Thursday, November 06, 2008

news 2005

Publication : BH

Edition :

Date : 01/07/2005

Page Number : 09

Headline : Yuran tidak membebankan

Words : 130

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Cadangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menaikkan yuran
pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada keluarga berpendapatan
tinggi perlu dilihat sebagai konsep kerjasama bagi kecemerlangan
institusi itu.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi
Ibrahim, berkata ibu bapa daripada golongan berpendapatan tinggi perlu
berkorban dengan membayar sedikit peruntukan bagi memastikan anak mereka
dan pelajar lain terus belajar di MRSM.
Beliau yakin kenaikan kadar yuran pengajian itu tidak membebankan dan
mampu dibayar golongan berpendapatan tinggi bagi membolehkan anak mereka
mendapat pendidikan terbaik.
Beliau berkata demikian ketika di minta mengulas kenyataan Mara yang
kini mengkaji kemungkinan mengenakan bayaran lebih tinggi kepada pelajar
MRSM daripada keluarga berpendapatan tinggi.
Berita Harian kelmarin, melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan dan
Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata ia bertujuan menampung kos
pembelajaran di maktab berkenaan yang semakin meningkat.
Dilaporkan, MRSM membelanjakan RM8,000 setahun bagi seorang pelajar
tapi yuran dikenakan hanya RM30 sebulan. Kos bagi sebuah MRSM setahun
adalah kira-kira RM8.5 juta.
Suhaimi berkata, cadangan itu dilihat adil kepada semua pihak kerana
pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak perlu membayar dan
diberi subsidi manakala golongan berpendapatan tinggi saja yang diarahkan
berbuat demikian.
"Keluarga yang berpendapatan tinggi tidak perlu lagi mendapat subsidi
seperti ini malah mereka perlu berkorban untuk membantu Mara menguruskan
institusi pendidikan berkenaan," katanya.]

(END)



Publication : BH

Edition :

Date : 22/06/2005

Page Number : 12

Headline : Jual Jalur Gemilang hari ini

Words : 207

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Golongan peniaga diminta menjual Jalur Gemilang mulai hari
ini dan mengelak memasarkannya pada saat akhir supaya hasrat menjadikan
sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan tahun ini paling meriah dalam sejarah
negara tercapai.
Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Perayaan Bulan Kemerdekaan, Datuk
Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata kerajaan tidak mahu kesilapan
tahun sebelum ini berulang apabila tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan
kerana lambat dipasarkan.
Beliau yang juga Menteri Penerangan berkata, bagi pihak yang ingin
menempah bendera itu, mereka perlu segera berbuat demikian supaya ia
dapat disiapkan sebelum bermulanya kempen.
"Kerajaan berhasrat pengibaran Jalur Gemilang lebih meriah tahun ini
dan kita harap kesilapan seperti sebelum ini tidak berlaku lagi apabila
selepas majlis pelancaran pada 17 Ogos, baru nak cari dan tempah.
"Waktu itu terlalu ramai yang meminta dan peniaga tidak sempat menerima
tempahan untuk siap mengikut waktu dikehendaki," katanya selepas
mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kempen Mengibar Jalur
Gemilang, di sini, semalam.
FAKTA
Acara perayaan Bulan Kemerdekaan Kebangsaan 2005
* 17 Ogos Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Permulaan Pengibaran Jalur
Gemilang di Danga Bay, Johor Bahru.
* 30 Ogos Perayaan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
* 31 Ogos Perarakan Kemerdekaan Kebangsaan di Putrajaya.
* 16 September Majlis penutup Perayaan Bulan Kemerdekaan di Jitra,
Kedah.
(END)
Publication : BM

Edition :

Date : 12/06/2005

Page Number : 05

Headline : Empat faktor utama punca sektor pembinaan lembap

Words : 442

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti empat faktor utama yang menyumbang
kepada kelembapan sektor pembinaan di negara ini sehingga menyebabkan
ramai kontraktor hampir 'gulung tikar'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata
antara faktor berkenaan adalah berlakunya kitaran kelembapan terhadap
aktiviti perniagaan sehingga menjejaskan semua industri perniagaan
termasuklah pembinaan.
Beliau berkata, kerajaan juga terpaksa mengurangkan perbelanjaan
terhadap projek infrastruktur berskala besar selain melakukan pengukuhan
fiskal menerusi defisit fiskal.
Katanya, sejumlah kos yang besar diperuntukkan kerajaan sebagai
penyelesaian projek mega yang diswastakan seperti Lapangan Terbang Kuala
Lumpur (KLIA), pembinaan Putrajaya dan Cyberjaya serta projek Litar F1
Sepang.
"Sebanyak RM8.7 bilion diperuntukkan kepada KLIA, RM10 bilion untuk
pembangunan Putrajaya, RM20.1 bilion kepada Cyberjaya dan Litar F1 Sepang
sebanyak RM430 juta," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk
'Peranan dan Penglibatan Agensi Kerajaan Dalam Membantu Usahawan Melayu
Sektor Binaan' pada Konvensyen Usahawan Binaan Melayu 2005' di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Mustapa berkata, pada suku keempat tahun lalu, sebanyak 20,492 unit
hartanah berupa rumah kediaman, kedai dan unit industri bernilai RM3.18
juta tidak terjual berbanding suku pertama iaitu 13,099 unit bernilai
RM2.13 juta.
"Kedudukan semasa sektor hartanah memperlihatkan berlakunya lebihan
kapasiti dalam sektor pembinaan terutamanya ruang pejabat dan hanya
sektor perumahan masih berpotensi untuk diusahakan. Pembeli kini
mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' serta tidak terburu-buru membeli
hartanah," katanya.
Katanya, bagi merancakkan kembali sektor hartanah pada masa depan,
kerajaan akan meningkatkan promosi program 'Malaysia My Second Home'
kepada pelabur asing selain menggalakkan rakyat asing berstatus penduduk
tetap di negara ini membeli hartanah.
Mustapa berkata, peraturan bagi Dana Amanah Pelaburan Hartanah (REIT)
juga akan dijadikan secara liberalisasi bagi meningkatkan lagi daya saing
dan daya tarikan pelabur selain perlunya diwujudkan permintaan pasaran
baru.
Beliau berkata, golongan kontraktor binaan yang terjejas kini hanya
perlu menunggu kerana kerajaan sudah merancang pelbagai langkah
penyelesaian untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah mereka.
"Selain peruntukan awal yang disediakan menerusi projek bagi mengatasi
masalah kontraktor, apabila Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)
dilaksanakan mulai tahun depan, akan ada lagi projek dibangunkan,"
katanya.
Mustapa berkata, antara langkah diambil kerajaan bagi mengatasi kemelut
kontraktor itu adalah menyegerakan projek pada RMK-9 bernilai RM2.4
bilion dan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi membina 160 balai dan
kediaman polis mengikut konsep 'bina, sewa dan serah'.
Katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM500 juta menerusi pelbagai
projek kecil kepada kontraktor Kelas F selain mengambil langkah menutup
'kebocoran' syarat kontrak kepada kontraktor Bumiputra.
"Selain kontraktor, dua lagi golongan yang kini menghadapi masalah
ekonomi adalah graduan menganggur dan mereka yang terbabit dalam pasaran
saham manakala golongan lain tidak terjejas," katanya.
(END)

Publication : BH

Edition :

Date : 01/08/2005

Page Number : 07

Headline : Syor ibu bapa diberi kaunseling

Words : 326

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional
(MPPIBGN) mencadangkan ibu bapa pelajar yang ponteng sekolah turut diberi
kaunseling berikutan ada antara mereka menyedari kegiatan tidak sihat
anak masing-masing tetapi mengambil sikap tidak kisah.
Presidennya, Prof Madya Mohamad Ali Hasan, berkata langkah itu diharap
memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kesan ponteng sekolah terhadap
anak mereka.
Selain itu, beliau berkata, semua pihak seperti pentadbir sekolah, ibu
bapa dan pemimpin masyarakat setempat tidak boleh lepas tangan daripada
masalah itu, sebaliknya perlu mengadakan perbincangan segera untuk
mengatasinya.
Katanya, jika tidak, ia dikhuatiri menjejaskan masa depan pelajar
terbabit dan imej pendidikan negara.
"Ada ibu bapa tidak mengetahui anak mereka ponteng sekolah kerana
keluar pada waktu pagi tetapi melencong ke tempat lain dan guru perlu
memaklumkan kes pelajar tidak ke sekolah kepada ibu bapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar ini
kelmarin yang menyebut kira-kira 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Bandar Ciku, Kelantan tidak hadir belajar setiap hari, dipercayai sekolah
paling buruk menghadapi gejala ponteng di negara ini.
Dilaporkan, pengurusan sekolah itu mengambil pelbagai langkah proaktif
membanteras gejala ponteng itu termasuk guru menyerbu lokasi pelajar
ponteng berkumpul tetapi tidak berhasil kerana tidak mendapat kerjasama
ibu bapa pelajar.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Nozula
Mat Diah, dilaporkan berkata, ada antara pelajar terbabit ponteng kerana
disuruh ibu bapa masing-masing membantu kerja mengumpul atau mengutip
buah sawit di kebun.
Mohamad Ali berkata, selain sesi kaunseling, cadangan lain mengatasi
masalah itu ialah dengan menyediakan asrama dan pengangkutan untuk
pelajar ke sekolah, jika masalah jarak dan kemudahan menjadi punca
ponteng.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya kesal kerana ada
sekolah melarang ibu bapa pelajar prasekolah menyertai PIBG sekolah
terbabit, berdasarkan aduan diterima baru-baru ini.
"Ini bercanggah dengan peraturan semasa PIBG yang menyebut sesiapa saja
di kalangan ibu bapa dan guru sesebuah sekolah secara automatik adalah
anggota PIBG sekolah terbabit," katanya.
(END)
Publication : BH

Edition :

Date : 28/09/2005

Page Number : 03

Headline : Rakyat kena faham kepayahan kerajaan

Words : 251

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


BANGI: Bajet 2006 yang akan dibentangkan Jumaat ini dirangka bagi
memastikan persiapan negara memasuki Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9) tidak dihalang kenaikan harga pasaran minyak mentah dunia
baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Tengku Putera Tengku Awang,
berkata bajet diharap dapat menyediakan suasana ekonomi negara yang
kondusif pada tahun depan, selain mengutamakan rakyat dalam menghadapi
kesan kenaikan harga minyak.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memainkan peranan bersama
kerajaan memastikan keadaan kondusif dicapai dan rakyat memahami
kepayahan kerajaan memberi kesenangan kepada mereka.
"Kita hendak masuk RMK-9 dan tidak mahu menyediakan persiapan yang akan
membantutkan usaha kita.
"Semua ini kita ambil kira bagi memastikan ekonomi lebih baik dan
bersedia untuk tahun depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan
Pusat Khidmat Hasil Hulu Langat milik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),
di sini semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Zainol
Abidin Abdul Rashid.
Pusat khidmat berkenaan yang menyediakan pelbagai urusan LHDN, terutama
duti setem adalah yang ketiga selepas di Batu Pahat, Johor dan Manjung,
Perak yang ditubuhkan pertengahan tahun ini.
Tengku Putera berkata, faktor lain yang perlu difikirkan sebagai kesan
bajet adalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan oleh segelintir
peniaga.
"Kakitangan kerajaan tunggu bonus beberapa bulan tapi kalau kita umum
bonus nanti harga barang dan perkhidmatan naik lagi tinggi pula. Bonus
sebulan atau seminggu boleh habis tapi harga kalau naik tak boleh turun
lagi, ini yang kita kena fikirkan," katanya.
(END)

Publication : BH

Edition :

Date : 06/06/2005

Page Number : 02

Headline : Sewa hotel lima bintang naik

Words : 370

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Harga penginapan hotel di seluruh negara akan dinaikkan
tidak lama lagi berikutan kerajaan bersetuju menerima cadangan kenaikan
yang dikemukakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Pemilik
Hotel Malaysia (MAHO).
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun
berkata kadar kenaikan yang diminta dua persatuan itu perlu dikaji dengan
lebih terperinci agar tidak menjejaskan kehadiran pelancong.
Beliau berkata, MAH dan MAHO sudah menyerahkan memorandum permohonan
kepada Kementerian Pelancongan, baru-baru ini, dan pihaknya akan
berbincang dengan kementerian berkaitan untuk mengkaji hasrat itu.
"Kita bersetuju menaikkan harga bilik hotel tapi dengan kadar yang akan
dirundingkan bersama.
"Mereka meminta kadar bilik hotel bertaraf lima bintang dinaikkan
kepada AS$80 (RM304) sebilik dan pada prinsipnya kita menerima memorandum
mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran Promosi
Perkahwinan Di Malaysia anjuran bersama Regal Events Sdn Bhd dan Hotel
Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad.
Berita Harian Jumaat lalu melaporkan MAH dalam perancangan untuk
menaikkan caj penginapan bilik hotel di seluruh negara bagi menampung kos
operasi dan penyelenggaraan yang semakin meningkat.
Presiden MAH, Ilyas Zainol Abidin, dilaporkan sebagai berkata, kenaikan
itu perlu selaras dengan keadaan ekonomi negara yang semakin meningkat
dan berkembang pesat dalam industri pelancongan tempatan.
Zahid berkata, MAH dan MAHO memiliki alasan kukuh untuk berbuat
demikian kerana perlu menanggung kenaikan kos operasi, gaji kakitangan
dan kehilangan pekerja mahir yang berhijrah ke luar negara, malah harga
ditawarkan masih murah berbanding negara jiran.
"Kehadiran pelancong bukan disebabkan hotel murah tapi ada pakej
pelancongan menarik di negara terbabit malah sesetengah negara memiliki
hotel mahal tapi masih mampu menarik pelancong," katanya.
Beliau berkata, industri pelancongan domestik mungkin agak terjejas
akibat kenaikan harga itu tapi pelancong tempatan boleh memilih untuk
menginap di hotel bertaraf kurang lima bintang.
Katanya, industri pelancongan dalam negeri menyumbang kira-kira RM5
bilion pada setiap tahun membabitkan 10 juta pelancong tempatan.
Selain itu, Zahid berkata, kerajaan akan menumpukan promosi pada
peringkat antarabangsa termasuk di Jepun, Korea, China dan Asia Barat
bagi menarik lebih ramai rakyat asing memilih Malaysia sebagai destinasi
perkahwinan dan berbulan madu.
Katanya, pada tahun lalu saja, kira-kira 2,000 pasangan pengantin dari
luar negara melangsungkan perkahwinan di negara ini.
(END)
Publication : BH

Edition :

Date : 01/06/2005

Page Number : 01

Headline : Teksi, peniaga diingat jangan 'sembelih' Tok Arab

Words : 369

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Pemandu teksi dan peniaga terutama di ibu kota diingatkan
supaya tidak mengenakan harga 'potong leher' kepada kira-kira 200,000
pelancong Asia Barat yang dijangka melawat negara ini dua minggu lagi.
Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad, berkata ia akan
memberikan imej negatif kepada negara, sekali gus menyebabkan mereka
tidak berminat datang semula.
Katanya, peniaga dan pemandu teksi perlu memberi layanan istimewa dan
terbaik kepada pelancong kerana kedatangan rakyat asing memberi rezeki
kepada mereka.
"Tapi jika dia buat orang (pelancong) marah, orang tak akan datang
lagi. Takkan kita bawa orang datang ke rumah kita lepas itu kita tipu
mereka," katanya selepas melancarkan laman web Kementerian Pelancongan,
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha
Kementerian Pelancongan (Motour), Datuk Dr Victor Wee dan Ketua Pengarah
Tourism Malaysia, Kamarudin Siaraf.
Laman web yang boleh dilawati di alamat www.motour.gov.my menyediakan
kemudahan muat turun borang pelesenan, borang maklum balas serta berita
semasa kementerian selain maklumat industri pelancongan negara.
Toyad berkata, walaupun kerajaan bertanggungjawab mempromosikan negara,
rakyat perlu memberikan layanan baik kepada mereka.
Beliau juga berkata, kerajaan akan meningkatkan kemudahan di lapangan
terbang yang menjadi pintu masuk ke negara ini bagi menyediakan
perkhidmatan terbaik kepada pelancong berkenaan.
Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga sudah
meluluskan 300 lesen kenderaan MPV sebagai pengangkutan awam kepada
pelancong itu.
Pihak berkuasa juga akan memantau kegiatan kereta sapu terutama di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tempoh
kemasukan pelancong itu.
Toyad berkata, berbanding pelancong dari Eropah yang inginkan percutian
berasaskan eko-pelancongan, pelancong Arab datang untuk berbelanja dan
peniaga boleh membuka perniagaan pada waktu malam.
"Jika perniagaan boleh dibuka 24 jam dan mengikut peraturan, saya
gembira kerana pelancong yang sampai ke negara ini pada jam 11 malam dan
mereka yang tidak boleh tidur akan keluar berbelanja," katanya.
Katanya, ia diamalkan di negara Asia Barat dan Amerika Latin kerana
rakyat negara itu suka bersiar-siar waktu malam.
(END)

Publication : BH

Edition :

Date : 27/05/2005

Page Number : 11

Headline : 'Myvi model Perodua terbaik'

Words : 406

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Orang ramai menyifatkan model terbaru kereta nasional,
Perodua Myvi yang dilancarkan kelmarin, sebagai yang terbaik pernah
dihasilkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Perodua Myvi, yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak, dianggap menepati cita rasa generasi muda berikutan reka
bentuk yang bergaya serta keadaan dalamannya yang selesa.
Penyelia Jualan Perodua di Seksyen 19 Petaling Jaya, Jamilah Ramli,
berkata sejak bulan lalu, peminat kenderaan itu sudah membuat tempahan
lebih 200 unit Myvi di cawangan berkenaan saja.
"Sambutan diterima menggalakkan dan orang ramai memberi reaksi positif
mengenai Myvi malah ada pembeli yang membuat tempahan sehingga lewat
malam," katanya selepas majlis penyerahan Myvi kepada enam pembeli
pertama, di sini, semalam.
Jurutera Perisian, Nurul Jannah Ahmad Shah, 28, yang menjadi antara
enam pemilik pertama kereta itu berkata, selepas mencuba kenderaan itu
kelmarin, dia berpuas hati dan tidak menyesal membelinya.
"Reka bentuknya menarik, keadaan di dalamnya juga selesa selain harga
ditawarkan berpatutan," katanya yang mengetahui mengenai Myvi ketika
berkunjung ke pusat jualan berkenaan tahun lalu.
Pegawai bank, Jamaliah Abu Bakar, 39, berkata Myvi adalah model
kenderaan keluaran negara yang tercantik pernah dihasilkan selain
dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang terkini.
"Saya sudah mencuba kenderaan ini dan mendapati ia selesa. Saya pasti
membelinya," katanya.
Kakitangan swasta, Zoey Boh, 32, berkata beliau tidak menjangka bahawa
negara akan mengeluarkan model dan reka bentuk kereta seperti itu dan ia
jelas menepati cita rasanya.
"Saya sudah lama ingin membeli kereta tapi bila dimaklumkan beberapa
model baru akan dikeluarkan tahun ini, saya menangguhkan hasrat itu dan
selepas melihat Myvi, saya bersetuju membelinya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perodua, Hafiz Syed Abu Bakar, berkata
pihaknya kini dalam proses mengubah suai semula program eksportnya yang
akan bermula sebelum Disember 2006.
Katanya, satu kaji selidik berkaitan pengubahsuaian itu bermula dua
tahun lalu dan dijangka selesai pada suku ketiga tahun depan, membabitkan
barisan model eksport bagi mengambil kesempatan daripada Perjanjian
Perdagangan Bebas Asean (Afta).
"Kami perlu melakukannya (sebelum Disember ini) kerana segmen kereta
kecil dilimpahi dengan kereta import dan pertahanan terbaik adalah
menyerang dan kami akan memasuki pasaran model 1.3 liter (dengan Myvi).
"Pada masa sama kami perlu mempertahankan kekuatan kami dalam segmen
1.0 liter," katanya kepada pemberita selepas penyerahan kunci Perodua
Myvi itu, semalam.
(END)
Date : 20/05/2005

Page Number : 05

Headline : Sumbangan seni dikecualikan cukai

Words : 278

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, sektor korporat atau individu yang
menyumbang kepada penyelidikan serta pembangunan seni budaya dan warisan
negara akan dikecualikan cukai.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim,
berkata keistimewaan itu terkandung dalam Akta Warisan Malaysia yang siap
digubal dan dijangka diluluskan Parlimen hujung tahun ini.
Beliau berkata, antara sumbangan bagi membolehkan pengecualian cukai
adalah menganjurkan latihan atau pertandingan seni budaya selain
perbelanjaan mengadakan teater.
"Akta Warisan Malaysia yang sedang digubal menetapkan siapa yang
menyumbang ke arah penyelidikan dan pembangunan seni budaya termasuk
ukiran, maka sumbangan dikecualikan cukai pendapatan atau korporat.
"Akta ini sudah disebut di Kabinet dan kita cuba memasukkannya dalam
senarai undang-undang baru sekali gus masyarakat korporat dan dermawan
tidak berlengah malah rela memperjuangkan seni budaya dan warisan selain
pengecualian cukai," katanya di sini, kelmarin.
Rais bagaimanapun berkata, sebelum akta itu dibentangkan di Parlimen,
pihaknya akan berunding dengan kerajaan negeri dan badan induk warisan
bagi mendapatkan pandangan.
Katanya, antara kandungan akta ialah pengelasan warisan kepada warisan
nasional, budaya, tampak serta tidak tampak dan kuasa pengelasan diberi
kepada pihak ditetapkan dan berdasarkan syarat tertentu.
Katanya, kandungan lain adalah peruntukan hukuman kepada pihak yang
menjual warisan secara haram selain ganjaran dan syarat kepada mereka
yang menjumpai khazanah.
"Akta ini juga mewujudkan wujud Akademi Seni Budaya Warisan untuk
melatih pegawai dan petugas seni budaya ke tahap tinggi. Akademi ini
sudah dikemukakan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan dilaksanakan tahun
depan," katanya.
Rais berkata, penggubalan Akta Warisan Malaysia juga diharap
melengkapkan kekurangan pada Akta Benda Purba 1976.
(END)

Publication : BH

Edition :

Date : 18/05/2005

Page Number : 01

Headline : Jakim syor larang program hiburan ketika waktu solat

Words : 302

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Garis panduan hiburan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) yang dijangka dikeluarkan tidak lama lagi, antara lain melarang
penyiaran atau persembahan program hiburan ketika waktu solat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata
garis panduan hiburan itu sudah siap dan beliau akan menyerahkannya
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam tempoh
terdekat.
Beliau berkata, turut dilarang dalam garis panduan itu ialah penggunaan
istilah dan penulisan lirik yang bercanggah dengan Islam atau yang
dianggap tidak melalaikan pendengar.
"Nyanyian pun harus mempunyai lirik yang wajar. Sebagai contoh, lagu
percintaan dibenarkan tapi tak bolehlah seperti merintih dari pagi hingga
tengah hari dan 'ingin berjumpa di pintu syurga'.
"Belum tentu lagi kita akan masuk syurga," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Program Islam Hadhari Peringkat Universiti Kolej
Universiti Islam Malaysia (KUIM), di sini semalam.
Garis panduan hiburan itu disiapkan selepas Perdana Menteri menyatakan
persetujuannya terhadap cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya ia boleh
menjadi panduan kepada industri hiburan di negara ini.
Dr Abdullah berkata, persembahan hiburan juga tidak boleh sehingga
melalaikan penonton serta mencampurkan antara penonton lelaki dengan
wanita yang diharamkan syariat.
"Fatwa sudah banyak dikeluarkan termasuk oleh Universiti Al-Azhar
bahawa perhimpunan ramai dibolehkan bagi meraikan adab tetapi mestilah
berlandaskan akhlak.
"Berkumpul sehingga bergelumang maksiat tidak dibenarkan. Islam tidak
menghalang hiburan malah menganjurkan umatnya berhibur seperti selepas
penat bekerja dan mendengar lagu yang tidak melalaikan mereka daripada
tanggungjawab," katanya.
Beliau berkata, garis panduan itu perlu kerana masyarakat kini terlalu
menumpukan kepada hiburan sehingga mengabaikan kepentingan lain.
"Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan garis
panduan ini," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home