Friday, September 22, 2006

dekor teknologi khat

nasron18

Dekor - teknologi khat

FAKTA NOMBOR
Teknologi seni dalam khat.

#RM380-RM7,000
harga

#30
pilihan sedia ada tapi bersedia menerima tempahan

Oleh Nasron Sira Rahim
Gambar oleh Halim

“DAN Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian,” demikian firman Allah SWT dalam surah al-Isra', ayat ke-82.
Pada ayat ke-28 daripada surah ar-Ra’d, pula Allah berfirman: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi aman tenteram.”
Sememangnya banyak keistimewaan yang terdapat pada al-Quran dan zikir, mengamal serta ‘mendekatkan’ diri dengan ayat suci itu saja pasti memberi kesan positif dalam kehidupan seseorang. Begitulah janji Allah kepada hamba-Nya.
Penulis khat, Rohaily @ Abd Rahman Abd Hamid, berkata keistimewaan al-Quran dan zikir tidak saja terletak kepada pengertian ayat-ayatnya tetapi menerusi kaedah khat, ia mampu diolah menjadi hasil seni yang indah dan mampu memukau sesiapa saja.
Justeru, Rohaily menjelaskan bahawa tidak salah untuk umat Islam menghiasi rumah mereka dengan ayat al-Quran dan zikir malah lebih cantik jika ayat suci itu diolah dengan kreativiti seni khat.
“Berbanding lukisan, adalah lebih baik jika umat Islam menghiaskan ruang rumah mereka dengan ayat al-quran atau zikir malah jika kalimah itu ditulis menggunakan kaedah khat, ia mampu dibuat dengan indah.
“Berbeza dengan lukisan biasa, khat yang berasaskan ayat al-Quran adalah kalam (kata-kata) Allah. Ia memiliki kasih sayang Allah dan diharap apabila dihias (dan kita selalu memandang dan membacanya) akan dekat diri kita dengan Tuhan serta mendapat pahala,” katanya.
Beliau berkata, keindahan khat kini tidak saja bergantung kepada bentuk lirikan tulisannya tetapi menggunakan sedikit kreativiti, ia mampu tampil dalam keadaan berbeza dan lebih indah.
Menyedari hasil seperti itu tidak mustahil dilakukan, syarikat Niche Systems Sdn Bhd menggabungkan khat, lukisan dan teknologi bagi mewujudkan satu dimensi baru dalam seni khat yang nyata berbeza berbanding sebelum ini, dikenali ‘Cahaya Seni Khat’.
“Sebelum ini, khat yang dijadikan hiasan rumah lazimnya sekadar berbentuk biasa iaitu tulisan semata-mata tetapi kini, kami menggabungkan khat, lukisan grafik dan teknologi cahaya pada skrin LCD. Hasilnya, satu bentuk seni baru yang dipercayai masih belum ada di pasaran dan produk kamilah yang pertama,” kata Rohaily.
Menggunakan pendekatan baru itu, tulisan khat ditulis bersama corak grafik dengan pemilihan warna unik bagi disesuaikan dengan pancaran cahaya daripada teknologi LCD. Sebaik cahaya memancar dari belakang lukisan, ia memberi impak yang mampu memukau sesiapa yang melihatnya.
“Fitrah manusia sukakan keindahan dan kita juga perlu tampilkan seni khat secara kontemporari supaya ia lebih indah. Jika dihasilkan dalam bentuk yang lebih cantik, golongan bukan Islam juga akan tertarik.
“Secara tidak langsung, ia memberi tanggapan bahawa Islam adalah syumul (meliputi semua aspek kehidupan), tidak menolak seni, sukakan keindahan dan tidak tertumpu pada ibadat kerohanian semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks masyarakat bukan Islam yang meminati khat, mereka tidak perlu membeli hiasan khat berdasarkan ayat suci tetapi boleh mengubah ayat suci itu kepada sebarang perkataan atau nama mereka untuk ditulis dalam tulisan jawi khat.
Bagi projek Cahaya Seni Khat, Rohaily menggunakan tulisan khat berjenis Diwani dan menulis enam kalimah ayat suci bagi peringkat permulaan.
Pelukis grafik yang terbabit dalam projek itu, Norliza Zakaria, pula berkata beliau memilih corak budaya Melayu seperti flora, fauna dan ukiran tradisional seperti awan larat bagi disesuaikan dengan tulisan khat.
“Menerusi corak budaya Melayu ini, lukisan secara tidak langsung menonjolkan budaya Melayu; saya turut menitikberatkan pemilihan warna untuk lukisan bagi memastikan ia mampu memberi kesan menarik sebaik dipancarkan cahaya,” katanya.
Ketua Projek, Hazlina Puspa Hassan, berkata sebelum ini, teknologi skrin LCD banyak digunakan pada papan iklan tetapi kira-kira setahun lalu, beliau mula memikirkan bahawa ia juga boleh digunakan dalam seni sekali gus mencetuskan idea projek itu.
Beliau berkata, selain corak lukisan yang sudah dihasilkan, pihaknya juga menerima tempahan berdasarkan kehendak pelanggan dan tempahan boleh disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home