Monday, September 22, 2008

pendedahan kekejaman Amerika di Iraq

War confessions..."We Blew Her to Pieces"

Susunan Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

SELAIN daripada penduduk Iraq, tiada pihak lain yang mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan Amerika di negara itu melainkan askar mereka sendiri.
Lalu pada tarikh 13 hingga 16 Mei 2008, bertempat di Kolej Buruh Kebangsaan, Silver Spring, Maryland, sekumpulan askar yang pernah terbabit dalam peperangan itu tampil untuk mendedahkan hakikat dan tindakan sebenar sepanjang pencerobohan tentera Amerika di negara itu.
Cerita mereka, pengalaman bersama tentera Amerika di negara asing itu mendedahkan bahawa mereka tidak sekadar memerangi musuh atau pengganas tetapi melakukan pelbagai dosa terhadap kemanusiaan yang jarang didedahkan kepada umum dan masyarakat luar.
Pelbagai kisah kekejaman Amerika yang amat tidak disangka itu kemudian dikumpul dan dibukukan ahli persatuan Veteran Iraq Menentang Perang (IVAW) yang juga wartawan Aaron Glantz sehingga terhasillah ‘Winter Soldier Iraq and Afghanistan: Eyewitness Accounts of the Occupation,’ (Askar Musim Sejuk Iraq dan Afghanistan: Akuan Penyaksian Suatu Penjajahan).
Buku yang diterbitkan Haymarket Books Tuesday itu adalah sebuah buku yang meruntun jiwa, kronologi sejarah hitam mengenai apa yang tentera Amerika sudah lakukan terhadap Iraq termasuk kepada askar mereka sendiri. Cerita berkenaan bukanlah datang daripada saksi atau mangsa peperangan tetapi didedahkan askar yang terbabit secara langsung dalam operasi tentera.
Antara askar yang menceritakan keadaan di negara itu adalah Koperal Tentera Laut Amerika yang dihantar bertugas sebanyak tiga kali di Iraq, Jason Washburn.
“Saya masih ingat kelibat seorang wanita yang berjalan, dia membawa satu beg besar dan berjalan menuju ke arah kami. Kami menembak pelancar bom tangan ke arahnya dan jasadnya meletup berkecai.
“Selepas habuk dan asap letupan hilang, barulah kami menyedari bahawa beg itu dipenuhi dengan barang runcit. Wanita itu cuba memberikan kami makanan tapi kami meletupkan jasadnya sehingga berkecai,” katanya.
Washburn menjelaskan bahawa mereka dibenarkan untuk berbuat demikian - membunuh orang awam hanya kerana mereka mengesyaki pihak itu adalah musuh.
“Lebih tinggi ancaman, maka kami dibenar untuk bertindak lebih kejam sebagai tindak balas,” katanya.
Beliau berkata, ketika bertugas, mereka turut digalakkan untuk membawa ‘senjata pakai buang’.
“Kami akan membawa senjata itu bersama kerana jika kami secara tidak sengaja menembak mati penduduk awam, maka kami hanya perlu mencampakkan senjata itu ke atas mayat supaya mereka kelihatan seperti musuh yang cuba menyerang kami,” katanya.
Setiap muka surat buku berkenaan disertai dengan cerita kejam serta sedih yang disampaikan askar. Segala-galanya - dari merakamkan gambar ‘trofi’ berupa mayat penduduk awam, penyiksaan dan pembunuhan orang awam dikumpulkan ke dalam buku berkenaan.
Anggota tentera Bahagian Airbone ke-82 yang bertugas selama setahun di Iraq, Hart Viges, pula menceritakan beliau pernah menerima suatu arahan mengejutkan daripada radio perhubungan mereka.
“Ada suatu ketika, arahan yang diberikan adalah supaya kami menembak semua teksi kerana musuh menggunakan kenderaan itu untuk bergerak,” katanya sebelum meneruskan cerita.
Arahan itu pernah menyebabkan seorang penembak tepat yang terkejut membalas, “Apa? Adakah saya mendengar arahan yang betul? Tembak semua teksi?”
Leftenan Kolonel yang memberi arahan itu kemudian membalas.
“Kamu dengar apa yang saya arahkan, jadi tembak ke arah semua teksi!”
Viges berkata, selepas itu, bandar berkenaan mula bergolak dengan semua unit tentera menembak ke arah kereta. Ia adalah pengalaman terburuknya dalam perang dan arahan seperti itu berterusan sepanjang penempatannya.
Penembak Marin yang bertugas setahun di kawasan al-Qaim berhampiran sempadan Syria, Vincent Emanuele, turut menceritakan keadaan lebih teruk. Mereka menembak membabi buta ke arah penduduk sehingga habis peluru, melanggar mayat berselerakan dengan kenderaan Humvees serta mengambil gambar ‘trofi’ dengan mayat mereka yang terbunuh.
“Satu tindakan yang kerap dilakukan di Iraq adalah menembak kereta yang sedang bergerak; ia bukan kejadian terpencil dan ia dilakukan sepanjang penempatan kami selama lapan bulan,” katanya.
Koperal Marin yang pernah terbabit dalam serangan Amerika di Fallujah pada November 2004, Michael Leduc, berkata mereka pernah menerima satu arahan dari pegawai atasan sebelum memasuki bandar berkenaan.
“Jika kamu melihat individu membawa beg putih dan mendekati kamu dengan perlahan serta mematuhi sebarang arahan yang kamu berikan, anggaplah dia cuba melakukan tipu helah dan bunuh individu itu.”
Scott Ewing yang bertugas di Iraq dari 2005 hingga 2006, menceritakan bahawa askar biasanya memberi gula-gula kepada kanak-kanak Iraq bukan dengan niat baik.
“Terdapat motif lain, jika kanak-kanak mengelilingi kenderaan kami, musuh tidak akan menyerang. Kami menjadikan kanak-kanak itu sebagai perisai manusia,” katanya.
Pengarah Eksekutif IVAW, Kelly Dougherty, menyalahkan tindakan buruk tentera di Iraq berpunca daripada dasar Kerajaan Amerika itu sendiri.
“Penderaan berlaku di tempat itu dan ia bukan sekadar berpunca daripada tabiat jahat tetapi hasil daripada dasar kerajaan mengenai Asia Tengah yang dihasilkan untuk menunjukkan lingkungan kuasa Amerika,” katanya.
Kebanyakan keterangan askar itu bagaimanapun tidak dilaporkan dalam media utama Amerika melainkan akhbar Washington Post tetapi akhbar itu juga hanya melaporkan pendedahan itu sebagai berita kecil dan di dalam bahagian berita setempat.
Media dan akhbar seperti The New York Times, CNN, ABC, NBC dan CBS tidak mempedulikan keterangan itu langsung.
Glantz berkata, mereka cuba menghasilkan rekod sejarah mengenai apa yang berterusan berlaku dalam perang dan apa makna sebenar perang yang didalangi Amerika itu.
“Bagi saya, ia mengenai gambaran sebenar mengenai peperangan kerana di Amerika, kami beranggapan bahawa perang tidaklah seteruk seperti hakikat sebenar.
“Akan tetapi, perang berlaku apabila kita memiliki sekumpulan besar manusia bersenjata yang membunuh ramai orang lain dan itulah gambaran yang akan pembaca peroleh selepas membaca keterangan veteran... wajah sebenar perang,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home