Wednesday, August 23, 2006

bomoh jin

nasron3

Misteri - perbomohan

Oleh Nasron Sira Rahim

SEORANG lelaki menemui doktor selepas tidak tahan lagi menanggung kesengsaraan dan kesakitan di beberapa bahagian tubuh. Dia menyangka kemungkinan diserang penyakit tertentu apabila secara tiba-tiba saja dirinya mengalami kesakitan.
Secara tiba-tiba! Semalam dia masih sihat tetapi hari ini tubuhnya bagaikan dicucuk sembilu. Bagaimanapun, sebaik menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan bahawa keadaan kesihatannya adalah stabil.
Justeru, apakah misteri di sebalik kesakitan dan kesengsaraan yang dialami lelaki itu jika doktor mengesahkan dirinya sihat?
Pengamal Perubatan Islam dari Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darus Syifa), Mohd Fauzi Mustaffa, berkata antara kemampuan jin adalah untuk mendatangkan kecederaan kepada manusia menerusi kaedah ghaib yang tidak disangka manusia.
“Kaedah ini dinamakan santau dan ia adalah sihir kerana membabitkan pertolongan jin. Selain santau, terdapat juga masalah kesihatan disebabkan gangguan jin yang berada dalam tubuh,” katanya yang juga Pengurus Jabatan Syariah Takaful Malaysia dan penceramah agama.
Beliau berkata, kaedah santau dan gangguan jin dilakukan dalam pelbagai cara sejak zaman nabi sehinggalah sekarang dan ia berlaku menerusi alam ghaib yang tidak dapat dikesan dan dijangka manusia.
Antaranya, dalam perbuatan santau, jin digunakan untuk memasukkan benda fizikal seperti kaca atau miang buluh ke dalam tubuh seseorang menggunakan angin padahal jika difikirkan logik, ia sukar dilakukan.
“Malah dalam kisah Nabi Ayub AS, iblis dan syaitan (jin kafir) menyebabkan tubuh badan Nabi Ayub cedera dengan teruk malah perkara seperti itu masih berlaku dalam kes santau dan gangguan jin sehingga kini,” katanya.
Katanya, selain akibat kesakitan, gangguan jin juga boleh mengganggu psikologi seseorang seperti tidak dapat tidur malam atau tidak berselera untuk makan. Gangguan jin juga boleh menyebabkan sesuatu pasangan itu gagal memperoleh anak walaupun sudah lama berkahwin kerana terdapat jin yang memakan telur si isteri.
Selain mendatangkan kecederaan menggunakan jin, terdapat juga bomoh yang menggunakan khidmat makhluk itu untuk memulihkan gangguan bersifat ghaib yang mungkin disebabkan oleh jin juga.
“Ada hadis mengatakan kufur bagi seseorang meminta tolong daripada bomoh yang mengamalkan perantaraan jin malah dikhuatiri syirik apabila timbul tanggapan bahawa jin itulah yang memiliki kekuatan menyembuh.
“Jika berubat dengan bomoh yang menggunakan perantaraan jin, ia mungkin sembuh secara sementara iaitu selagi kemahuan jin itu diikuti dan apabila tidak diikuti, penyakit datang balik,” katanya.
Berbanding berubat dengan bomoh yang menggunakan bantuan jin, kaedah perubatan Islam menggabungkan tiga unsur iaitu individu yang merawat harus memiliki kekuatan rohani yang kuat menerusi iman dan amal ibadat; doa yang serasi dengan penyakit serta bahan digunakan adalah halal seperti herba, air atau madu.
“Dengan menggunakan rawatan Islam, bahan santau seperti kaca dan miang buluh boleh dikeluarkan dari dalam tubuh badan secara ghaib di hadapan pesakit, sama seperti ia dimasukkan secara ghaib,” katanya yang menyatakan bahawa rawatan Islam turut mampu menangani gangguan jin, dengan izin Allah.
Mohd Fauzi berkata, antara ciri-ciri bomoh yang menggunakan perantaraan jin atau menggunakan amalan yang salah di sisi syariat bagi mengubati pesakit dan perlu dihindari umat Islam adalah:
* Bomoh itu mendakwa boleh melihat jin termasuk di sekeliling pesakit.
* Menggunakan bahan bernajis untuk berubat.
* Memberikan tangkal termasuk tangkal kebal atau tangkal untuk mengelak penyakit berulang.
* Membacakan mantera yang tidak difahami orang lain.
* Membakar kemenyan atau membuat persembahan tertentu ketika berubat (mungkin menyeru jin, kemenyan adalah makanan jin)
* Melakukan penyembelihan bukan atas nama Allah SWT (mungkin mempersembahkan hantaran kepada jin).
* Menggunakan ayat al-Quran sebagai alas kaki atau untuk dihina, justeru pesakit perlu berhati-hati jika diberikan kertas tertentu yang dilipat atau disembunyikan dalam tangakl atau barang tertentu.
* Menulis ayat al-Quran menggunakan benda najis seperti darah.
* Menyeru nama tertentu seperti nama wali, puteri gunung atau pahlawan.
* Merendah diri kepada makhluk yang diseru dengan menggunakan ganti nama seperti ‘cucu’ manakala makhluk diseru dengan ganti nama seperti ‘datuk’ atau diagungkan.
* Menyuruh pesakit tidak mengamalkan ajaran Islam selama tempoh berubat contohnya tidak boleh solat selama dua minggu.
* Mengetahui siapa yang membuat aniaya, mengutuskan sihir kepada pesakit kerana syaitan berhasrat untuk melaga-lagakan manusia.
* Memberi amalan seperti perlu menyimpan barang tertentu seperti gunting, menggantung paku di tempat tertentu kerana ia mungkin tahyul atau kurafat.

Keterangan Gambar:
------------------
1. Mohd Fauzi Mustaffa

2. Kemenyan iaitu makanan jin digunakan dalam perbomohan yang dikhuatiri bercanggah dengan syarak.

3. Aktiviti perbomohan yang bercanggah dengan Islam serta menggunakan jin boleh menyebabkan kufur dan syirik.

4. Santau yang berbentuk kaca dan bulu rambut timbul dari tubuh pesakit.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home