Thursday, November 06, 2008

pelancong ke malaysia

Publication : BM

Edition :

Date : 27/11/2005

Page Number : 10

Headline : Melancong sambil uji bakat

Words : 588

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KESEMPATAN menyertai Cabaran Juara Asia Pasifik 2005 anjuran restoran
makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut di Kuala
Lumpur, baru-baru ini digunakan sepenuhnya peserta remaja dari luar
negara untuk melancong dengan meninjau persekitaran dan budaya rakyat
negara ini.
Kejohanan yang memerlukan peserta bekerja secara berkumpulan untuk
menyediakan perkhidmatan berkualiti terhadap pengunjung KFC dan Pizza Hut
yang diadakan di cawangan restoran berkenaan di Wangsa Maju, disertai 10
negara iaitu Korea, Singapura, Filipina, Hong Kong, Hawaii, India,
Indonesia, Taiwan, Jepun dan peserta negara.
Setiap negara disertai 16 krew pengendalian restoran makanan segera
cawangan negara terbabit iaitu masing-masing lapan peserta bagi KFC dan
Pizza Hut manakala hampir semua peserta berusia kurang 25 tahun.
Di sebalik kesibukan membuat persediaan menghadapi pertandingan itu,
mereka sempat 'mencuri masa' untuk melawat beberapa kawasan menarik
sekitar ibu kota sepanjang hampir enam hari berada di negara ini.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk menghayati sikap penduduk
Malaysia terhadap rakyat asing, keunikan kehidupan berbilang kaum di
negara ini, suasana persekitaran dan tempat menarik selain keunikan
makanan tempatan.
Seperti ulasan kebanyakan pelancong asing yang melawat Malaysia sebelum
ini, kebanyakan remaja terbabit turut menyatakan perkara sama iaitu
mereka sukakan suasana dan masyarakat di negara ini.
Bagi mereka, penduduk tempatan adalah peramah dan sentiasa
mengalu-alukan kehadiran tetamu, baik hati dan suka membantu menyebabkan
pelancong asing merasai kemesraan yang ditawarkan penduduk negara ini.
Sikap yang diwarisi turun-temurun itu bagaikan aset untuk menarik
pelancong kembali semula ke Malaysia selepas ini terutama kepada kumpulan
peserta remaja terbabit yang kebanyakannya baru pertama kali melawat
Malaysia.
Dalam aspek lain, pendapat mereka terhadap penilaian rasa makanan
tempatan dan cuaca nyata berbeza kerana persoalan itu bergantung kepada
persamaan iklim dan budaya negara masing-masing dengan negara ini.
Remaja wanita dari Hawaii, Laukisha Walker, 23, tersenyum apabila
ditanya mengenai rasa makanan tempatan berbanding hidangan di negara
kelahirannya.
"Rasa makanan di sini amat berbeza dengan makanan di negara kami kerana
makanan di sini pedas dan kami kurang menikmati makanan pedas di Hawaii,"
katanya.
Beliau yang bertugas sebagai pelayan di restoran KFC sejak empat tahun
lalu berkata, kelainan hanyalah dari aspek makanan manakala
pemerhatiannya mendapati terdapat beberapa persamaan antara Malaysia dan
negara asalnya, antaranya cuaca.
Selain cuaca yang sama, rupa paras penduduk Malaysia dan Hawaii hampir
serupa.
"Kami sudah melawat beberapa tempat menarik di sini dan yang paling
menarik perhatian kami adalah aktiviti tawar menawar di Petaling Street,
kami dapat belajar kaedah tawar-menawar dengan memerhati peniaga di situ
melakukannya," katanya.
Jika Walker kurang menggemari masakan Malaysia disebabkan rasa
pedasnya, Kweang Soo, 23, dan rakan pasukannya dari Korea tidak
menghadapi masalah dalam hal itu kerana dalam soal makanan, masakan
Malaysia tidak jauh bezanya dengan makanan di negaranya.
"Saya sukakan makanan dan persekitaran Malaysia kerana kebanyakan
makanan di sini pedas dan masyarakat Korea gemar menikmati masakan pedas,
jadi tiada masalah dalam hal makanan ketika kami di sini.
"Penduduk di negara ini juga suka tersenyum menyebabkan kami berasa
selesa dan dialu-alukan malah mereka kelihatan seperti orang baik-baik,"
katanya yang baru pertama kali melawat Malaysia.
Crystal Wong, 17, peserta dari Hong Kong baru pertama kali dibawa ke
Malaysia dan seperti Walker serta Kweang, beliau mengakui sikap positif
yang diamalkan masyarakat negara ini.
"Suasana dan tempat di sini juga menarik dan cantik, tidak seperti di
Hong Kong yang sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti, padat dan
penduduknya sentiasa mengejar masa," katanya.
Crystal berkata, jika berkesempatan dan memiliki peluang, beliau
berminat untuk melawat Malaysia sekali lagi bagi membolehkannya meninjau
kehidupan dan budaya rakyat negara ini dengan lebih dekat.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home