| CADANGAN penubuhan Suruhanjaya Antara Agama, filem Lelaki Komunis Terakhir dan pengeluaran majalah Playboy versi Malaysia adalah antara isu 'panas' yang dibincangkan secara terbuka di khalayak, kebelakangan ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang menentang. Wartawan Berita Minggu NASRON SIRA RAHIM dan NORAKMAH MAT YOUB menemui Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Baginda bagi menjelaskan mengenai had bersuara dan berkarya rakyat negara ini dan perubahan fenomena ini berbanding 20 tahun lalu. ? BANYAK isu sensitif yang dibincangkan di khalayak kebelakangan ini walaupun ia tidak dibincangkan secara terbuka sekitar 20 tahun lalu. Apa pandangan saudara. Saya percaya jika dilihat dari segi isu, setiap masyarakat di dunia ini ada banyak isu. Di Malaysia, masyarakatnya ada kontrak sosial bagi mewujudkan kesefahaman antara kaum. Ada isu sensitif yang tidak dibincang secara terbuka dan hanya dibincang melalui pemimpin kaum dalam formula Barisan Nasional (BN) seperti di Kabinet dan sebagainya. Kontrak sosial itu sudah lama diwujudkan iaitu sejak 1969. Sebenarnya isu panas yang timbul kebelakangan ini sudah lama ada, tetapi ia tidak dibincangkan di khalayak dan ini adalah pendirian yang dikenal pasti kepemimpinan negara. Apabila masyarakat sudah maju dari segi pendidikan, kewangan dan mendapat pendedahan terhadap dunia, maka susah untuk isu seperti ini tidak dibincangkan kerana pasti ada pihak yang mahu membincangkannya. Media juga memainkan peranan. Keadaannya sekarang adalah isu itu sudah wujud berdekad lalu, tetapi kini barulah dibincangkan secara umum. Bagus atau tidak keadaan ini bergantung kepada kematangan rakyat untuk menerima perdebatan itu, adakah rakyat matang atau masih beremosi tinggi untuk membincangkannya. ? Adakah masyarakat Malaysia sudah bersedia untuk membincangkan isu sensitif secara terbuka. Ya dan tidak. Ya kerana kita sudah berada dalam abad ke-21 dan struktur masyarakat juga sudah maju. Kita dilanda era globalisasi dan banyak pendedahan. Kita tidak boleh lagi menutup mata dan telinga rakyat kerana menerusi internet atau televisyen berbayar, mereka boleh mendapat banyak maklumat. Jadi kita tiada pilihan lain. Malaysia bukannya negara seperti Cuba yang boleh ditutup. Ini sesuatu yang baik kerana walaupun kita tutup, masyarakat boleh mendapatkan banyak maklumat daripada banyak saluran dan usaha menghalangnya adalah membuang masa. Lebih baik kita membuka saluran perbincangan dan pada masa sama kita mengeluarkan maklumat balas yang kita ada. Keburukannya adalah isu akan dieksploitasi oleh kumpulan tertentu yang memiliki agenda tersendiri. Ini berbahaya kerana ada isu seperti keagamaan dan perkauman masih sensitif. ? Jadi ada isu yang boleh dibincangkan dan ada yang tidak. Saya percaya semua isu boleh dibincangkan, tetapi harus dibincangkan dalam parameter yang terhad. Contohnya, saya masih percaya kita tidak boleh mengkritik bangsa lain kerana ia akan membawa konflik perkauman, tetapi saya percaya sesuatu bangsa itu boleh mengkritik bangsa mereka sendiri. Bagaimanapun perkembangan sekarang adalah sudah ada sesuatu isu yang dulunya dilihat sebagai isu milik sesuatu kaum, tetapi kini sudah menjadi isu umum dalam masyarakat Malaysia seperti perkembangan ekonomi dan politik yang membabitkan semua bangsa di Malaysia. Pada masa akan datang, isu sesuatu bangsa yang akhirnya menjadi isu umum akan semakin banyak sehingga tinggal sedikit saja isu sensitif yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Saya tidak membayangkan bahawa semua isu boleh dibincangkan tanpa had di negara ini kerana ada isu, tertentu yang masih menjadi sensitif termasuk pada masa akan datang kerana kita memiliki kepelbagaian bangsa yang memiliki corak pemikiran berlainan, tetapi pada masa akan datang, corak pemikiran antara semua bangsa itu akan semakin dekat. ? Kenapa isu sensitif banyak dibincangkan secara terbuka pada masa sekarang. Saya percaya media memberi ruang. Sebenarnya kita semua sering menguji batasan sejauh masa sesuatu isu itu boleh dibincangkan, begitu juga media. Suatu ketika dulu, kita tidak boleh mengkritik individu secara bebas, tetapi sekarang boleh. Lihat sekarang, setiap kali membuka televisyen, ada menteri atau kerajaan dihentam padahal dulu tiada situasi seperti ini. Berita muka depan surat khabar, sudah disiarkan berita bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dulu, Dr Mahathir pernah mengkritik Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) tetapi tidak pernah dilaporkan apa pula pandangan Tunku terhadap Dr Mahathir. Sekarang kita mendengar apa yang Dr Mahathir kata dan apa yang Abdullah kata. Jika media tidak melaporkan, kita masih dapat melihat dalam internet. Kerajaan dan juga media mengambil sikap sudah membenarkan perbincangan seperti itu, tetapi secara adil dan bukannya hanya pada satu pihak. Saya percaya banyak saluran untuk membincangkan sesuatu isu secara terbuka seperti seminar dan sebagainya. ? Apa kekangan yang patut ada dalam membincangkan sesuatu isu secara terbuka. Saya percaya sekarang ini ada beberapa isu yang tidak patut dibincangkan, sedang dibincangkan. Contohnya seperti isu keagamaan. Ia adalah isu sensitif yang ditimbulkan iaitu hak orang bukan Islam terhadap Islam seperti kes M Moorthy (Mohammad Abdullah). Isu keagamaan lebih sensitif daripada perkauman. Jadi jika ditanya apakah isu yang tidak boleh diperbincangkan, saya juga keliru sedikit kerana saya percaya isu seperti itu patut dibincangkan tetapi harus dibincangkan secara tidak beremosi. Akan tetapi bagaimana untuk membincangkannya secara tidak beremosi kerana jika dilihat pada mana-mana bangsa, apabila membincangkan mengenai isu keagamaan, mereka hilang rasional. Contohnya di Pakistan, ada kes 'pembunuhan untuk maruah', bukanlah rakyat mereka memberi peluang, tetapi tidak juga mengambil berat mengenai perbuatan seperti itu. Jika suami dapat tahu isterinya curang, dia boleh menghukum mengikut kehendak sendiri sehingga ada kes isteri dibakar. Jika ditanya kepada mereka, mereka menyatakan ia hukum agama (walaupun disalah tafsir) dan mereka hilang rasional sehingga sanggup membunuh isteri atau anak mereka sendiri. Kekangan lain adalah perkara yang termaktub dalam perlembagaan seperti hak istimewa orang Melayu atau kedudukan Raja Melayu. Ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Jika kita tidak menghalang, ia boleh menimbulkan kekacauan dalam negara. Isu seterusnya adalah kepemimpinan dan peribadi. Kita boleh kritik sesiapa saja, tetapi tidak kepada peribadi seseorang. Saya percaya kita tidak patut membuka isu seperti itu untuk perbincangan umum. ? Semua isu boleh dibincangkan di negara maju seperti Amerika Syarikat. Jika Malaysia ingin menjadi negara maju mengikut acuan itu juga, adakah keadaan Malaysia juga akan sama seperti negara maju lain. Nampaknya begitulah. Dalam internet, apa isu yang tidak dibincangkan malah peribadi pemimpin mereka sendiri turut didedahkan. Perkara seperti itu berlaku secara semula jadi akibat globalisasi. Di internet sekarang macam-macam cerita, saya boleh hantarkan pandangan saya dan saya boleh baca macam-macam cerita. Susah untuk dikatakan sama ada perbuatan itu beretika atau tidak kerana mereka menyuarakan pandangan mereka. Pandangan seseorang boleh mempengaruhi pandangan orang lain walaupun tidak dipastikan sama ada maklumat itu benar atau salah. Ramai bertanya saya mengenai bermacam-macam cerita yang mereka baca di internet. Contohnya nama Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda Umno) sudah popular di gerai teh tarik, tetapi siapa antara mereka yang bercerita itu pernah berjumpa dan bercakap dengannya? Apa yang kita dengar hanyalah menerusi khabar angin dan internet, tetapi masyarakat sudah menerima bulat-bulat cerita di internet itu sebagai kebenaran. ? Justeru, bagaimana seseorang itu perlu berpandangan terhadap bahan yang diterimanya? Mungkin cerita dalam internet itu 80 peratusnya tidak benar, tetapi mungkin juga benar kerana kita tiada buktinya. Kenapa kita tidak memeriksa dulu sama ada ia benar atau tidak benar? Kalau penulis fiksyen, lagi seronok dia menyebarkan cerita di internet. Orang boleh mereka cerita dan ada orang yang percaya. Kita ini sudah sama tahapnya dengan Amerika Syarikat. Nak katakan ini antara keburukan membincangkan sesuatu isu secara terbuka tidak juga, tetapi inilah sikap manusia. Bukan senang untuk berubah. Mungkin senang orang mengatakan ini berpunca daripada kurangnya didikan agama dan kurang beretika, tetapi ada orang yang mengaku faham agama pun menyebarkan dakwaan yang bukan-bukan dalam akhbar dan media. Saya percaya inilah harga yang perlu dibayar kerana menuju ke arah negara maju. Akan tetapi apa alternatifnya? Adakah mahu rakyat kita terkongkong dan tidak memiliki pilihan. Saya percaya apa yang mustahak adalah menentukannya sendiri, membaca daripada internet dan tentukan sendiri kesahihannya. Kadangkala cerita yang dibaca itu tidak memberi impak pun kepada pembaca seperti gosip orang kenamaan itu bercinta dengan siapa, ia tidak memberi kesan pun dalam hidup pembaca. Ia akan memberi kesan jika seseorang itu ingin menjatuhkan maruah seorang. ? Apakah kesannya jika kebebasan bersuara ini ditutup sepenuhnya. Negara tidak akan maju, dunia tidak memandang positif terhadap Malaysia dan ia akan mempengaruhi pelabur luar negara. Jika pelabur tahu mana-mana kerajaan bertindak menyekat dan mengawal media massa; jika ada masalah dengan pelaburan, mereka akan kalah (tidak mengetahui keadaan sebenar dalam negara berkenaan). Sekarang, tiada pilihan lagi untuk menutup kebebasan bersuara termasuk di Malaysia. Negara seperti China pun - yang menyekat kebebasan bersuara, sudah menghadapi masalah kerana ada orang boleh mengakses internet. Lama-kelamaan mereka juga mungkin terpaksa mencari jalan untuk membuka ruang (kebebasan bersuara). ? Adakah kekangan undang-undang boleh menyekat kebebasan bersuara? Kita ada undang-undang berkaitan hak bersuara seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ia bukan untuk mengekang terus hak bersuara, tetapi mewujudkan batasan dalam membincangkan sesuatu perkara. Bagaimanapun, melalui internet mereka tetap boleh menyebarkannya dan ia terpulang sama ada kerajaan mahu menahan atau tidak. ? Jadi di manakah bermula dan berakhirnya kebebasan bersuara. Saya percaya jika kita membincangkan sesuatu isu secara rasional dan tidak mewujudkan konflik sehingga menjurus kepada keganasan, maka itulah had kebebasan bersuara. Media dan internet memberi pengaruh besar dalam membincangkan secara terbuka sesuatu perkara di negara ini. Kerajaan juga sudah membenarkan isu tertentu untuk dibincangkan secara terbuka dan ia adalah perkembangan yang bagus untuk pembangunan. Tetapi, sebenarnya masih ada orang yang membuat keputusan mengenai apa yang boleh dibincangkan atau tidak. ? Antara isu dibincangkan adalah penayangan filem Lelaki Komunis Terakhir, secara peribadi apakah pandangan saudara mengenai kontroversi isu itu. Ada dua pendapat berlainan mengenai isu ini dan satu daripadanya adalah filem itu sebagai rekod sejarah. Ia bukanlah berdasarkan buku sejarah atau secara ilmiah, tetapi sebahagian daripada seni filem yang membesar-besarkan kehidupan Chin Peng. Dalam isu ini, saya lebih berfikiran terbuka. Rakyat kita sudah matang, Chin Peng juga sudah tercatat dalam sejarah kita. Jika masalah Chin Peng (kekejaman) dibangkitkan, adalah lebih baik kita juga jangan mengadakan hubungan dengan Jepun (kerana Jepun juga pernah menjajah negara kita). Dari sudut mana dalam sejarah kita yang menyatakan bahawa selepas sesuatu peristiwa kita boleh atau tidak (mengingati sesuatu fakta sejarah). Orang menyatakan pihak komunis ingin menjatuhkan kerajaan dan membunuh banyak rakyat tempatan ketika itu, habis bagaimana pula dengan layanan pihak Jepun? Bagi saya, jika kerajaan lebih melarang filem itu, lebih ramai yang ingin menontonnya. Akhirnya benda yang tidak mustahak menjadi mustahak kerana ia menjadi kontroversi. Mungkin jika tidak dipedulikan, orang tidak pergi lihat pun filem itu. Jadi apa objektif untuk membantah penayangan filem berkenaan? Dengan menjadikannya kontroversi, lebih ramai yang ingin menontonnya. Dari segi isu sebegini seperti fakta sejarah, ia bukanlah suatu isu yang besar di negara ini. Saya percaya isu terpenting adalah keagamaan. Ia adalah isu yang seperti bom jangka dan kita mesti berhati-hati apabila menyentuh isu itu. ? Bagaimana pula isu cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama. Saya percaya kita masih belum mencapai tahap untuk menerima cadangan penubuhan suruhan jaya seperti itu. Realiti komuniti di Malaysia adalah Islam dan kemudian agama lain. Walaupun ini bertentangan dengan kehendak dunia yang mahu diadakan banyak dialog antara agama dan sesuatu agama menjadi dominan, tetapi inilah realiti di Malaysia. Sejak 1957, kecuali 1969, kita hidup dalam aman kerana kita mengekalkan kedudukan ini. Kenapa harus dibuka isu seperti ini dan memulakan eksperimen yang boleh memberi masalah kepada kita. Saya tetap berasakan kita belum bersedia untuk suruhanjaya seperti itu dan jika ingin membincangkan isu seperti ini, kita harus melakukannya secara tertutup. Antara masalah suruhanjaya adalah apakah pendirian penubuhannya, adakah ia dibiayai, siapa yang mengetuai suruhanjaya itu, siapakah yang akan mewakili kumpulan agama berkenaan? Contohnya siapa berhak mewakili Islam di Malaysia? Tiada siapa kerana dalam Islam, seseorang itu boleh 'berhubung' terus dengan Tuhan. Kita berbeza dengan Kristian Katolik, mereka ada Pope sebagai ejen Tuhan, tetapi kita berhubung terus dengan Tuhan, itu keistimewaan Islam. Oleh itu siapa yang patut mewakili Islam? Dalam Kristian pula, mereka memiliki banyak mazhab seperti Protestan, Katolik, Anglikan, jadi siapa yang patut mewakili Kristian? Saya percaya kita masih belum bersedia penubuhan suruhanjaya, tetapi saya percaya kita perlu membincangkan antara satu dengan lain, tetapi tidak perlulah menerusi satu struktur yang formal. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home