Thursday, November 06, 2008

baca al-quran dalam tempoh 24 jam

Publication : BM
Edition :
Date : 11/06/2006
Page Number : 09
Headline : Boleh baca al-Quran dalam masa 24 jam
Words : 686
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


KEDENGARAN seperti dakwaan berkenaan adalah suatu yang mustahil tetapi
usaha seorang pencinta al-Quran dari Sumatera, Indonesia; berjaya
mengubah tanggapan itu.
Ketika memikirkan kaedah terbaik dan pantas bagi membolehkan umat Islam
terutama kanak-kanak mempelajari al-Quran, Dr Muhammad Roihan al-Mandily,
merangka satu kaedah atau susunan menarik yang berkesan bagi mencapai
hasrat itu.
Susunan dan kaedah pembelajaran yang dicipta pada Februari tahun lalu
itu dinamakan al-Hira' sempena nama Gua Hira' yang menjadi lokasi
turunnya ayat al-Quran pertama di dunia ini.
Pasti timbul persoalan sama ada benar kaedah ini membolehkan seseorang
yang tidak boleh membaca al-Quran, mampu membacanya dalam tempoh 24 jam
tetapi Pengurus Al-Hira' Enterprise, Zulpan Nasution Mahad, yang
memperkenalkan kaedah itu di negara ini mengakui kebenaran itu.
Beliau berkata, ia terbukti apabila seramai 71 kanak-kanak semuda usia
enam tahun dan 48 dewasa yang 'diuji' dengan kaedah berkenaan, baru-baru
ini, akhirnya mampu membaca al-Quran dalam tempoh sesingkat itu.
"Pada masa dulu, buku yang digunakan dalam mengajar al-Quran ialah
Muqaddam Baghdadiah yang menggunakan sistem mengeja. Selepas bertahun,
sistem digunakan buku itu didapati kurang praktikal dan muncul pula
sistem Qiraati dan buku Iqra' yang menggunakan kaedah baca langsung.
"Pengasas kaedah ini memikirkan satu lagi cara yang boleh
mempercepatkan lagi penguasaan bacaan dan hanya menggunakan satu buku
nipis saja dan hasilnya wujudlah kaedah al-Hira'," katanya.
Zulpan berkata, keistimewaan kaedah itu berbanding sistem lain adalah
susunan pembelajarannya sistematik dan teratur menerusi 14 langkah
pembelajaran, memudahkan penuntut memahami dan menguasai bacaan ayat suci
itu.
Katanya, dalam pengajaran kaedah itu, penuntut tidak diajar mengenal
huruf Arab iaitu dari alif hingga ya pada peringkat permulaan sebaliknya
mereka diajar berdasarkan sebutan huruf berbaris terlebih dulu.
Kaedah ini juga dihasilkan menggunakan kaitan persamaan antara bacaan
al-Quran dengan huruf rumi yang didapati terlebih dulu dikuasai
kanak-kanak berbanding huruf Arab sekali gus mempermudahkan pemahaman
mereka.
"Contohnya kita mengkelaskan beberapa huruf Arab yang berbunyi seperti
`A' dan `O' manakala pada huruf berbaris tanwin, sebutannya hanya
ditambah huruf `N' di belakang suatu ejaan seperti bunyi huruf ba
berbaris atas adalah `ba' tetapi apabila berbaris tanwin dua di atas,
bunyinya adalah `ban'," katanya.
Zulpan berkata, walaupun boleh dikuasai dalam tempoh 24 jam secara
berterusan, pihaknya mengajar kaedah itu secara berperingkat dan lebih
santai iaitu sekitar sejam untuk sekali kelas sehinggalah cukup 24 jam.
Bagaimanapun, jika ada permintaan, pihaknya mampu melatih seseorang itu
mempelajari al-Quran secara berterusan dan pantas di pejabat mereka di
Taman Timah Satu, Dengkil, Selangor.
Kemampuan seseorang itu menguasai bacaan dalam tempoh 24 jam juga
bergantung kepada kemampuan individu dan bagi pelajar yang memiliki daya
ingatan dan pemahaman yang lemah pula, ia mungkin memakan masa.
"Berbanding kaedah dulu, ia mengambil masa lama malah sehingga bertahun
untuk seseorang itu khatam al-Quran tetapi kehidupan kita kini semakin
pantas, menerusi kaedah ini, insya-Allah proses itu dapat dipercepatkan.
"Tambahan pula, kerajaan baru-baru ini mahukan murid sekolah rendah
mampu menguasai bacaan al-Quran dan diharap dengan kaedah ini, ia sedikit
sebanyak dapat menyumbang kepada perkembangan Islam," katanya.
Beliau berkata, ada antara umat Islam yang gagal membaca al-Quran
termasuk di kalangan orang dewasa menyebabkan keadaan itu semakin
membimbangkan kerana tanpa menjiwai ajaran kitab suci itu, seseorang itu
akan jauh daripada Islam.
"Apabila seseorang itu tidak menjiwai al-Quran dalam dirinya, jiwanya
akan kosong menyebabkan mudah dipengaruhi syaitan dan melakukan
kemungkaran dan dosa," katanya.
Sejak diperkenalkan tahun lalu, kaedah itu sudah diajar di beberapa
tadika sekitar Selangor, Sabah, Melaka dan Kuala Lumpur dengan jumlah
pelajar melebihi 500 orang. Buku al-Hira' pula sudah dicetak dan dijual
sebanyak 5,000 naskhah.
Zulpan bagaimanapun berkata, ada syarat bagi membolehkan seseorang itu
mampu membaca al-Quran dalam tempoh kurang 24 jam iaitu memiliki niat
ikhlas untuk menguasai bacaan kitab Allah dan tidak sombong.
FAKTA
Susunan pengajaran kaedah al-Hira'.
* Cara membaca huruf berbaris atas.
* Cara membaca huruf berbaris bawah.
* Cara membaca huruf berbaris hadapan.
* Cara membaca huruf bersambung.
* Mengenal tanda panjang bacaan.
* Cara membaca tanwin (baris dua).
* Cara membaca huruf yang mati.
* Cara membaca huruf bertashdid.
* Cara membaca al-atta'rif.
* Cara membaca lafaz al-Jalalah.
* Cara membaca hamzah wasal.
* Cara berwakaf (menghentikan bacaan).
* Cara membaca huruf muqatta'ah.
* Tajwid al-Hira'.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home