Thursday, August 24, 2006

Tasik Laoye Miao

nasron7

Misteri - danau Laoye Miao

Susunan Nasron Sira Rahim


APAKAH yang sebenarnya terdapat di dalam tasik Laoye Miao yang terletak di perairan Ponyang, China? Sehingga kini jawapan kepada persoalan itu masih menjadi misteri walaupun sudah ramai yang ghaib di kawasan berkenaan.
Tasik itu terletak di sebuah daerah pergunungan Luo Xing, Jiangxi yang dikatakan berada di posisi sama dengan pergunungan terkenal Bermuda iaitu garis lintang Utara 32 darjah, 48 minit dan misterinya sama seperti Segi Tiga Bermuda yang turut mencatat misteri kehilangan kapal dan kapal terbang yang melaluinya.
Permulaan kisah pelik dan misteri itu berlaku sekitar 1945 iaitu penghujung Perang Dunia Kedua apabila sebuah kapal pengangkut Jepun yang memuatkan kira-kira 200 askar selain kaligrafi dan lukisan antik selain emas, permata dan mutiara berlayar di tasik itu.
Diceritakan, ketika mula berlayar, cuaca adalah cerah dan berangin lembut. Bagaimanapun secara tiba-tiba saja permukaan air mula bergelora dan ombak besar terjadi sehingga menjulang tinggi di angkasa.
Kabus mula menyelimuti kawasan persekitaran serta hujan turun mencurah-curah dan selepas kira-kira lima jam, akhirnya tanpa sebab yang jelas kapal itu patah, tenggelam ke dalam air dan hilang di permukaan tasik. Seterusnya cuaca kembali tenang dan cerah bagaikan tiada apa yang berlaku.
Menyedari kehilangan kapal mereka, angkatan laut Jepun yang berpangkalan di Jiu Jiang, segera menghantar pasukan penyelam terbaik mereka ke lokasi itu untuk memeriksa dan merungkai peristiwa aneh berkenaan.
Kira-kira lapan penyelam kemudiannya turun untuk menyelidik keadaan di dalam tasik yang hanya memiliki kedalaman sekitar 30 meter itu. Bagaimanapun, sebaik menyelam, tiada seorang pun daripada kumpulan itu yang muncul di permukaan air untuk satu tempoh lama.
Sehinggalah hari menjelang malam, seorang saja penyelam muncul di permukaan air tetapi keadaannya amat menghairankan - mukanya pucat, hilang kesedaran diri dan kelihatan kebingungan seolah-olah dipukau sehingga apabila ditanya soalan kepadanya, penyelam itu hanya terdiam saja.
Kira-kira setahun selepas itu, khidmat seorang pencari dan penyelam terkemuka dari Amerika Syarikat digunakan untuk menjejaki dan mengeluarkan kapal Jepun yang tenggelam di kawasan itu.
Bagaimanapun, selepas berbulan lamanya dan menghabiskan jutaan dolar bagi operasi itu, tiada sebarang hasil diperoleh pasukan itu malah seperti pasukan penyelam pertama, beberapa penyelam juga turut ghaib.
Pakar Amerika dan kumpulannya itu kemudiannya hanya mendiamkan diri daripada menceritakan peristiwa sebenar yang berlaku selama operasi mencari diadakan sehingga menyebabkan beberapa rakan mereka ghaib.
Misteri yang menyelubungi pasukan pencari itu mengambil masa selama 40 tahun untuk dirungkai. Ia hanya diketahui umum selepas pakar berkenaan menceritakan mengenai ekspedisi itu dalam jurnal memoir keluaran The United Nations Environment Report.
Beliau menceritakan bahawa selepas pasukannya mencari di bawah air sepanjang satu kilometer, mereka terlihat satu cahaya yang menyilaukan pandangan yang turut disertai bunyi yang kuat.
Mereka merasakan seolah-olah kawasan di dalam air itu mula bergoyang bagaikan gempa manakala pendengaran mereka mula dihujani bunyi yang bingit. Sebelum pakar itu dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku, tubuhnya ditarik ke dalam pusaran air sehingga dia merasa pening dan mula kehilangan fungsi derianya.
Tiba-tiba bahagian pinggangnya dihentak sesuatu yang menyebabkan dia kembali sedar dan segera dia memaut terumbu karang berhampiran bagi mengelakkannya daripada terus ditarik ke dalam pusaran air itu.
Ketika berpaut pada terumbu karang itu, pakar berkenaan melihat satu cahaya putih yang panjang berlegar di dasar tasik manakala beberapa rakan penyelam disedut masuk ke dalam pusaran air itu. Operasi mencari kemudiannya tidak menemui mayat penyelam yang hilang.
Kejadian aneh itu berterusan lagi pada 1980-an apabila sepasukan penyelam lain sekali lagi menjalankan kajian di tasik itu tetapi tidak menemui jawapan kepada teka-teki yang menyelubungi tasik itu.
Pada hari terakhir, seorang penyelam yang tidak berpuas hati dengan kajian mereka yang tidak menemui sebarang aktiviti aneh, memutuskan untuk menyelam keseorangan. Hasilnya, sebaik menyelam ke dalam tasik itu, dia turut ghaib.
Keesokan harinya, mayat penyelam yang keseorangan itu ditemui di Tasik ‘Changba Shan’ yang terletak kira-kira 15 kilometer dari tasik Laoye Miao.
Malah, yang lebih menghairankan adalah tasik Changba Shan yang seluas kira-kira 20 kilometer persegi itu adalah tasik yang dikelilingi gunung dan tidak ada saluran yang menghubungkannya dengan tasik Laoye Miao yang memiliki altitud 12 meter lebih rendah.
Lalu timbul persoalan dan misteri mengenai kejadian itu dan ke manakah menghilangnya penyelam dan kapal berkenaan? Jelasnya masih banyak misteri yang tak terungkap di dunia ini.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home