| KEINDAHAN Tasik Kenyir yang bebas daripada sebarang pencemaran dan hiruk- pikuk menjadikannya lokasi kebanyakan pelancong khususnya yang menginginkan ketenangan. Bagi memperkenalkan keistimewaan dan keunikan tasik ciptaan manusia terbesar di Asia Tenggara ini, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bersama badan media Terengganu menganjurkan Program Kenal Kenyir Ketengah - Media Terengganu baru-baru ini. Program selama dua hari itu disertai 21 wartawan daripada pelbagai media utama negara. Sepanjang program, peserta dibawa melawati beberapa kawasan yang dianggap unik sekitar tasik berkenaan antaranya Gua Bewah, Air Terjun Lasir selain penerokaan hutan di beberapa pulau sekitar tasik berkenaan. Ketua program, Shuhaimi Ahmad, berkata antara objektif program adalah untuk memperlihatkan keistimewaan serta keunikan Tasik Kenyir kepada pihak media. "Memandangkan pihak media adalah saluran kepada masyarakat, diharapkan pendedahan menerusi program ini dapat membantu Ketengah mempromosikan Tasik Kenyir sebagai pusat peranginan terkemuka di negara kita," katanya. Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Pembangunan Tasik Kenyir, Sabariah Mamat, berkata Tasik Kenyir sebelum ini hanya dikenali golongan pemancing sebagai habitat kelah dan toman tetapi jika ditinjau lebih dekat, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di tasik seluas 260,000 hektar ini. "Selain memancing, Tasik Kenyir mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri yang tidak diketahui kebanyakan pelancong menyebabkan mereka beranggapan tiada yang menarik untuk memilih tasik ini sebagai lokasi percutian. "Keindahan alam yang meliputi 340 pulau di tasik ini mempunyai ciri-ciri tersendiri untuk dikomersialkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberikan pengalaman serta pengetahuan baru kepada pengunjung. "Antaranya, tidak ramai yang mengetahui bahawa kawasan tasik ini merupakan lokasi penempatan awal manusia pada zaman Neolitik iaitu sekitar 3,000 tahun lampau," katanya. Beliau berkata, beberapa aktiviti arkeologi yang dijalankan Lembaga Muzium Negeri menemui khazanah zaman lampau antaranya kapak batu dan peralatan dapur dipercayai digunakan manusia pada zaman itu. "Selain itu, pelancong mungkin berkesempatan melihat fosil tumbuhan serta haiwan khususnya siput yang terlekat selama jutaan tahun pada dinding bukit di beberapa pulau antaranya Pulau Bewah dan Pulau Taat," katanya. Katanya, satu lagi aset pelancongan yang pasti menjadi tarikan pelancong adalah kewujudan sejenis lipas yang berwarna hijau keperang-perangan dipercayai spesies baru yang ditemui di dunia. "Penemuan lipas yang berhabitat di beberapa gua antaranya Gua Bewah pasti menjadi satu lagi tarikan pelancong untuk menyingkap pelbagai keunikan yang tersembunyi di sini. "Selain itu, keindahan alam selain kedamaian dan ketenteraman yang wujud di sini sendiri merupakan aset pelancongan yang pasti menarik ramai pelancong untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai satu lokasi percutian yang mesti dikunjungi," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home