 27 April 1948 menjalankan kegiatan haramnya selama kira-kira lima tahun dan semua episod kehidupannya itu bermula apabila dia keluar dari rumahnya untuk hidup berdikari di kota New York sekitar 1964.
Ketika itu dia masih seorang remaja mentah dan tindakannya untuk keluar dari rumah diputuskan selepas ibu bapanya bercerai pada 1964. Nyata perceraian ibu bapanya memberi impak besar dalam kehidupannya ketika itu.
Tinggal bersendirian di kota New York, dia dikenali sebagai ‘Big Nale’ atau ‘Big’ saja. Dalam kesukaran untuk meneruskan hidup pada usia remaja, beliau kemudian memutuskan untuk menipu bagi membolehkannya mendapatkan pekerjaan.
Penipuan pertamanya adalah mengubah maklumat lesen memandunya supaya usianya kelihatan 10 tahun lebih tua bagi mendapatkan pekerjaan. Bermula daripada itu, dia mula mengintai peluang untuk menipu.
Kelicikan lelaki itu menyebabkan aktivitinya berjaya dilakukan tanpa dicurigai malah selama lima tahun, beliau menyamar menggunakan lapan identiti tanpa dapat dikesan. Menggunakan cek palsu, beliau memperoleh sekitar USD$2.5 juta di 26 negara dan sumber kewangan itu digunakannya untuk hidup mewah selain sebagai kos penipuan seterusnya.
Abagnale akhirnya memutuskan untuk meninggalkan segala aktivitinya selepas bertunang dengan seorang pramugari yang dikenali sebagai Rosalie. Rosalie yang mengetahui aktiviti masa lampau Abagnale, berjanji tidak akan membongkarkan kegiatan tunangnya.
Bagaimanapun, pada suatu hari, ketika Abagnale pulang ke rumah, beliau mendapati rumahnya dikepung polis dan beliau percaya bahawa tunangnya itu mengkhianati dirinya dan dia melarikan diri.
Abagnale akhirnya ditahan di Perancis pada 1969 apabila seorang kakitangan Air France mengenali wajahnya daripada poster penjenayah yang dikehendaki. Apabila pihak berkuasa Perancis menahannya; semua 26 negara yang ditipunya mahukan lelaki itu diserahkan kepada mereka.
Beliau menjalani hukuman pertama selama enam bulan di penjara Perpignan's House sebelum diserahkan kepada Sweden dan dihukum setahun di penjara Malmo di negara itu kerana penipuan. Selepas itu, dia dipindahkan ke Amerika dan dihukum penjara 12 tahun.
Pada 1974, Kerajaan Amerika melepaskan tanpa bebas Abagnale dari penjara dengan syarat dia dikehendaki membantu pihak berkuasa menangani aktiviti penipuan. Selepas dilepaskan dari penjara, Abagnale mencuba beberapa pekerjaan tetapi mendapati ia tidak memuaskan hatinya.
Beliau kemudian menceritakan kegiatan lampaunya kepada pihak bank dan menawarkan kepada mereka untuk memberi ceramah mengenai kaedah yang digunakan penjenayah dalam penipuan kewangan.
Abagnale memberi dengan syarat - jika pihak bank mendapati ceramahnya tidak berguna, mereka tidak berhutang apa-apa kepadanya tetapi jika sebaliknya, pihak bank perlu membayarnya USD$50 dan menyebarkan namanya kepada bank lain.
Pihak bank yang mendengar ceramahnya berasa takjub dengan kemampuannya dan bermula dari situlah, dia memulakan tugasnya yang sah sebagai perunding dan menubuhkan syarikat Abagnale & Associates.
Menerusi syarikat itu, beliau mengadakan ceramah bergerak dan memberi nasihat mengenai penipuan kewangan. Menerusi kegiatan barunya yang sah di sisi undang-undang itu, Abagnale kini adalah seorang jutawan.

Antara penipuan dan penyamaran yang dilakukannya adalah:

* Penipuan bank
Jenayah penipuan pertama yang dilakukannya adalah menulis cek menggunakan akaun banknya yang sudah tiada baki malah terlebih mengeluarkan wang. Beliau mendapati penipuan itu mampu dilakukan apabila Abagnale terpaksa menulis cek melebihi nilai akaun bank dan cek itu diluluskan.
Bagaimanapun, tindakan itu berkesan pada tempoh tertentu saja sebelum pihak bank meminta kembali bayaran yang terlebih bayar kepadanya. Apabila berlakunya keadaan itu, beliau membuka akaun di bank lain pula dengan menggunakan identiti berbeza bagi meneruskan kegiatannya.
Melewati masa, beliau menjalankan eksperimen dan menemui pelbagai kaedah untuk menipu bank seperti mencetak sendiri salinan cek yang menyerupai cek asal dikeluarkan pihak bank.
Satu teknik terkenal digunakan Abagnale adalah mencetak nombor akaun banknya pada slip deposit kosong dan menyusunnya bersama salinan slip asal dikeluarkan bank. Ini bermakna apabila pelanggan bank menggunakan slip berkenaan untuk menyimpan wang, wang pelanggan berkenaan akan masuk ke dalam akaun Abagnale. Beliau berjaya mengutip USD$40,000 menggunakan kaedah penipuan itu sebelum taktik berkenaan terbongkar.


* Mendapatkan penerbangan percuma
Selama tempoh dua tahun, Abagnale menyamar sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan dengan nama ‘Frank Williams’ bagi mendapatkan penerbangan percuma ke seluruh dunia.
Beliau memanipulasikan syarat bahawa juruterbang akan mendapat tiket penerbangan percuma apabila diberi notis penerbangan segera oleh syarikat mereka.
Abagnale memalsukan kad pekerjaan syarikat penerbangan berkenaan dan memperoleh sijil kelayakan juruterbang dengan membeli plak cenderahati syarikat penerbangan itu, meniru dan mengecilkan saiz plak itu kepada saiz kad pekerjaan.
Beliau juga memperoleh pakaian seragam juruterbang syarikat itu dengan menyamar sebagai juruterbang yang kehilangan pakaian seragamnya dan ingin mendapatkan pakaian baru daripada syarikat terbabit.


* Menyamar sebagai doktor
Penyamaran Abagnale seterusnya adalah sebagai doktor di sebuah hospital dengan menggunakan nama sama iaitu ‘Frank Williams’. Selepas berkawan dengan doktor sebenar dan berjaya mengaburi doktor berkenaan menerusi penampilannya, beliau dilantik sebagai penyelia sementara di hospital berkenaan sehingga pihak hospital memperoleh penggantinya.
Bagaimanapun, sebagai individu yang tidak pernah terlatih dalam bidang perubatan, beliau hampir dipecat apabila nyaris membiarkan seorang bayi mati kerana tidak mendapat cukup oksigen. Ia berlaku apabila Abagnale tidak memahami penjelasan jururawat bahawa bayi terbabit menjadi ‘biru’.
Dalam kebanyakan kes, Abagnale terselamat daripada menjalankan tugas berkaitan perubatan dengan membiarkan tugas itu termasuk kes kecemasan diuruskan doktor pelatih. Selepas 11 bulan, dia meninggalkan pekerjaan itu selepas pihak hospital menjumpai penggantinya.

* Menyamar sebagai pegawai pendakwa raya
Beliau juga pernah memalsukan sijil ijazah daripada Universiti Harvard dalam bidang perundangan seterusnya memperoleh pekerjaan di pejabat pendakwa raya Louisiana. Beliau juga mendakwa lulus peperiksaan undang-undang kerana syarat peperiksaan di Louisiana ketika itu membenarkan seseorang mengambil ujian itu berkali-kali.
Walaupun gagal pada ujian kali pertama, Abagnale berjaya pada ujian ketiga dan dia ditawarkan jawatan itu. Dengan pendapatan tahunan sekitar USD$13,000, beliau menyatakan dalam biografi dirinya bahawa dia sekadar melakukan tugas yang mudah seperti menyediakan kopi kepada ketuanya sepanjang menjawat jawatan itu.
Beliau berhenti daripada pekerjaan itu apabila mendapati ada bekas penuntut Universiti Harvard yang turut bekerja bersamanya dan khuatir kemungkinan tembelangnya terbongkar.


* Menyamar sebagai tenaga pengajar
Abagnale juga dikatakan pernah memalsukan sijil ijazah dari Universiti Columbia dan menjadi pembantu pengajar di Universiti Brigham Young University selama satu semester dengan mengajar subjek sosiologi. Universiti itu bagaimanapun menafikan dakwaan itu.


tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home