Thursday, November 06, 2008

amran kasimin - rawatan alternatif

Publication : BH

Edition :

Date : 08/06/2006

Page Number : 15

Headline : Wakil rakyat pakar rawatan alternatif

Words : 759

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Column Name : Personaliti

Text :


MEMBICARAKAN mengenai hantu, makhluk halus atau alam ghaib - seolah-olah
menjadi topik terlarang dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Malah,
jika ada yang berhasrat untuk bertemu dengan makhluk berkenaan, perbuatan
itu dianggap sebagai 'kerja gila'.
Namun, bagi pengkaji kebudayaan Islam, Datuk Dr Amran Kasimin, 61,
bidang berkenaan sebenarnya perlu dipelajari umat Islam. Ini kerana
gangguan makhluk halus atau jin sememangnya wujud dalam kehidupan manusia.
Sehubungan itu, katanya, perlu ada pihak yang mempelajari kaedah
rawatan dan memahami ciri alam ghaib itu bagi membolehkan mereka
memulihkan kembali atau mengekang gangguan itu daripada berterusan.
Beliau berkata, tindakan jin kafir atau syaitan mengganggu manusia
sememangnya sudah tertera dalam al-Quran.
Firman Allah bermaksud: "Kerana-Mu (Allah) menghukum saya (iblis)
tersesat, saya benar-benar akan (menghalangi) mereka (manusia) dari jalan
Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan
belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan
mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)." (Surah al-A'raf, ayat
16-17).
Gangguan syaitan daripada pelbagai jenis. Selain, mempengaruhi manusia
supaya melakukan kejahatan, ada yang mampu memudaratkan fizikal manusia.
Bagaimanapun, jin yang mampu mendatangkan kecederaan terhadap fizikal
manusia perlu mempelajari ilmu untuk melakukan perbuatan berkenaan, sama
seperti manusia perlu mempelajari ilmu ghaib untuk melihat atau mengubati
gangguan jin.
"Allah menjadikan jin boleh melihat manusia, tetapi manusia tidak boleh
lihat jin.
"Namun, manusia yang boleh melihat jin adalah mereka yang mempelajari
ilmu mendampingi jin, membela jin untuk dijadikan sahabat, orang yang
dibuka hijab pandangan oleh Allah, selain mereka yang sakit seperti sakit
biasa (deman dan sebagainya)," katanya yang juga ahli Persatuan Kebajikan
dan Pengubatan Islam Malaysia (Darus Syifa).
Dr Amran berkata, antara kaedah jin mengganggu manusia adalah menerusi
roh manusia kerana mereka boleh mengetahui kekuatan roh seseorang itu
sama ada memiliki nur (cahaya iman) atau tidak.
Jin juga boleh meresapi manusia dan ada hadis yang menyokong kenyataan
berkenaan. Tetapi, tindakan itu kurang berkesan terhadap manusia yang
memiliki 'roh yang kuat' hasil amal ibadat dan keimanan yang mendalam.
"Di mana ada pembuluh darah, jin boleh meresap dan tanda orang kena
resap adalah dia berasa sakit kaki kerana jin berada di kaki. Apabila
sakit kepala, jin berkenaan berada di kepala.
"Jika jin meresap ke dalam nadi darah dalam badan manusia dan kita
membaca ayat suci al-Quran, tubuh individu yang diresapi akan bergerak.
Ini bermakna ada reaksi terhadap urat nadi itu disebabkan bacaan ayat
suci," katanya.
Menyedari perlunya mengetahui kaedah perubatan bagi gangguan seperti
itu, Dr Amran menyertai Darus Syifa yang diasaskan Datuk Dr Haron Din
pada 1984, dengan harapan dapat menyumbang kepada kebajikan umat Islam.
Pengorbanan Dr Amran dalam bidang itu juga tidak sedikit. Beliau
menulis buku mengenai perubatan tradisional dan Islam yang dijual pada
harga RM25 senaskhah bagi mengumpul dana pembinaan pusat perubatan Darus
Syifa di Bangi, Selangor.
Selain sibuk dengan tugas wakil rakyat, beliau meluangkan masa
mengubati pesakit di Darus Syifa selain mengajar ilmu perubatan Islam
bagi memastikan lebih ramai umat Islam yang mahir dalam bidang itu.
Seterusnya, mampu menyumbangkan khidmat kepada masyarakat.
"Kami di Darus Syifa memberi khidmat tanpa meminta sebarang upah.
Sebaliknya, sumbangan yang diberikan adalah di antara cara untuk kami
berkhidmat kepada masyarakat kerana menyedari kami ada keupayaan dan ilmu
berbuat demikian," katanya.
Mengimbau bagaimana menceburi bidang ini, Dr Amran menjelaskan bahawa
minat itu dicambah ketika masih menjadi pensyarah di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Ketika remaja, saya mempelajari silat yang turut membabitkan
pendedahan terhadap ilmu kebatinan. Malah, saya juga pernah mengamalkan
amalan bertapa.
"Bagaimanapun, selepas menjadi pensyarah di UKM, bidang kajian saya
adalah Kebudayaan Islam.
"Saya banyak membuat kajian mengenai kaedah perubatan tradisional,
amalan perbomohan dan ilmunya seperti ilmu menolak hujan, amalan batin
dalam silat dan jampi mantera yang digunakan," katanya.
Bermula daripada kajiannya itu, sedikit demi sedikit, beliau
mempelajari kaedah rawatan Islam sehingga dengan izin Allah kini mampu
mengubati ramai pesakit, termasuk mereka yang diganggu jin.
Sepanjang kajiannya mengenai amalan perbomohan Melayu serta hubungannya
dengan alam mistik, Dr Amran mendapati banyak amalan digunakan bomoh dan
pawang sejak turun-temurun, bercanggah dengan ajaran Islam.
"Menyedari hakikat itu, maka di antara tujuan penubuhan Darus Syifa
untuk memberikan perkhidmatan dan pengajaran mengenai rawatan alternatif
yang tidak bercanggah dengan Islam," katanya.
PROFIL
Nama: Datuk Dr Amran Kasimin
Tarikh Lahir: 1 Ogos 1945
Tempat Lahir: Kampung Patah Pedang, Minyak Beku, Batu Pahat, Johor
Jawatan: Pengkaji Kebudayaan Islam; Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi,
Selangor.
Pendidikan: Doktor Falsafah dalam bidang Sosiologi Agama dan Kebudayaan
dari University of Aberdeen, Scotland; Sarjana Persuratan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM); Sarjana Muda Pengajian Islam UKM.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home