Friday, August 18, 2006

misteri marikh

Misteri - Planet Marikh

FAKTA
Marikh
-78.3 juta kilometer jarak dari Bumi
-Komposisi atmosfera Marikh adalah 95% karbon dioksida, 3% nitrogen, 1.6% argon, dengan sedikit saja oksigen dan lain-lain gas.
-Memiliki kutub air beku dan karbon dioksida manakala kawasan lain adalah gurun di utara yang diratakan oleh lahar yang berbeza dan tanah tinggi dipenuhi kawah di selatan.
-Gunung Olympus iaitu antara gunung berapi yang tidak aktif di Marikh mencapai ketinggian 27 kilometer.

Susunan Nasron Sira Rahim

SEORANG teman pernah bertanya: “Kau bayangkan dalam galaksi yang luasnya tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi ini, mungkinkah hanya manusia saja yang menghuni di dalamnya dan hanya di Bumi saja ada hidupan?”
Pertanyaan itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai misteri besar yang masih belum dapat dirungkai sehingga kini - mungkinkah di planet lain di alam semesta ini juga terdapat hidupan atau makhluk pintar yang turut membina tamadun seperti manusia?
Kita juga mungkin tertanya-tanya adakah hidupan di planet lain itu menyerupai hidupan di Bumi atau mungkinkah terdapat planet lain yang mirip Bumi dan sesuai untuk dihuni manusia?
Jawapan kepada enigma ini mungkin mampu menyelesaikan beberapa rahsia sekali gus lantaran ia berkait langsung dengan beberapa misteri lain yang tertera dalam sejarah dunia antaranya UFO dan makhluk asing yang dikatakan sering ‘melawat’ Bumi.
Bagaimanapun, betapa manusia begitu teruja sekali untuk memiliki jawapan kepada persoalan ini, usaha ke arah itu dikatakan masih di peringkat awal dan sukar dijalankan kerana ia memerlukan teknologi dan pengurusan logistik yang belum dicapai manusia.
Faktor yang penting bagi menyelesaikan rahsia ini adalah persoalan jarak dan pengangkutan untuk meneroka planet lain kerana untuk bergerak dari Bumi ke planet lain, ia memerlukan masa yang lama mencapai puluhan tahun selain pembinaan kapal angkasa yang hebat.
Justeru, usaha untuk menjawab persoalan misteri itu masih di peringkat awal dan manusia hanya mampu berimiginasi menerusi penghasilan filem dan karya kreatif mengenai rupa dan kewujudan makhluk asing di planet lain.
Sehingga kini, usaha manusia meneroka angkasa memperlihatkan kapal angkasa sudah dibina dan bulan dikatakan sudah dijejaki. Usaha terbaru ketika ini adalah untuk menjejaki planet Marikh iaitu planet yang berjiran dengan Bumi.
Usaha membongkar rahsia planet merah itu sudah dijalankan sejak 2500 tahun lalu dan pada peringkat awal, kajian dilakukan menggunakan pengamatan terhadap kedudukan planet itu. Ahli astronomi kemudiannya melangkah setapak ke hadapan apabila teleskop dicipta bagi menggantikan pengamatan mata seterusnya kapal angkasa atau satelit dihantar meninjau planet itu.
Marikh mula mendapat perhatian ramai pada lewat 1870-an apabila pengkaji astronomi Itali, Giovanni Schiapaerlli melaporkan pemerhatiannya menerusi teleskop mendapati terdapat seolah-olah terusan di planet itu.
Seterusnya seorang ahli perniagaan Amerika, Percival Lowell yang meminati astronomi dan turut menjalankan pemerhatian terhadap Marikh mengemukakan teori bahawa terusan itu mungkin dibina peradaban makhluk di planet itu sehingga mencetuskan kepercayaan bahawa terdapat hidupan pintar seperti manusia di Marikh.
Bagaimanapun, teori Lowell itu kini disangkal dan terusan itu dikatakan terjadi akibat pergerakan air pada zaman dulu kala di planet itu. Teori baru itu kini menimbulkan persoalan baru kepada saintis mengenai kemungkinan terdapat air di Marikh.
Baru-baru ini, pesawat peninjau milik Pengurusan Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) menemui bukti yang batu di permukaan planet merah itu pernah mengalami perubahan akibat ditakungi air dan memungkinkan adanya hidupan.
Batu mineral sulfat berkenaan yang dikaji robot yang ditempatkan di planet itu berkemungkinan terbentuk daripada air atau terendam di dalam air berasid atau air panas selepas terbentuk.
Misteri yang paling popular di kalangan manusia mengenai planet keempat dalam sistem suria itu muncul apabila satelit ‘The Viking Orbiter 1’ milik Nasa merakamkan gambar seolah-olah binaan bangunan selain rupa menyamai wajah manusia di permukaan planet itu.
Gambar yang dirakam dari udara pada Julai 1976 di kawasan digelar ‘Cydonia’ itu menunjukkan seolah-olah terbentuk dua mata, hidung dan mulut satu kawasan selain gambar bangunan seakan-akan piramid yang ditemui tidak jauh dari gambar wajah itu pula menyerupai bentuk piramid di Bumi.
Sebaik penemuan itu tersebar di kalangan penduduk, ia menjadi topik perbincangan hangat hingga timbul pelbagai desas-desus bahawa raut wajah manusia dan piramid itu menunjukkan bahawa pernah wujud hidupan bertamadun dan kota di Marikh.
Wujud juga teori bahawa teknologi membina piramid di Bumi sebenarnya diperoleh dari ‘makhluk’ Marikh dengan logikal bahawa rekaan piramid yang unik malah disusun tinggi menggunakan batu yang amat berat pasti tidak dapat dibina dengan kemampuan umat zaman dulu yang masih belum memiliki teknologi canggih.
Tambahan pula, piramid Sphinx di Mesir yang turut diukir kepala manusia dikatakan menyamai konsep wajah manusia yang dijumpai tidak jauh dari piramid di Cydonia.
Bagaimanapun, selain masyarakat biasa, penyelidik masih bersikap skeptikal terhadap penemuan itu. Selepas 20 tahun iaitu pada April 1998, mereka sekali lagi cuba mengambil gambar di kawasan Cydonia bagaimanapun tiada lagi gambar menyerupai wajah manusia yang dirakamkan.
Timbul pula andaian bahawa faktor cuaca menghalang gambar itu daripada dirakam kerana awan menutupi gambar wajah itu sehingga tidak dapat dirakam ketika proses itu cuba dilakukan.
Justeru pada April 2001, ketika cuaca cerah dan tidak berawan, sekali lagi gambar di kawasan itu cuba dirakam dan dengan bantuan teknologi rakaman lebih canggih yang dicapai selepas 25 tahun daripada gambar pertama dirakam.
Hasilnya, rupa wajah manusia itu tidak lebih daripada bentuk gunung datar yang biasa saja dan gambar yang merakamkan wajah manusia itu dianggap sebagai ‘salah faham’ akibat faktor tertentu.
Penjelasan yang menyangkal gambar wajah manusia itu mengatakan bahawa ia berlaku akibat tindak balas cahaya ketika gambar itu diambil dan ia adalah fenomena biasa dalam kehidupan, sama seperti teori kejadian awan yang boleh menyerupai pelbagai bentuk termasuk bentuk manusia.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home