Thursday, November 06, 2008

UFO

Publication : BM

Edition :

Date : 21/05/2006

Page Number : 10

Headline : UFO, makhluk asing belum terlerai

Words : 801

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


ANTARA kes yang akan terus `menghuni fail X' dalam sejarah ketamadunan
manusia sejak jutaan tahun lalu adalah misteri kewujudan objek terbang
yang tidak dikenali (UFO) dan makhluk asing di dunia ini.
Di Malaysia saja, sama ada di kampung atau bandar, lebih 10 kes
penemuan UFO dicatatkan sejak misteri itu wujud pada 1947.
Paling gempar mungkin sekitar Oktober 1995 apabila ada penduduk
tempatan mendakwa melihat UFO berlegar di ruang udara Tanjung Sepat,
Banting, Selangor; sehingga seluruh negara ketika itu heboh.
Penduduk juga mendakwa melihat makhluk asing berwarna hijau, setinggi
60 sentimeter bertelinga panjang serta bermata merah kecil tetapi tiada
bukti saintifik seperti gambar yang dikemukakan mereka.
Mengimbas keadaan ketika itu; daripada sekadar perbualan
penduduk kampung, isu itu merebak kepada kerajaan apabila Menteri
Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu mengarahkan Bahagian Kajian
Sains Angkasa Jabatan Perdana Menteri (Baksa-JPM) menyiasat dakwaan
berkenaan.Sejak itu, ramai penduduk tempatan mendakwa terlihat UFO di
negara ini.
Itu cerita kira-kira 10 tahun lalu. Terbaru, pada Ogos tahun lalu,
penduduk Kampung Pumah Kulat, Raub, Pahang; gempar apabila seorang
pelajar mendakwa berjaya merakamkan objek menyerupai piring terbang atau
UFO yang berlegar-legar di ruang langit kampung itu.
Kira-kira setahun sebelum itu, pada Mei 2004, penduduk di Teluk Kemang,
Port Dickson dan Rantau, Negeri Sembilan; mendakwa melihat dua objek
bujur bercahaya kehijauan menyerupai UFO berlegar di udara.
"Saya dan kira-kira 40 orang yang berada di tempat kejadian yakin objek
itu bukan pancaran laser atau lampu kerana ia berbeza.
"Saya mencari puncanya hingga ke tepi hutan berdekatan tetapi tidak
menemuinya," dakwa saksi, Abdullah Thambi, 51, seperti dilaporkan Berita
Harian, ketika itu.
Kewujudan UFO atau piring terbang dalam sejarah moden dikatakan bermula
pada 26 Jun 1947 dan rekod sejarah menyatakan manusia pertama yang
menjadi pencetus fenomena aneh di angkasa itu adalah ahli perniagaan yang
juga juruterbang, Kenneth Arnold.
Arnold yang ketika itu sedang memandu kapal terbang di atas gunung
Rainier, pergunungan Cascade, Washington, Amerika Syarikat secara
tiba-tiba terlihat sembilan objek terbang aneh dalam suatu formasi
tertentu.
Beliau menggambarkan objek itu berbentuk seperti piring dan bergerak
pada kelajuan kira-kira 1,500 kilometer sejam dan sejak penemuan itu,
berita mengenai objek terbang dan makhluk asing terus dipaparkan media
dan menarik minat penduduk di seluruh dunia tanpa jemu.
Suatu lagi teori menarik mengenai UFO adalah ia sebenarnya pesawat
tempur canggih seperti U-2 dan SR-71 yang sedang dibangunkan kerajaan
Amerika menerusi satu projek rahsia.
Mengenai makhluk asing pula, antara kes yang popular adalah kejadian
`UFO terhempas' di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat pada Julai 1947.
Mengikut kisah, seorang peladang ternakan WW Mac Brazel yang memeriksa
haiwan ternakannya selepas berlakunya ribut pada malam sebelum itu,
terserempak dengan serpihan aneh seperti logam yang bertaburan dalam
lingkungan luas.
Kisah mengenai kapal UFO terhempas di Roswell menjadi perbualan hangat
di kalangan rakyat Amerika tetapi malangnya, tentera Amerika dikatakan
cuba merahsiakan penemuan itu dengan mengatakan objek terhempas itu
adalah belon cuaca dan bukannya UFO.
Ketika itu juga, seorang pengurus mayat, Glenn Dennis menerima beberapa
panggilan daripada rumah mayat di lapangan terbang tentera udara
berhampiran Roswell. Dia ditanya mengenai keranda kecil yang kedap udara
dan bagaimana untuk mengawet mayat yang terdedah kepada unsur cuaca
selama beberapa hari, tanpa merosakkan tisu.
Ketika mengunjungi sebuah hospital tentera, lelaki itu ternampak
serpihan logam terkeluar dari belakang sebuah ambulans dan pada satu
daripada serpihan itu, tertera ukiran aneh.
Seorang jururawat yang bertugas di hospital itu pula memberitahu Dennis
bahawa mayat yang dijumpai di kawasan pesawat aneh itu terhempas
berbentuk aneh.
Beberapa hari selepas mendedahkan perkara itu, jururawat terbabit
dikatakan ditukar ke England.
Sejak itu, misteri bentuk aneh mayat yang ditemui itu terus tersimpan
rapi dan rahsia UFO serta makhluk asing terus menjadi teka-teki yang
tidak ditemui jawapannya.
FAKTA GRAFIK
Gambaran makhluk asing yang didakwa dijumpai penduduk di Tanjung Sepat
pada 1995
* Tubuh berwarna hijau
* Ketinggian 60 sentimeter
* Bertelinga panjang
* Mata merah
FAKTA
Antara penemuan UFO di Malaysia
* Oktober 1995: penduduk di Tanjung Sepat Banting, Selangor, mendakwa
melihat tiga objek UFO empat kali sebulan.
* 14 Januari 1996: sekumpulan peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis,
Johor, gempar melihat sejenis objek di angkasa berbentuk kipas angin
mengeluarkan cahaya terang.
* 21 Februari 1996: penduduk Kampung Parit Awang, Yong Peng, Johor,
mendakwa melihat objek bercahaya di ruang udara kira-kira jam 11.30 malam.
* 26 Mei 1999: seorang penduduk melihat objek bercahaya kebiru-biruan
di udara dan cuba mendarat di Gunung Baling.
* 6 Mac 2000: kira-kira 1,000 penduduk Kampung Gobek, Tanah Merah,
Kelantan gempar dengan dakwaan bahawa satu objek mendarat di kawasan
tanah lapang berpaya, di kampung itu pada jam 3pagi.
* 22 Oktober 2000: penduduk Taman Cheras Utama Kuala Lumpur, selesai
menunaikan solat Subuh gempar melihat dua objek berputar di angkasa yang
mengeluarkan cahaya selama setengah jam.
* 15 Mei 2004: penduduk di Teluk Kemang, Port Dickson dan Rantau, turut
melihat dua objek bujur bercahaya kehijauan menyerupai UFO berlegar di
udara.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home