| MELEWATI susur jalan di pantai Kuta, pulau Bali, Indonesia yang dipenuhi pusat hiburan dan premis perniagaan, minda penulis mengimbau tragedi pengeboman pada 12 Oktober 2002 yang mengorbankan 202 mangsa serta ratusan lagi cedera. Pengeboman kedua di Bali pada Oktober tahun lalu yang berlaku menjelang ulang tahun ketiga tragedi pertama mengorbankan 22 nyawa serta hampir 100 cedera. Lima bulan kemudian 12 wartawan Malaysia termasuk penulis dibawa ke Bali oleh Holiday Villa Hotels & Resorts serta AirAsia. Ketika berdiri di depan restoran yang diletupkan dalam serangan kedua, penulis mendapati pelancong asing bagaikan tidak mengendahkan sejarah hitam itu. Hakikatnya masih ramai pelancong, terutama dari Barat, mengunjungi Bali untuk membeli-belah atau berhibur. Walaupun kotanya dibom pada 2002, jumlah pelancong ke Bali berkurangan buat sementara waktu sebelum meningkat daripada kira-kira 1.3 juta pelancong pada tahun tragedi kepada sekitar 1.5 juta pada 2004. Kajian awal Lembaga Pelancongan Bali mendapati jumlah pelancong sedikit terjejas pada peringkat awal pengeboman akibat fobia pelancong selain kesan wabak 'selesema burung'. Pegawai Lembaga Pelancongan Bali, Agung Suryawan, berkata berbanding 1.5 juta pengunjung pada 2004, jumlah pelancong tahun lalu adalah kira-kira 1.3 juta orang dan ia terjejas pada suku keempat tahun itu yang mencatatkan peristiwa pengeboman kedua. Pengurangan pelancong dianggarkan sekitar 20 peratus, tetapi bagi Bali yang mencatat kemasukan pelancong hampir 100,000 orang sebulan, nyata 20 peratus bukan angka besar. Buktinya dapat dilihat di susur jalan pantai Kuta. Tanpa mengira masa, ia dipenuhi masyarakat Barat, seolah-olah anda di Eropah. Lalu timbul persoalan, apakah rahsia Bali hinggakan pengeboman gagal menghalang warga asing melawatinya. Penduduk di pulau seluas 5,600 kilometer persegi itu berjumlah kira-kira empat juta, dengan 93 peratus daripadanya menganut agama Hindu manakala penganut Islam, Kristian dan Buddha adalah minoriti. Justeru, yang mencabar ketika berkunjung di sini adalah mendapatkan makanan halal. Di seluruh kepulauan Bali, hanya hotel Diwangkara Holiday Villa diiktiraf Majlis Ulama Indonesia sebagai premis yang menyediakan makanan halal. Pengurus Besar hotel, Huzni Muit, berkata restoran di hotelnya bukan saja menyediakan makanan halal, tetapi juga makanan Malaysia seperti nasi lemak, nasi goreng dan teh tarik yang masih asing di kalangan penduduk Bali dan pelancong Barat. Hotel yang boleh dilayari di alamat www.holidayvillabali.com itu terletak di tepi pantai Sanur, sekali gus memberi kesempatan kepada pengunjung untuk mengintai indahnya kemunculan mentari pagi. Jalan raya di Bali kecil dan 'kurang selesa' berbanding Malaysia tetapi ia tidak menghalang pelancong untuk terus melawat Sanur, Kuta, Seminyak, Jimbaran, Nusa Dua selain Ubud yang terkenal sebagai pusat seni serta pelancongan berasaskan alam semula jadi. Walaupun kebanyakan penduduk Bali beragama Hindu, amalan mereka tidak menyerupai amalan agama sama di negara ini. Mereka tidak meraikan Deepavali atau Thaipusam, sebaliknya meraikan 'Hari Raya Nyepi (sepi)' pada 30 Mac setiap tahun. Menjelang hari itu, penduduk berarak membawa patung yang digambarkan sebagai semangat jahat sebelum membakarnya manakala pada 30 Mac, penduduk tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti. Kebanyakan penduduk Bali bergantung hidup kepada industri pelancongan sebagai sumber utama rezeki, selain menjadi nelayan dan petani. Kemahiran mereka adalah ukiran, pertukangan, lukisan serta nyanyian dan kebudayaan. Bagaimanapun, sekali imbas; tarian yang menjadi kebanggaan penduduk Bali menyerupai tarian kebudayaan masyarakat India; bezanya gerak tari itu dipersembahkan sambil diiringi muzik gamelan. Bagi pengunjung negara ini yang terkenal dengan adab sopan, mereka pasti terkejut dengan 'sikap terbuka' penduduk setempat dalam menghasilkan ukiran, lukisan atau cenderahati kerana ada produk berupa alat sulit lelaki dan tubuh wanita. "Pelancong Barat menyukainya," kata seorang peniaga ketika menjelaskan perkara itu. Di sebalik sikap terbuka itu, satu keistimewaan masyarakat Bali adalah mereka sangat sopan dan menghormati pengunjung, tutur kata sentiasa lembut dan menenangkan pendengar. Mengenai tahap keselamatan di pulau itu, polis Bali menjelaskan, aspek keselamatan dipertingkatkan sejak berlakunya pengeboman kedua. Pengarah Keselamatan Pelancongan, Polis Bali; Superitendan Kanan I GK Budiartha, berkata Kerajaan Indonesia memperuntukkan 67 billion rupiah (kira-kira RM27 juta) untuk memulihkan kembali imej Bali, termasuk 17 billion juta rupiah (RM6.8 juta) kepada aspek keselamatan. "Kami memiliki hampir 12,000 polis di Bali untuk menjaga keselamatan pelancong, malah kami percaya Polis Indonesia melumpuhkan sebahagian besar jaringan pengganas di Indonesia," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home